Khamis, 28 September 2017 | 11:19am
Kumpulan al-Dawla al- Islamiya al-Iraq al-Sham. - Foto alaraby.co.uk

Belia usah mudah terpengaruh jerat Daesh

Peranan belia dalam mengekang penularan ekstremisme amat wajar ditekankan kerana serangan ini kerap berlaku melalui media sosial yang majoriti penggunanya adalah datang daripada golongan belia.

Daesh adalah singkatan kepada al-Dawla al- Islamiya al-Iraq al-Sham yang bermaksud kemusnahan atau kehancuran. Sering kita keliru dengan perbezaan ISIL, ISIS, Daesh ataupun IS. ISIL iaitu Islamic State of Iraq and the Levant yang wilayahnya tidak didefinisikan sekitar Syria. Levant, dalam istilah bahasa Perancis lama iaitu merujuk kepada 'Lands of Rising Sun' iaitu wilayah sekitar Syria dan termasuk Lubnan, Israel, Palestin dan Jordan.

Seterusnya, ISIS yang dikenali sebagai Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) iaitu tiga perkataan pertama merujuk kepada kawasan di Iraq dan Syria. Keprihatinan belia adalah diperlukan agar menfokuskan perbezaan antara Daesh dan IS.

Sebenarnya kedua-duanya adalah sama di mana Islamic State ataupun IS adalah strategi kumpulan tersebut untuk mendapatkan pengiktirafan masyarakat sedunia tentang khalifah yang mereka isytiharkan sendiri. Warga belia perlu guna perkataan Daesh kerana difahamkan mereka tidak suka perkataan tersebut begitu yang bererti kehancuran.

Percaya dosa terhapus jika terbunuh

Pelbagai serangan keganasan yang telah mereka jalankan serta berunsurkan fahaman berbentuk salafi jihadi, iaitu memilih jalan pintas ke syurga, jika terbunuh, maka hapuslah segala dosa yang dilakukan sebelum ini.

Kaedah pentarbiyahan utama seseorang itu bagi menjadi pengganas Daesh adalah melalui masjid, surau, madrasah, usrah dan media yang mempromosi serta menyemai fahaman itu. Mereka taksub melampau menyebabkan pengikut tidak mahu menerima pandangan luar dan hanya menerima pandangan tokoh mereka sahaja.

Pelbagai usaha untuk dapat pengaruh orang ramai dengan menggunakan slogan 'Kembali Kepada Islam Yang Tulen' untuk menarik sokongan umat Islam. Mereka berjaya mempengaruhi kakitangan Kerajaan Iraq dengan menawarkan gaji lebih tinggi dan ini menyebabkan ramai pejuang bawah Majlis Sahwa (komuniti sunnah) menyertainya.

Sudah pasti golongan sasaran untuk direkrut mereka adalah belia yang mana mereka kenalpasti melalui kekerapan penggunaan sosial media anak muda. Malah, ketidakstabilan sosial, ekonomi dan politik boleh mempengaruhi penduduk yang menganggur atau bergaji rendah ke dalam pasukan militan.

Kes letupan bom tangan sudah berlaku di Malaysia seperti di Kelab Movida, Puchong, Selangor. Antara gerak kerja propaganda bagi menarik generasi muda adalah melalui kemeja-T, pelekat, bendera, video, promosi perjuangan dan pelbagai lagi platform seperti YouTube, WhatsApp, Facebook dan lain-lain. Mereka ada agensi media yang diberi nama Al Hayat Media Centre yang mengeluarkan pelbagai propaganda bagi mempengaruhi anak muda.

Agenda kesedaran yang boleh dibina adalah melalui konteks lebih terbuka dan terkini bagi mendekati anak muda seperti kreativiti (komik, lukisan seni, filem dan sebagainya atau erti kata lain dalam bentuk Counter Narrative Measures.

Bincang persepsi anak muda mengenai keganasan

Tambahan pula, belia juga mudah tertarik karya kreatif dan inovatif seperti infografik, apatah lagi 'viral'. Oleh yang demikian, pertandingan video pendek atau kepelbagaian pertandingan yang lain wajar dilaksanakan bagi membincangkan persepsi anak muda tentang keganasan.

Penekanan oleh peringkat sekolah perlu menitikberatkan pendidikan sahsiah awal tentang dakyah keganasan ini serta juga pemantauan secara berkala oleh ibu bapa terhadap teknologi canggih seperti alatan gajet yang digunakan anak-anak.

Justeru, peranan belia dalam mengekang dan menentang kumpulan pengganas amat wajar ditumpukan agar generasi belia dapat hidup aman harmoni dan tidak terpengaruh terhadap dakyah atau fahaman songsang ini. Kepentingan pandangan oleh warga belia perlu diambil kira pihak atasan agar ancaman ini dapat dikawal serta-merta.

Penulis adalah Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Selangor

351 dibaca
Berita Harian X