Rabu, 10 Oktober 2018 | 12:10am

Siang jadi peguam syarie, malam 'layan' diorama

• Mula meminati seni diorama atau model panorama miniatur sejak usia 11 tahun.

• Mohamad Sahrul Naim Arbain, 27, atau lebih mesra dipanggil Pak Teh, masih aktif berkarya walaupun kini bergelar peguam syarie.

• Kreativiti menggamit nostalgia apabila panorama unik kampung diabadikan dalam bentuk diorama

• Hobi mampu menjana pulangan lumayan kerana diorama ada penggemar tersendiri

• Diorama merujuk penghasilan replika atau model landskap dan mula dicipta di Perancis pada 1922.

• Panorama desa atau insiden tertentu sering menjadi motif seni penggemar

BANGI: Menghasilkan diorama atau model panorama miniatur bukan tugas mudah kerana bidang seni ini memerlukan daya penumpuan serta keazaman yang cukup tinggi.

Sentuhan kreativiti penggemar disulami ketelitian dan kesabaran tinggi yang menjadi kriteria utama, menyebabkan setiap hasil karya diorama kelihatan menarik serta ‘hidup’ di mata pemerhati.

Mohamad Sahrul Naim Arbain, 27, atau lebih mesra dipanggil Pak Teh antara yang aktif menghasilkan diorama, di sebalik kerjaya hakiki beliau sebagai seorang peguam syarie.

Bermula sebagai hobi seawal usia 11 tahun menggunakan kotak untuk menghasilkan diorama bagi tujuan projek sekolah, Pak Teh kini semakin galak berkarya apabila mula menjana pulangan melalui diorama dihasilkan.


PAK Teh menunjukkan koleksi seni miniatur panorama atau 'diorama' yang diciptanya. - NSTP/Salhani Ibrahim

MENGHASILKAN diorama atau model panorama miniatur bukan tugas mudah. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Saya mula berjinak dengan diorama ketika di sekolah rendah. Hobi ini membuat saya tenang, malah keasyikan menyiapkan diorama ibarat ‘tadahan’ kepada saya dalam mendepani tekanan kerja sebagai peguam syarie.

“Menghasilkan diorama memberi kelegaan kepada minda. Paling penting kejayaan menghasilkan sesuatu melalui imaginasi minda sehingga dapat menyentuhnya secara fizikal, memberi satu kepuasan," katanya.

Seni diorama mula dicipta di Perancis pada 1922 dan ia merujuk kepada penghasilan replika atau model landskap yang biasanya memaparkan kejadian bersejarah atau panorama sesebuah kawasan, bagi tujuan pembelajaran atau hiburan.

Berguru melalui YouTube

Di Malaysia, ramai penggemar mula aktif menghasilkan diorama dengan rata-rata mereka menjadikan panorama desa sebagai motif seni.

Pak Teh ketika ditanya mengakui banyak belajar mengenai penghasilan diorama melalui YouTube dengan menggunakan barangan terpakai seperti lidi, batang aiskrim dan kertas untuk menghasilkan model pemandangan cantik dan terperinci.


DIORAMA memerlukan daya penumpuan serta keazaman yang cukup tinggi. - NSTP/Salhani Ibrahim

PANORAMA desa atau insiden tertentu sering menjadi motif seni penggemar. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Tiada masa khusus untuk saya berkarya, sebaliknya saya gemar mengisi masa terluang untuk menyiapkan projek diorama khususnya beberapa jam pada waktu malam atau hujung minggu.

“Biasanya saya ambil masa sehari untuk hasilkan projek bersaiz kecil, manakala untuk yang lebih rumit memakan masa sehingga seminggu,” katanya.

Ditanya mengenai idea, katanya dia banyak mendapat inspirasi apabila pulang ke kampung.

“Saya suka pusing kampung naik motosikal dan melihat rumah lama yang usang. Dari situlah tercetusnya minat nak buat diorama," katanya.

Karya imbau kenangan desa

Mengenai karya dihasilkan, katanya dia pernah menjual diorama berunsurkan pemandangan kampung dengan tapak bersaiz A4 pada harga RM700.

“Saya ada juga ambil tempahan menghasilkan diorama, namun tidak berhasrat mengadakan kelas khusus untuk mengajar peminat menghasilkan seni itu.


PAK Teh banyak mendapat inspirasi apabila pulang ke kampung. - NSTP/Salhani Ibrahim

PAK Teh antara yang aktif menghasilkan diorama, di sebalik kerjaya hakiki beliau sebagai seorang peguam syarie. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Pada saya diorama yang dihasilkan dapat mengimbau kenangan khususnya ketika saya kecil. Jadi diorama memaparkan panorama kampung yang tenang perlu terus dihasilkan untuk membantu generasi kini mengenali suasana serta kehidupan masyarakat terdahulu,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan, Pak Teh berkata jika diberi rezeki beliau berhasrat mengadakan pameran solo atau mungkin membuka galeri dioramanya sendiri.

Sehingga kini, Pak Teh banyak menyertai pameran seni diorama dan terbaharu akan di Malaysia Hobby Expo 2018 yang akan diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dekat sini.

Info Diorama

• Merujuk kepada seni penghasilan panorama miniatur

• Mula dihasilkan Louis Daguerre dan Charles Marie Bouton di Perancis pada 1822

• Biasanya panorama kawasan atau kejadian penting menjadi sumber inspirasi penghasilan diorama

Berita Harian X