Ahad, 1 Oktober 2017 | 8:29am
PETUGAS kempen pilihan raya memasang bendera Barisan Nasional di Pusat Daerah Mengundi Taman Bukit Angkasa, Lembah Pantai, pada April 2013. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

PRU-14: Komponen BN perlu nilai parti sendiri

PADA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) tewas teruk apabila kerusi yang diperuntukkan kepada mereka, dimenangi pembangkang.

Misalnya, MCA yang diperuntukkan 37 kerusi Parlimen cuma mampu menang tujuh, MIC hanya mampu menang empat daripada sembilan kerusi, manakala parti GERAKAN cuma berupaya menang satu daripada 11 kerusi ditandingi - sama seperti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang bertanding tujuh tapi menang satu.

Yang menang 100 peratus daripada jumlah kerusi diperuntukkan berdasarkan kuota ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan 14 kerusi Parlimen, PRS (6), SPDP (4) dan PBS (4). UMNO yang bertanding 121 kerusi, menang 88 kerusi.

Berikutan saingan sengit dijangka dihadapi BN pada PRU-14 nanti, maka timbul persoalan, apakah perlu sistem kuota untuk agih kerusi ditandingi 13 parti komponen diteruskan atau guna kaedah calon/parti boleh menang sahaja.

Contohnya kerusi parlimen Cameron Highlands, siapa boleh menang antara MIC dan parti MyPPP, meskipun sebelum ini ia diberi kepada MIC.

Beberapa parti komponen seperti MIC, MCA dan parti di Sarawak dan Sabah membantah langkah memansuhkan sistem kuota ini. Ini menimbulkan isu baharu dalam BN.

Bagi mengelak polemik berpanjangan selain berpotensi menjejaskan prestasi BN pada PRU-14, Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin memutuskan pengagihan kerusi di antara parti komponen BN pada PRU-14 nanti diselesaikan secara rundingan.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi BN akan menentukan calon yang akan bertanding. Ini bermakna, sudah semestinya Datuk Seri Najib Razak akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak, terutama pada peringkat grassroot mengenai peluang kemenangan sesuatu parti sebelum memberi kelulusan setelah rundingan.

Jika maklum balas diterima menunjukkan sesuatu parti itu, jika dibenar meletakkan calon dijangka tewas, maka kerusi itu perlu diberikan kepada calon parti yang lebih berpotensi untuk menang. Inilah maksud menyelesaikan secara rundingan... kata-kata berlapis untuk mengekalkan sistem kuota tetapi dengan syarat winnable (boleh menang).

Sewajarnya kaedah rundingan terus diamalkan dalam BN, bagi mengelak perpecahan. Tidak guna bagi MIC dan MyPPP buat pelbagai kenyataan melalui media mengenai perebutan kerusi Cameron Highlands contohnya, tapi Perdana Menteri pasti tahu parti mana boleh menang melalui maklum balas pihak ketiga.

Kajian pernah dibuat selepas PRU-13 iaitu 60 peratus kemenangan BN adalah sebab faktor calon.

Contoh terbaik ialah kerusi Bandar Tun Razak yang menyaksikan calon bukan Melayu BN kalah di tangan calon Melayu pembangkang dalam PRU-13.

Mungkin peluang untuk menang lebih besar jika BN meletakkan calon Melayu.

Oleh itu, setiap parti komponen perlu menilai keupayaan diri masing-masing sebelum menuntut sesuatu kerusi atas alasan kerusi tradisi, kerusi kuota atau mendakwa boleh menang semata-mata tapi tidak berpijak di bumi nyata.

Silap langkah, dua-dua putih mata bila pembangkang pula yang mendapat manfaat.

Penulis ialah Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH

876 dibaca
Berita Harian X