Khamis, 5 Oktober 2017 | 6:54am
ORANG ramai mengadakan bantahan berkaitan penganjuran pesta arak dan gay di Shah Alam, akhir bulan lalu. - Foto Roslin Mat Tahir

Usah biar 'pesta iblis' cemar nilai murni

NILAI liberal cenderung ke arah tidak mempedulikan nilai mulia berasaskan tradisi dan nilai keagamaan.

Dalam kehidupan pascamodenisme hari ini, kebebasan tanpa had menjadi kebanggaan pendukungnya. Mereka rasakan kehidupan ini harus bebas dari segala nilai tradisi dan keagamaan supaya keinginan mereka untuk melakukan apa yang dianggap sebagai larangan agama dan nilai moral tidak disekat. Bertitik tolak daripada keinginan nafsu mereka itulah maka golongan terbabit berusaha membudayakan amalan songsang yang bercanggah dengan nilai kesopanan dan hukum syariah.

Mereka anggap golongan yang masih berpegang kepada nilai agama dan nilai tradisi sebagai penghalang keinginan mereka.

Terbaru, golongan terbabit bercadang anjur pesta arak dikenali sebagai Better Beer Festival 2017 di Solaris Damansara, pada 6 dan 7 Oktober. Pujian dan sokongan penuh harus diberi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menolak permohonan penganjuran pesta arak itu.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, pihaknya menolak permohonan penganjuran pesta arak itu kerana ia disifatkan program yang sensitif, sekali gus boleh menimbulkan kemarahan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengarahkan polis menghentikan pesta terbabit jika mereka tetap menganjurkannya.

Menurut Zahid, polis mempunyai kuasa untuk menanganinya, lebih-lebih lagi ia boleh membawa ancaman keselamatan seperti serangan kumpulan militan.‪ Beliau turut menegur kedegilan pihak penganjur yang dilaporkan mahu beralih lokasi selepas (DBKL) tidak meluluskan permohonan mereka. ‬

Kedegilan penganjur yang bercadang mahu terus mengadakan 'pesta iblis' itu menggambarkan mereka langsung tidak hormati suara majoriti rakyat Malaysia beragama Islam dan juga masyarakat bukan Islam yang masih berpegang teguh kepada nilai mulia dan ajaran agama.

Pesta mungkar ini memang wajar disekat kerana ia bertentangan sama sekali dengan nilai murni masyarakat Malaysia. Majoriti rakyat yang tidak bersetuju dengan niat penganjur pesta itu berhak membantahnya. 'Suara majoriti' tidak harus tunduk kepada 'suara minoriti' yang merosakkan masyarakat.

Guna lojik akal untuk kelirukan masyarakat

Malah, bukan sahaja pesta arak, semua bentuk pesta yang cuba membudayakan kehidupan songsang di negara ini seperti pesta gay dan lesbian harus ditentang dan tidak dibenarkan bertapak di negara ini. Sudah sewajarnya kerajaan kita yang mendukung dan melaksanakan indeks patuh syariah menolak dan tidak membenarkan pesta itu diadakan. Jika diizinkan, maka kerajaan sendiri sudah lari daripada kepatuhan pelaksanaan indeks syariah.

Memang golongan liberal gemar berhujah dengan logik akal semata-mata bertujuan mengeliru dan mempengaruhi golongan lemah jati dirinya. Untuk merasionalkan pesta arak ini, ada yang sanggup berhujah pihak menolak pesta arak ini adalah antihiburan.

Ini satu hujah yang amat dangkal yang tidak dapat membezakan pesta arak dengan hakikat hiburan yang sebenarnya. Kita tidak menolak hiburan seperti konsert nyanyian atau apa-apa bentuk hiburan tidak keterlaluan yang memberi kesan negatif kepada masyarakat. Apatah lagi jika hiburan itu disertakan dengan pesta arak, maka sudah tentu kita menolaknya.

Peranan ibu bapa penting

Dalam mencegah kemungkaran ini, peranan ibu-bapa sangat penting, iaitu dengan mengawasi anak remaja dan ahli keluarga mereka supaya tidak terjerumus dalam gejala minum arak. Kita sudah 'lesu dan lelah' berhadapan gejala penyalahgunaan dadah.

Justeru, apakah kita mahu menambah beban masalah lagi apabila tabiat minum arak membudaya dalam masyarakat kita? Pasti kita kecewa dengan mana-mana parti politik yang menyokong pesta arak terbabit.

Sudah tentu kita tidak boleh mengharap dan memberikan kepercayaan kepada parti yang menyokong dan memperjuangkan amalan bercanggah dengan nilai murni masyarakat kita.

Penulis adalah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

4130 dibaca
Berita Harian X