Rabu, 27 September 2017 | 11:05am
Pesta buku. - Gambar hiasan

Industri buku perlukan talian hayat

Lima tahun lalu, Doraemon, Pokemon, anime, manga dan banyak lagi buku dari Jepun sudah menjadi sebati dengan rakyat Malaysia. Malah kita sendiri boleh membaca semua buku itu dalam bahasa Melayu dengan mudah. Itu dasar Kerajaan Jepun dahulu yang memfokuskan promosi dan pemeliharaan hak cipta budaya mereka ke serata dunia.

Hasilnya mereka berjaya. Sekarang mereka beralih pula kepada pengeksportan karya buku dalam pelbagai bidang antaranya Sastera, Sains, Hubungan Antarabangsa melalui dana khas terjemahan ke pelbagai bahasa dunia. Impaknya pun menjadi juga. Di mana-mana kedai buku di negara ini, kita boleh dapatkan karya Kenzaburo Oe, Haruki Murakami, Banana Yoshimoto, Ryu Murakami, Kazuo Ishiguro dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga Korea Selatan yang mempertanggungjawabkan Literature Translation Institute of Korea untuk mengeksport seberapa banyak karya rakyatnya ke pelbagai bahasa dunia. Malah Paju Book City adalah model perusahaan penerbitan paling pintar pernah diwujudkan abad ini.

Kini Taiwan melalui Taipei Economic and Cultural Office (TECO) yang bertapak di banyak negara pun aktif mengorak langkah mengeksport intelektual rakyatnya. Malah penulis dari serata dunia dijemput untuk menjadi Artis Residen di Taiwan dengan segala infrastruktur lengkap disediakan.

Di Eropah pula, Goethe-Institut adalah contoh institusi Jerman yang ada pusat di banyak negara bertujuan untuk menyebarluaskan karya penulis Jerman dalam bahasa tempatan. Melihat contoh di atas, segala aktiviti berkaitan penerbitan dan intelektual jelas dicetuskan oleh kemahuan politik pemimpin negara berkenaan.

Tidak ada satu pun penerusan pembangunan dan perluasan penerbitan mereka dikelolakan secara persendirian oleh syarikat atau konglomerat. Persoalannya, adakah pembangunan penerbitan yang diusahakan itu memberi pulangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Jawapannya tidak juga.

Jadi mengapa negara berkenaan tekal mengeksport buku mereka? Kerana mereka tahu setiap isi kandungan buku memberi pulangan dalam bentuk tidak disangka-sangka, misalnya boleh bertokok dalam bidang pelancongan dan juga keyakinan pelabur.

Muzium Anne Frank sendiri menerima 1,295,600 pelawat pada 2016, kebanyakannya terkesan melalui pembacaan buku Anne Frank: The Diary of a Young Girl. Malah, berkat penerbitan novel Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata, Pulau Belitung di Sumatera, Indonesia kini jadi tumpuan pelancong. Begitu juga jumlah anime dan manga yang asalnya dalam bahasa Jepun kini dibeli hak ciptanya di serata dunia dengan jumlah dagangan sangat besar.

Menurut CNN, jumlah jualan anime dan manga di Amerika Syarikat pada 2016 keseluruhannya bernilai AS$120 juta (RM504.5 juta), manakala di Eropah dan Asia Barat lebih tinggi dengan jumlah lebih AS$250 juta (RM1.05 bilion). Sebab itulah sokongan, dukungan, suntikan, rangsangan dan pembuka jalan perlu dirintis kerajaan bagi mengimarahkan bidang perbukuan di negara ini.

Minta pertimbangan diberi insentif percukaian

Ada pelbagai aspek boleh diusulkan bagi menyemarakkan bidang ini yang jelas banyak berlaku transformasi kini. Perkara paling asas ialah pada si penulis. Hingga kini kadar pengecualian cukai pendapatan royalti atau honorarium golongan penulis masih RM12,000 hingga RM20,000 walaupun kos sara hidup semakin meningkat.

Sekurang-kurangnya dengan keprihatinan kerajaan kini, perkara itu dapat diteliti dan diperhalusi bagi membolehkan golongan penulis hidup sedikit selesa dengan mengarang sepenuh masa. Begitu juga amat tidak keterlaluan sekiranya rumah penerbit, pencetak dan pengedar buku yang memandaikan akal budi bangsa ini turut dipertimbangkan untuk diberi insentif percukaian sewajarnya.

Penerbit buku tempatan adalah duta kecil Malaysia yang konsisten mempromosi negara melalui pesta buku terkenal dunia seperti di Frankfurt, Bologna, Shanghai, Tokyo, London, Riyadh, Jakarta, dan banyak lagi walaupun pemergian mereka menggunakan hasil jualan buku yang diperoleh.

Bersangkutan dengan perihal percukaian ini, Kastam Diraja Malaysia amat dialu-alukan untuk mempertimbang pengklasifikasian penerbitan majalah dan buku digital dalam GST Zero Rated seperti buku. Agak pelik juga apabila majalah dan buku digital turut dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun ia satu cabang bahan bacaan.

Perkara paling penting untuk diteliti pihak kerajaan ialah dana pembelian buku untuk repositori Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan desa. Saban hari dilihat dana pembelian buku itu semakin surut. Situasi ini jelas memberikan cabaran yang besar kepada penerbit untuk seterusnya menerbitkan lebih banyak buku yang berkualiti.

Malah perpustakaan kita juga semakin suram kerana kekurangan bahan bacaan baharu untuk dihidangkan kepada pengunjung. Ironinya, jiran kita, Perpustakaan Nasional Republik Indonesia yang dahulunya 'sedih' berkapasiti tiga tingkat, kini sudah siap membangunkan perpustakaan baharu setinggi 27 tingkat yang memuatkan pelbagai karya berkualiti tempatan dan dunia.

Begitu juga Perpustakaan Negara Singapura yang tersergam dua blok 16 tingkat di tengah-tengah Kota Singa yang turut banyak memuatkan banyak buku terbitan Malaysia di aras bawah. Hendak dipersoalkan minat membaca rakyat Malaysia semakin merudum pun tidak tepat juga.

Lihat sahaja di dalam MRT, banyak sahaja penumpang yang membaca buku dan juga akhbar. Malah kalau pergi ke mana-mana pusat beli-belah, paling kurang ada sebuah kedai buku yang turut dipenuhi pembeli. Cuma yang mohon dipertimbangkan ialah rangsangan berterusan daripada pihak kerajaan bagi membolehkan bidang penerbitan ini berterusan segar.

Baru-baru ini pada Pesta Buku Antarabangsa Indonesia, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) melancarkan lima buku terbitan bersama dengan penerbit Indonesia. Secara tidak langsung, ia menyerlahkan dan memperbetulkan imej nasional di pentas antarabangsa melalui ciptaan intelek yang boleh diwarisi sebagai warisan dunia.

Penulis adalah Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pembaharuan
Dasar Buku Negara

609 dibaca
Berita Harian X