Jumaat, 6 Oktober 2017 | 6:45am
KHAZANAH, KWSP, TH dan PNB terbukti menguruskan dana dengan cemerlang mengikut mandat masing-masing.

Mempolitikkan dana jejas Malaysia

FIKIR sejenak apa yang dihadapi Pengarah Urusan dana pelaburan Kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional, iaitu Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan - kedua-duanya dana pelaburan utama negara ini.

Ketika orang lain menghabiskan masa setiap hari meneliti pelaburan dan memaksimumkan pulangan bagi pihak pembayar cukai dan ahlinya sejajar mandat mereka, Azman dan Shahril terpaksa menghadapi pelbagai berita palsu dan maklumat tidak benar bermotif politik mengenai peruntukan aset dan strategi pelaburan mereka.

Mengambil gaya politik Malaysia dan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ini mungkin dianggap biasa dan pihak berkenaan ada hak mempersoal pengurusan dana pelaburan utama negara. Dua lagi ialah Lembaga Pengurusan Tabung Haji (TH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Melihat kepada kempen terbaru membabitkan khabar angin, gosip dan maklumat palsu di ruang siber, khususnya Whats-App, Twitter dan sebahagian media, pengurusan dana berkenaan terpaksa menghabiskan banyak masa bernilai untuk memberi reaksi kepada perkara berkenaan berbanding meneruskan usaha mempertingkat kekayaan waktu persaraan ahlinya dan negara.

Keadaannya seolah-olah seperti pengkritik Khazanah dan KWSP mengarahkan mereka menggerakkan strategi pelaburan melalui ulasan berterusan. September lalu, susulan daripada kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Khazanah dan KWSP dipaksa mempertahankan pelaburan khususnya di dua negara berkenaan.

"Khazanah mengamalkan proses penelitian dan penilaian ketat terhadap cadangan pelaburan yang membabitkan pemeriksaan terperinci dan pelbagai tapisan sebelum dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Khazanah untuk pertimbangan dan kelulusan.

"Selaras mandat kami sebagai dana pelaburan strategik yang mencipta nilai jangka panjang bagi Malaysia melalui pelbagai sektor dan geografi, Khazanah akan terus meneroka peluang pelaburan di AS," menurut kenyataan Khazanah.

Pada masa sama, KWSP terpaksa menolak dakwaan melulu bahawa ia membeli pesawat untuk Malaysia Airlines daripada Boeing; bahawa ia ada kaitan dengan kerugian tukaran mata wang 26 tahun lalu dan hanya boleh menyediakan simpanan kepada anggota melebihi 75 tahun sebelum dilanjutkan kepada 100 tahun beberapa tahun lalu.

Khazanah dan KWSP memiliki struktur pengurusan tadbir urus korporat dan dalaman yang kukuh serta berkedudukan tinggi mengikut standard antarabangsa. Contohnya, menurut Sovereign Wealth Fund (SWF) Institute berpejabat di AS, Khazanah memiliki AS$34.9 (RM147.6) bilion aset di bawah pengurusan (AUM) pada akhir Ogos 2017. Ia juga satu daripada dana pelaburan kerajaan paling telus dengan mencatat skor 9 daripada 10 berdasarkan Institute Linaburg-Maduell Transparency Index. Standard ketelusan dana pelaburan awam dipegang Dana Pencen Kerajaan Norway (GNPF) dengan skor 10. GNPF mengumumkan pada 19 September lalu bahawa nilai AUM miliknya mencecah AS$1 trilion (RM4.42 trilion), kali pertama dicapai oleh sesebuah SWF hingga kini.

