Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:13am
MASYARAKAT perlu dididik agar kemudahan canggih tidak disalahgunakan. - Foto hiasan

Tangani 'perbicaraan' di media sosial

SEBAGAI Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah lali dengan segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas beliau. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengalami nasib yang sama. Ada berita yang menyatakan beliau akan disingkir oleh Najib, ada pula gambar Najib telah disunting dan disebarkan di alam maya.

Ini permainan kotor untuk menjatuhkan dua pemimpin tertinggi negara. Apa yang tidak perlu dipersoalkan ialah Ahmad Zahid setia kepada Najib dan akan terus bersama-sama dalam sebuah bahtera sebagai yang akan terus berlayar walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Pihak yang menabur fitnah begitu cemburu dengan kejayaan Najib menerajui negara hingga sanggup melakukan perkara terkutuk ini demi menafikan negara kita dikenali sebagai kuasa politik dan ekonomi disegani di Asia Tenggara. Apatah lagi golongan ini menggunakan internet sebagai satu medium, berdasarkan peranan media sosial yang semakin penting pada hari ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan masyarakat hari ini khasnya warga kota dan remaja tidak boleh hidup tanpa adanya telefon pintar dan juga pelbagai gajet. Mereka ini digelar sebagai netizen dan sentiasa berada di alam maya. Kebiasaannya juga mereka inilah yang dapat dahulu berita sensasi yang kemudiannya ditularkan dengan cepat. Itu sebabnya pada hari ini, gambar serta berita fitnah cepat merebak.

Mungkin ramai yang sedar bahawa berita yang disampaikan itu adalah fitnah semata-mata. Namun, kita tidak boleh menafikan mungkin ada segolongan kecil yang percaya bulat-bulat dengan segala berita yang sampai ke pengetahuan mereka.

Tidak takut dosa, terus tabur fitnah

Dalam Islam, fitnah lebih dahsyat daripada membunuh dan digolongkan sebagai dosa paling besar di sisi Allah SWT. Namun golongan ini tidak takut dengan dosa bahkan terus menabur fitnah.

Jika tidak silap, dua tahun lalu, Najib pernah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memperkemas undang-undang dan meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran fitnah di media sosial. Najib turut menjelaskan, sekiranya fitnah di media sosial ini dibiarkan bebas dan terus berleluasa tanpa adanya kawalan, makan kemungkinan besar ia akan mengubah paradigma pemikiran rakyat serta mewujudkan trend 'perbicaraan melalui media sosial'.

Dan apabila berlakunya perbicaraan melalui media sosial maka netizen mudah menghukum mereka yang difitnah tanpa memeriksa berita itu sahih ataupun tidak. Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pernah mencadangkan juga agar pesalah siber dihukum penjara mandatori sekurang-kurangnya tiga tahun dan sebat, bagi menangani kes fitnah alam maya yang semakin berleluasa dan membimbangkan.

Maafkan saya jika tidak tahu apakah perkembangan terkini cadangan itu. Adakah ianya sudah dilaksanakan atau masih dalam perbincangan? Diharapkan pihak terbabit dengan cadangan ini akan jelaskan apakah susulan yang telah dilakukan agar undang-undang ini dilaksanakan.

Pada 2016, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menjelaskan, jawatankuasa khas dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara akan menyiasat kesalahan jenayah berkaitan fitnah dan hasutan di laman sosial. Ini usaha yang baik khasnya untuk menyelaras bidang kuasa untuk siasatan dua kesalahan tersebut.

Masyarakat juga perlu dididik agar kemudahan canggih ini tidak disalahgunakan. Kita tidak boleh nafikan masih ramai menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan sesuatu berita tanpa memeriksa asal usul dan kesahihannya. Kita mudah muat naik, kemudian hebahkan (share) tanpa memeriksa kesahihannya. Dalam masa beberapa minit, berita itu tersebar luas. Mungkin ada pihak mahu SKMM segera menangani masalah ini dengan lebih berkesan.

Namun, usaha ini perlu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat umum agar fitnah di alam maya ini dapat ditangani dan dibanteras.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia

461 dibaca
Berita Harian X