Rabu, 31 Januari 2018 | 12:05am
AIMAN dalam proses mempelajari teknik dan gaya penebaran roti yang lebih bergaya dan unik.. - Foto Balqis Jazimah Zahari

'Aiman tak kisah' jadi penebar roti canai

IPOH: Kecil-kecil cili padi. Gaya bersahaja remaja bertubuh kecil menebarkan roti canai di sebuah restoran dekat Chemor di sini mencuri hati setiap pelanggan yang singgah untuk menjamu selera di premis berkenaan.

Baru berusia 14 tahun, Muhd Aiman Alif Abd Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Man atau Aiman bukan sekadar memiliki bakat menebarkan roti canai secara biasa tetapi mampu membuat aksi melayangkan adunan roti canai ke udara.

Malah, Aiman yang tampil berpakaian persis chef selebriti dengan topi dan apron turut mencuit hati pelanggan termasuk dari luar negara yang turut tidak melepaskan peluang berswafoto bersamanya.

Tidak cukup dengan itu, keletah dan keramahannya bertegur sapa sambil ligat menebar roti membuatkan pelanggan mudah mesra selain tidak berhenti melihat setiap pergerakan dan gelagat chef cilik itu.

Aiman mula minat menebar roti canai ketika berusia 10 tahun selepas melihat bapanya berbuat demikian di restoran milik keluarganya itu dan sejak itu dia kerap mengikuti bapanya berniaga bagi mempelajari rutin dan selok-belok menebar roti.


AIMAN belajar menebar roti canai supaya dapat membantu meringankan kerja keluarga di restoran. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Pada mulanya saya hanya suka-suka mencuba membuat roti canai sebab seronok tengok ayah bermain dengan adunan roti.

"Tetapi lama-kelamaan timbul minat dan apabila melihat ayah tidak menang tangan melayan pelanggan yang ramai membuatkan saya terfikir untuk belajar menebar roti canai supaya dapat membantu meringankan kerja keluarga di restoran," katanya.

Anak keempat daripada lapan beradik itu kini mahir membuat semua jenis roti canai selain boleh membuat doh, mengendalikan dapur dan menguruskan pelanggan seorang diri.

"Satu kilogram tepung yang dibancuh dapat menghasilkan kira-kira 20 keping roti canai.

"Beritahu sahaja nak makan roti canai apa, roti kosong, roti telur, roti bawang, roti sardin, roti bom, roti planta, roti tisu, roti bawang dan roti milo, Aiman tak kisah. Aiman boleh buat," katanya ketika ditemui BH Plus di restoran milik keluarganya di Laluan Naga Khantan 1, Taman Sri Kanthan, Chemor dekat sini.

Aiman berkata, beliau sekarang dalam proses mempelajari teknik dan gaya penebaran roti yang lebih bergaya dan unik.

"Kalau boleh saya mahu menjadi seorang penebar roti yang hebat dan boleh beraksi dengan pelbagai gaya menebar roti termasuk menerbangkan atau memutar adunan macam gasing di udara," katanya yang bercita-cita menjadi usahawan berjaya atau jurutera yang boleh mencipta sesuatu yang mengagumkan, apabila dewasa nanti.

Kadang-kadang, beliau membantu bapanya membuat doh roti pada sebelah malam dan bangun seawal jam 6 pagi untuk membantu keluarga membuat persiapan membuka restoran termasuk menyediakan bahan roti canai.


AIMAN mahir membuat semua jenis roti canai selain boleh membuat doh, mengendalikan dapur dan menguruskan pelanggan seorang diri. - Foto ihsan pembaca

Katanya, tahun lalu dia menghadiri sekolah pada sesi petang dan hanya berkesempatan membantu bapanya membuat roti canai di restoran pada sebelah pagi.

Tahun ini pula, dia bersekolah sesi pagi dan akan berehat serta tidur dahulu selepas pulang dari sekolah, sebelum sekali-sekala datang membantu bapanya membuat roti canai pada sebelah petang.

Pada hujung minggu pula dia akan meluangkan lebih banyak masa untuk membantu bapanya menebar roti canai tambahan pula pelanggan lebih ramai datang pada hari berkenaan.

Bagi Aiman, dia tidak berasa letih sebaliknya berbangga dapat membantu meringankan beban keluarga mencari rezeki.

"Letih tu adalah sikit-sikit tetapi Aiman memang berminat menebar roti canai, sedikit sebanyak dapatlah menimba pengalaman dan berdikari dengan bekerja sambil belajar," katanya.

Sementara itu, bapanya Abd Aziz Idris, 49, pula berkata anaknya itu memang seorang yang anak yang baik dan rajin membantu keluarga.

"Sekurang-kurangnya dia (Aiman) dapat membantu saya apabila mendapat tempahan roti canai yang banyak, selain membuat roti canai dia juga membantu mengambil pesanan, menghantar dan membungkus roti canai untuk pelanggan," katanya.

Abd Aziz berkata, selepas lebih setahun melatih Aiman, dia kini sudah memberi kepercayaan penuh terhadap anaknya itu membuat roti canai termasuk menguruskan sendiri dapur dan pelanggan.

"Saya mengambil proses selama lima sehingga enam bulan untuk melatih Aiman agar dia benar-benar mahir untuk bermain dengan adunan roti.


AIMAN menebar roti canai di restoran milik keluarganya di Laluan Naga Khantan 1, Taman Sri Kanthan, Ipoh. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Dia belajar perlahan-lahan dan lama-kelamaan dia pandai sendiri, ketika dia berusia 13 tahun dia sudah boleh membuat roti canai sendiri," katanya sambil memaklumkan adik-beradik Aiman yang lain juga boleh membuat roti canai.

Abd Aziz berkata, mereka sekeluarga sentiasa menyokong dan memastikan minat anaknya itu tidak mengganggu pelajaran.

Katanya, restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan kerana pelanggan mahu merasai sendiri kelainan roti canai yang dihasilkan mereka yang lebih menepati cita rasa orang Melayu.

Saya menamakan restoran ini Restoran Aiman sempena nama anak saya itu. Ini kerana saya berasakan nama Aiman itu unik dan dapat menarik perhatian lebih ramai pelanggan untuk berkunjung," katanya.


AIMAN berbangga dapat membantu meringankan beban keluarga mencari rezeki. - Foto Balqis Jazimah Zahari

INFO

  • Muhd Aiman Alif Abd Aziz, berumur 14 tahun lebih mesra dengan panggilan Man atau Aiman.
  • Menyediakan roti kosong, roti telur, roti bawang, roti sardin, roti bom, roti planta, roti tisu, roti bawang dan roti milo.
  • Restoran Aiman dibuka empat tahun lalu.
Berita Harian X