Isnin, 2 Oktober 2017 | 11:01am

Tindakan kolektif ubah nasib Rohingya

PERTAMA sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Malaysia yang menunjukkan pandangan, usaha dan semangat yang konsisten dalam menangani krisis pelarian etnik Rohingya di Rakhine (Arakan).

Apa yang kita sedia maklum etnik Rohingya merupakan satu-satunya etnik yang sangat malang bukan sahaja sebagai pelarian tetapi satu etnik yang tidak diiktiraf kewarganegaraannya walaupun di Mynamar.

Sebanyak 135 etnik diiktiraf oleh Kerajaan Myanmar dan berhak mendapatkan kewarganegaraan tetapi etnik Rohingya tidak termasuk dalam kategori tersebut.

Sepanjang membuat kajian dan mengenali sebahagian etnik Rohingya di Malaysia sejak lapan tahun lalu, saya berpendapat etnik ini wajar dapat perlindungan badan dunia dan kerajaan.

Kenyataan pengerusi ASEAN bahawa krisis di Rakhine sebagai 'situasi kemanusiaan', bukan 'krisis kemanusiaan' adalah kenyataan yang sangat dikesali, seolah-olah beliau tidak tahu apa sebenarnya berlaku di sana. Ketegangan kaum antara etnik berlaku sejak Myanmar merdeka pada 1948 apabila ada di kalangan kaum minoriti yang tidak berpuas hati termasuk etnik Rohingya mendakwa ditindas oleh kerajaan.

Tindakan ARSA untuk pertahan hak

Penindasan terhadap etnik Rohingya berterusan sehingga operasi 'Dragon King' dilakukan oleh tentera Myanmar. Operasi ini bertujuan 'membersih' negara daripada orang yang memasuki negara secara haram seperti etnik Rohingya yang tidak diiktiraf kerakyatannya.

Selepas operasi ini dilaksanakan nasib etnik tersebut semakin melarat apabila dinafikan pelbagai hak sebagai warganegara seperti pemilikan harta, pendidikan formal, pekerjaan sehingga melaksanakan tuntutan agama juga diancam oleh kerajaan Myanmar.

Jadi, apa yang dilakukan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) adalah tindak balas mempertahankan hak mereka selepas berdekad-dekad dianiaya, diseksa, anak-anak diculik, wanita dirogol, orang lelaki dibunuh dengan kejam, binatang dan rumah dibakar serta menjadi pelarian di pelbagai negara sehingga kini.

Malah, menuding jari kepada ARSA adalah tidak tepat kerana gerakan insurgensi anti-kerajaan Myanmar wujud sejak 1950-an oleh kaum minoriti penting seperti Karen, Kachin, Shan, Kayan, Mon dan Arakan yang berjuang menuntut negara bebas atau berautonomi.

Antara jalan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan krisis di Rakhine termasuk diplomasi serantau tanpa babitkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia, China dan lain-lain. Ini akan beri kesan jangka panjang kepada keutuhan pertubuhan ASEAN itu sendiri dan dapat menunjukkan kepada dunia luar bahawa kerjasama di antara negara Asia Tenggara kukuh.

Laksana sekatan ekonomi, putuskan hubungan

Mungkin tindakan yang bukan ketenteraan lebih sesuai digunakan seperti sekatan ekonomi dan membatalkan hubungan dengan Myanmar.

Jika tindakan ketenteraan dilakukan di bumi Rakhine ia bukan sahaja babitkan kemusnahan tetapi beri kesan kepada keadaan negara serantau seperti peningkatan jumlah migrasi, pelaburan luar di negara jiran juga akan tutup dan ekonomi serantau akan lalui masa 'gelap'.

Penindasan masyarakat Rohingya ini jika tidak diselesaikan akan menyebabkan kesan rantaian babitkan krisis kemanusiaan seperti pembunuhan, penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak, kemusnahan harta benda dan penafian kewarganegaraan.

Negara beri perlindungan tanggung beban kewangan

Ia juga babit isu peningkatan jumlah pelarian, penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia. Walaupun negara tertentu terpaksa menerima jumlah pelarian menerima bantuan pertubuhan antarabangsa, peningkatan kos perbelanjaan domestik negara tetap meningkat kerana jumlah yang disalurkan masih tidak mencukupi.

Justeru itu, masyarakat antarabangsa perlu memberikan sokongan secara kolektif dan konsisten dalam memperjuangkan hak etnik Rohingya di bumi Rakhine atau Arakan.

Perlu ada rasa tanggungjawab bersama dan empati terhadap apa yang berlaku terhadap mereka kerana dunia yang kita duduki ini perlu dijamin dalam keadaan aman dan damai tanpa konflik berpanjangan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

314 dibaca
Berita Harian X