Ahad, 6 Mei 2018 | 1:05pm
MENJELAJAH Galeri Kuala Lumpur, Jalan Raja Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

I Love KL

JIKA melancong ke Belanda khususnya Amsterdam, pengunjung pasti mencari ikon atau struktur arca popular di bandar berkenaan dikenali I Amsterdam untuk bergambar kenangan menandakan mereka sudah pun menjejakkan kaki di bumi terletak bawah paras laut itu.

Sebaliknya, apabila anda bertandang ke kota kosmopolitan Kuala Lumpur (KL), binaan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak bersebelahan Dataran Merdeka mahupun Menara Berkembar PETRONAS atau Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pasti menjadi sasaran untuk swafoto.

Situasi itu sekali gus membuktikan pengunjung berada di pusat bandar raya yang terkenal di seluruh dunia ini.

Namun, mungkin ramai dalam kalangan pelancong domestik yang bercuti ke KL terlepas pandang kewujudan ikon atau struktur arca dikenali I Love KL dengan seni reka unik berbentuk hati warna merah dan sedikit condong terletak bersebelahan pintu masuk Galeri KL di Jalan Raja bersebelahan Dataran Merdeka.

Struktur arca itu sangat popular dalam kalangan pelancong antarabangsa untuk bergambar atau swafoto.

Penulis yang bertandang ke destinasi percutian popular itu, baru-baru ini, mendapati pelancong yang rata-ratanya warga asing terutama dari Indonesia, Asia Barat dan Eropah, sanggup berbaris panjang menunggu giliran dalam cuaca panas terik semata-mata untuk merakamkan foto kenangan di struktur arca I Love KL.

Keterujaan mereka terhadap struktur arca I Love KL itu hampir menyamai populariti ikon arca I Amsterdam di kota Belanda, sekali gus membuktikan KL kini menjadi pilihan dalam kalangan pelancong sebagai destinasi percutian wajib dikunjungi sebelum meneruskan kembara ke negara Asia berdekatan.

Lebih penting, Galeri KL berperanan sebagai pusat sehenti dalam kalangan pelancong bagi memperoleh maklumat mengenai KL dengan mudah termasuk asal usulnya, KL hari ini dan pembangunan atau perancangan masa depan kota kosmopolitan itu.

Pelancong boleh mendapatkan keterangan mengenai destinasi menarik lain terdapat di sekitar pusat bandar raya ini dengan berpandukan maklumat di situ.

Pengarah Komunikasi Galeri KL, Carol Khan berkata, sebelum bersiar-siar ke destinasi popular dan bersejarah sekitar KL, pelancong disaran berkunjung ke Galeri KL untuk mendapatkan maklumat mengenai produk pelancongan yang ditawarkan di pusat bandar raya.

Melalui cara ini memudahkan dan memberi gambaran awal terhadap tempat yang bakal mereka kunjungi.

"Lazimnya sebelum melancong, sebaiknya kita mengetahui serba-sedikit mengenai sejarah atau asal-usul tempat berkenaan, baru kita akan teruja untuk melawat produk percutian itu. Galeri KL akan memberikan segala keterangan mengenai masa silam, KL hari ini dan masa depannya sebagai panduan merencana percutian, sekali gus menjimatkan masa dan wang pelancong," katanya.

Serba sedikit mengenai Galeri KL, asalnya bangunan ini ialah Pejabat Percetakan Kerajaan yang dibina pada 1898 ketika pemerintahan British oleh dua arkitek iaitu AC Norman dan John Russell yang juga Pencetak Kerajaan Selangor.

Ketika itu, bangunan berkenaan menempatkan mesin pencetak yang besar untuk mencetak laporan kerajaan dan tiket kereta api.

Reka bentuk luaran bangunan berkenaan diinspirasikan oleh seni bina neo-Renaissance dengan batu-bata terdedah, tiang ditampal dan tingkap besar separuh bulat dihiasi baji batu. Reka bentuk dalaman pula mempunyai sistem sokongan struktur tiang besi besar dan kekuda dengan siling tinggi.

Pada 1989, ia berperanan sebagai Perpustakaan Memorial KL dan akhirnya pada Januari 2012, dibuka kepada orang ramai sebagai Galeri KL.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

* 9,091 meter persegi

keluasan Galeri KL

* 2,500 orang
bilangan pelancong sehari

* RM10

harga tiket

INFO

-------

* Bermula Jun 1891 ejaan nama Kuala Lumpur diperkenalkan apabila sebelum itu ia dikenali sebagai Kwala Lumpur

* Nama itu tertera dalam peta lamanya bertarikh 1890

617 dibaca
Berita Harian X