Ahad, 24 September 2017 | 8:00pm
PENGUNJUNG menikmati makanan di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee
PENGUNJUNG menikmati makanan di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee
DI ANTARA juadah yang terdapat di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee
PEMILIK, Azhar Ali bersama isterinya, Rouzieda Abd Ghani di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

D'Cabin Kafe tawarkan menu Macam Mak Mak Masak


DI ANTARA juadah yang terdapat di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

Ringkas dan sempoi saja. Apa yang penting makanannya sedap.

Jadi, ramai tidak kisah dengan kedudukan gerai ini yang hanya terletak di bawah pokok ara. Kerusi dan mejanya pula dibuat daripada kabin terbiar, tetapi keadaan itu sudah cukup menjadi tular dalam kalangan warga kota.

Dikenali sebagai Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, gerai ini terletak dalam kawasan elit di Bangsar, Kuala Lumpur dengan menyajikan makanan tradisional Negeri Sembilan.

Tagline gerai ini ialah Macam Mak-Mak Masak menonjolkan konsep hipster, namun sarat disulami elemen masakan kampung, sekali gus menampilkan suasana desa yang dipenuhi nilai sentimental.

Lubuk Bangku D' Cabin Cafe terletak di kawasan lapang, sebuah taman perumahan sekitar Bangsar Utama diusahakan pasangan suami isteri dari Negeri Sembilan, Azhar Ali, 51, dan Rouzieda Abd Ghani, 49.

Seperti masakan emak

Menu atau masakan Negeri Sembilan disediakan Rouzieda yang turut bertindak sebagai cef.

Semua hidangan menampilkan masakan seperti di rumah, yang sering disediakan isteri atau emak.

"Isteri saya menyediakan masakan dengan 'resipi kasih sayang'. Dia masak dengan niat mencurahkan kasih sayang terhadap keluarga atau tetamunya, sama seperti yang pernah dilakukan ibu kita.

"Jadi, isteri atau mak kita menyediakan masakan dengan keikhlasan hati, penting niatnya menceriakan orang sekeliling menerusi masakan yang sedap dibalas dengan ingatan berterusan.

"Bermakna setiap menu, saya jamu pula untuk tetamu yang berkunjung ke Lubuk Bangku D' Cabin Cafe," kata Azhar.


PEMILIK, Azhar Ali bersama isterinya, Rouzieda Abd Ghani di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

Keli, talapia belado antara menu wajib

Menu wajib setiap hari yang disajikan Lubuk Bangku D' Cabin Cafe ialah daging salai masak lemak, ayam kampung cili padi, keli belado, talapia belado, terung belado dan sambal minang yang dinikmati bersama ulam-ulaman tempatan.

Lebih menarik, sebahagian daripada menu yang disajikan setiap hari berbeza dan dimasak pada hari-hari tertentu saja seperti telur itik lemak cili padi, cendawan kukur cili padi, umbut kelapa lemak putih bersama sambal gesek (ikan bilis cili dan perahan asam limau), rendang nismilan dan tenggiri asam pedas, sekali gus memberi lebih pilihan kepada tetamu.

Sebagai nilai tambah, semua hidangan dijamu menggunakan dulang ayan (dulang tradisional Melayu), selain pinggan dan mangkuk lama dengan motif bunga kangkung untuk membangkitkan suasana kampung.

Ketika berkunjung ke Lubuk Bangku D' Cabin Cafe, penulis menikmati menu ringkasnya yang begitu popular, telur mata atau goyang yang hanya dicampur kicap, bawang dan cili padi, sama seperti yang pernah disajikan ibu kita dulu, namun kelazatannya sangat luar biasa, penting perlu dinikmati panas-panas!


PENGUNJUNG menikmati makanan di Lubuk Bangku D'Cabin Cafe, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

FAKTA NOMBOR

  • 200 orang - Purata pelanggan setiap hari
  • 40 kg - Daging salai diperlukan sehari
  • 500 meter - Jarak dari LRT Bangsar
  • RM50 - Harga hidangan standard empat orang.

INFO

- Lubuk Bangku D' Cabin Cafe terletak di persimpangan Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar Utama, Kuala Lumpur. Hubungi Azhar Ali (019 283 9321) untuk membuat tempahan.

- Dibuka jam 7 pagi hingga 9 pagi (sarapan) dan 11 pagi hingga 3 petang (makan tengah hari).

- Layari Facebook (FB): lubukbangku atau Instagram (IG): @lubukbangku untuk informasi terkini dan maklumat lanjut.

- Nama Lubuk Bangku sebenarnya sebuah perkampungan di Sumatera Barat dalam daerah Payakumbuh.

3210 dibaca
Berita Harian X