Memenuhi standard tertinggi pelaburan

Peruntukan aset dan strategi pelaburan GNPF tentu yang paling ketat, telus dan inklusif dibandingkan dengan semua dana pelaburan awam. Ia juga memenuhi standard tertinggi pelaburan bertanggungjawab secara sosial dan etika (SRI) yang dipantau Majlis Etika bebas, lantikan Kementerian Kewangan yang memerlukan pendedahan korporat mengenai isu sosial oleh undang-undang, termasuk hak kanak-kanak, perubahan iklim dan pengurusan air ke atas syarikat mahu dilaburkan dana itu. Ia juga mempunyai senarai pengecualian membabitkan syarikat yang ditetapkan tidak layak dilaburkan dan ada pihak lain pula diletak dalam senarai pemantauan.

Ini seakan sama seperti Khazanah dan Majlis Penasihat Syariah KWSP, meliputi komponen pelaburannya dalam aspek yang patuh syariah. Dalam kes KWSP, pada akhir 2016 mempunyai pelaburan di bawah pengurusan keseluruhan sebanyak RM731.11 bilion, kenaikan sehingga 45 peratus dengan matlamat terus meningkatkan lagi susulan pelancaran dana pencen Islam bernilai RM100 bilion atau Simpanan Nasional pada Januari lalu - yang pertama seumpamanya di dunia - dan dijangka meningkat kepada RM150 bilion pada 2018.

Khazanah adalah perintis SRI Sukuk selepas mengeluarkannya dua kali di bawah Program Penge-luaran SRI Sukuk bernilai RM1 bilion, yang terakhir pada Ogos lalu dan turut membantu Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR anjuran kerajaan.

"Saya tidak fikir ada sesiapapun menjangka dana itu akan mampu mencapai AS$1 trilion apabila pindahan perolehan minyak pertama dibuat pada Mei 1996. Mencapai AS$1 trilion adalah satu pencapaian bersejarah dan pertumbuhan nilai pasaran dana itu amat mengejutkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Norges Bank Investment Management, Yngve Slyngstad yang mengurus pelaburan GNPF. GNPF adalah dana pelaburan awam paling cemerlang untuk dicontohi. Wujud persamaan tertentu dalam peruntukan aset dan strategi pengurusan pelaburan GNPF, Khazanah dan KWSP. GNPF adalah pelabur aktif dan mempunyai lima pejabat di luar negara selain melabur dalam aset di seluruh dunia, meskipun majoritinya di Norway dan Scandinavia dan kepelbagaian portfolio pelaburan mengikut geografi, termasuk AS, UK, Eropah dan Asia.

Penuhi janji dengan cemerlang

Ya, boleh berlaku kesilapan dalam keputusan untuk melabur kerana tindak tanduk pasaran, risiko strategi pengurusan dan keputusan dalaman pentadbiran. Tiada seorangpun pengurus, termasuk Warren Buffet mampu menawarkan pulangan positif berterusan. Itulah kenyataannya. Selagi wujud langkah pembetulan telus dan kuat, pelan alternatif dan mekanisme akauntabiliti, sesuatu yang ada dalam urus tadbir Khazanah dan KWSP, saya tidak faham apakah masalahnya.

Keseluruhannya, Khazanah, KWSP, TH dan PNB memenuhi janji mereka dengan cemerlang mengikut mandat masing-masing. Memang sentiasa wujud ruang untuk penambahbaikan. Khazanah dan KWSP patut menimbang untuk bekerjasama dengan GNPF melalui pelaburan bersama.

Mereka lakukannya di Australia dan rantau Teluk. Beberapa tahun lalu, syarikat SWF Perancis, Le Fonds stratégique d'investissement (FSI), yang diurus Caisse des Depots International Capital, turut juga mencadangkan program pelaburan bersama dengan dana pelaburan awam di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), khususnya pelaburan patuh syariah.

Bagi yang mempolitikkan isu membabitkan Khazanah, KWSP dan TH, mesej saya mudah sahaja: Hentikanlah. Itu hanya mebawa keburukan kepada Malaysia Inc dan sesuatu yang keterlaluan!

Penulis adalah pakar ekonomi dan penulis bebas berpejabat di London

1735 dibaca
Berita Harian X