Jumaat, 29 September 2017 | 10:52am
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberi tabik hormat pada majlis Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Ambil berat titah elak jadi si Kitul

KEAMANAN negara sesuatu yang tidak ternilai dan wajib setiap warga menjaga dan mempertahankannya. Keamanan sesebuah negara selalunya berkait rapat dengan tiga faktor penting iaitu kepemimpinan yang kuat dan cekap, ekonomi yang makmur serta mapan dan masyarakat yang kompromi dan harmoni. Sekiranya mana-mana elemen ini terganggu, kebarangkalian negara untuk tidak stabil dan aman adalah amat tinggi.

Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena majlis sambutan Hari Keputeraan baginda yang julung-julung kali disambut selepas baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini perlu disemat dan dihayati segenap lapisan rakyat. Baginda mengingatkan semua pihak peka akan untung nasib bangsa dan negara dalam memacu Malaysia menjadi negara maju dan berjaya.

Baginda juga turut mengingatkan semua, baik rakyat mahupun pemimpin tidak menjadi petualang negara dengan meranapkan segala kejayaan yang dicipta terutama dalam aspek ekonomi. Baginda memberi amaran, segala usaha memburuk-burukkan negara perlu dihentikan serta-merta.

Sejarah ketamadunan dunia memperlihatkan banyak iktibar kepada kita semua. Kejatuhan utama empayar dunia kebanyakannya berpunca daripada hasil tangan bangsa sendiri akibat perasaan tamak, hasad dengki, fitnah dan gila kuasa, kegemilangan empayar yang dibina berabad lama akhirnya runtuh berderai.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat pengajaran ini. Lihatlah bagaimana kegemilangan Empayar Kesultanan Melaka sebagai satu kuasa ekonomi dan politik dunia dibina Parameswara sejak tahun 1400 berakhir pada 1511. Nama seperti si Kitul, Utimuraja, Nina Chatu dan sebagainya selalu dikaitkan dengan peristiwa itu.

Dek fitnah, khianat dan sabotaj, Empayar Melaka dengan mudah dikalahkan Portugis. Empayar selama 500 tahun itu akhirnya runtuh dan lenyap, kini hanya menjadi lipatan dan ingatan sejarah.

Walaupun si Kitul sudah lama mati, namun sikap dan perwatakan si Kitul ini masih lagi wujud dan hidup dalam kalangan masyarakat kita. Perbuatan buruk yang pernah mereka lakukan seperti memfitnah, menghasut dan sebagainya masih jadi sebahagian daripada legasi sejarah itu.

Memfitnah antara usaha jatuhkan pemimpin

Tambahan pula, dengan kewujudan internet, aplikasi pintar dan sebagainya, perbuatan ini semakin mudah dan sewenangnya berlaku tanpa kawalan. Lebih malang lagi apabila perkara buruk ini dilakukan oleh mereka yang digelar pemimpin. Kebertanggung jawaban, etika dan integriti berpolitik, tanpa mengira aliran dan fahaman harus menjadi amalan sepanjang masa. Ada ahli politik yang masih degil dan ingkar.

Sebagai contoh, dalam usaha mahu menjatuhkan individu atau pemimpin, ada yang sanggup memfitnah, menghasut, malah bersekongkol dengan pihak tertentu di dalam negara mahupun asing bagi mencapai hasrat masing-masing. Bagi rakyat pula, janganlah kita turut sama, secara sedar ataupun tidak sedar menyumbang kepada perkara yang disebutkan. Dalam era digital ini, maklumat yang diperolehi terutama daripada sumber tidak sah dan berautoriti harus sentiasa disemak. Jangan kita terus berkongsi, malah menyebarkan pula maklumat atau berita sebegitu kerana ingin tular dan popular.

Ingatlah bahawa perbuatan khianat dan sabotaj ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak pun, baik untuk jangka sama pendek apatah lagi jangka masa panjang. Penggunaan media sosial dan aplikasi pintar untuk menabur fitnah, berkongsi maklumat tidak betul mengenai pemimpin, politik, ekonomi dan sosial hanya akan memusnahkan si pelaku dan negara. Pelbagai kesan buruk seperti menjejaskan imej negara, menimbulkan persepsi tidak baik yang membawa kepada mensabotaj akhirnya akan memberi kesan langsung seperti kerajaan yang lemah, ekonomi yang lembap dan hubungan kaum yang tegang.

Semoga titah Yang di-Pertuan Agong tersemat kemas di dada dan fikiran seluruh rakyat. Mudah-mudahan tidak ada lagi si Kitul moden yang mampu meranapkan segala usaha membangunkan Malaysia yang kita warisi hari ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

1001 dibaca
Berita Harian X