Ahad, 8 Oktober 2017 | 11:31am
Penulis, Rashid Sibir (tengah) sedang mengarah salah satu dramanya. - Foto Metro

Karya seni penawar 'sakit' sosial

Dahulu kalau nak jadi pengarah atau sutradara susahnya bukan kepalang. Orang itu mesti tahu banyak benda mengenai penggambaran barulah boleh diangkat menjadi pengarah.

Saya pula selepas bergraduat buat semua benda. Saya jadi pengurus produksi, 'handyman', 'propman', 'contyman'. Pendek kata semua peringkat penggambaran saya tahu dan saya lalui. Sebab itu saya yakin sebelum saya duduk di kerusi pengarah dan cakap 'Action,' 'Cut'.

Bila kita tahu semua masalah orang bawah maka kita akan jadi orang atas yang serba tahu dan serba ambil berat. Seseorang pengarah itu tidak akan sesuka hati memaki hamun pekerja bila mereka salah buat sesuatu sebab dia pernah rasa duduk di situ dan dia tahu apa masalah mereka. Jadi, bila timbul masalah, pengarah dengan mudah dapat mengatasinya. Paling penting bagi saya hubungan antara pengarah dan pekerja rapat dan pekerjaan akan jadi lebih baik. Untuk duduk di kerusi pengarah, seseorang itu bukan sahaja hanya cakap 'Action', 'Cut' tetapi mesti faham apa yang ada di antara 'Action' dan 'Cut' itu, bukan duduk tengok monitor dan tersenyum sekejap dan selepas tu cakap 'Cut' dan 'next shot'. Pada saya, seorang pengarah itu mesti faham apa yang ada dalam frame gambar itu, apa yang perlu disampaikan kepada penonton dan sampaikah apa yang dikehendakinya daripada pelakon.

Dapatkah pelakon beri apa yang dikehendaki pengarah. Itu lebih penting daripada cakap 'Action' dan 'Cut' sahaja. Sebagai contoh, untuk realisasikan babak menangis, pengarah sendiri mesti sudah tahu input yang harus diberikan kepada pelakon dan bagaimana yang dimahukan ketika suntingan.

Bagaimana hendak masukkan muzik untuk beri mood kepada situasi itu dan bagaimana hendak beri frame sesuai bagi mencantikkan dan menimbulkan mood babak itu. Pengisian inilah yang boleh buat penonton menjadi sebak dan akhirnya air mata tak dapat ditahan lagi. Tidak perlu pelakon itu menangis hingga keluar hingus dan berguling guling bagi memberi mood kepada penonton, cukuplah intonasi, reaksi dan mood yang boleh mencengkam hati dan jiwa penonton barulah seisi rumah dan seisi negara menangis menyaksikan babak lakonan pelakon yang benar-benar beri kesan.

Sebab itu saya suka dan kerap ambil Fauziah Nawi, Norlia Ghani, Fauziah Ahmad Daud, Wan Maimunah, Jalil Hamid, Eman Manan dan Nasir Bilal Khan kerana mereka memang sinonim dengan peranan berat dan berjaya beri impak kepada penonton. Barulah pengarah boleh dipanggil pengarah kerana dia tahu merealisasikan babak tertentu, bukannya dengan segulung ijazah luar negara dan tahu berkata-kata maka dia boleh jadi pengarah yang berjaya.

Pengalaman dan isi dalaman seseorang pengarah itu juga penting untuk menjadikan dia pengarah yang berjaya suatu hari nanti. Dahulu mungkin kurang persaingan kerana stesen TV pun kurang, dan program drama pun kurang, tetapi stesen TV sudah bertambah dan program drama baharu setiap hari akan bersiaran. Oleh itu, permintaan untuk pelakon amat tinggi dan lumayan. Pelakon muncul bagai cendawan walaupun tiada hujan.

Pamer mutu lakonan bukan kacak, cantik

Dahulu nak kena tunggu hujan baru cendawan boleh tumbuh tetapi kini sesiapapun boleh jadi pelakon. Apa yang penting dia boleh berlakon dan ada rupa maka beribu-ribulah tweet di laman sosial yang memuji pelakon itu kacak , senyuman manis dan pelbagai lagi yang langsung tiada kaitan dengan watak dilakonkan.

Pujian adalah untuk pelakon itu sendiri. Pada saya ini adalah satu fenomena yang tidak baik kerana bila tamatnya sebuah drama itu maka tamatlah pujian kepada pelakon itu. Maka akan hilanglah pelakon itu di persada TV hinggalah dia muncul semula dalam sebuah drama baharu, baru-lah namanya disebut semula.

Berbanding pelakon awal 1990-an, nama mereka masih bersinar hingga sekarang kerana pamer mutu lakonan, bukan pamer wajah kacak dan cantik sahaja. Bagi saya stesen harus ada pantauan yang mana sesebuah drama mesti ada mutu lakonan yang baik, bukan hanya rating tinggi semata-mata kerana dikhuatiri untuk satu jangka masa yang panjang pelakon yang jual rating ini akan lesap dan lenyap kerana pelakon baharu beri rating lebih tinggi.

Tetapi, jika mereka 'menjual lakonan' maka mereka akan bertahan lama di persada seni ini. Nasihat saya kepada pelakon yang memberi rating tinggi sekarang, mereka harus mempersiapkan diri dengan pergi ke kelas lakonan supaya mutu lakonan dapat dipertingkatkan dan insya-Allah boleh bertahan lebih lama.

Pada zaman teknologi yang sememangnya meminta semua benda cepat dan mudah dan moden, saya harap agar stesen TV tidak terlalu terikut trend yang mahukan semua trending tanpa memikirkan kualiti program. Biarlah ada keseimbangan antara yang trending dan berkualiti. Supaya kita ada sumbangan kepada masyarakat kita. Masalah sosial yang sememangnya agak kritikal sekarang ini saya anggap harus diberikan ubat kepada masyarakat, dan biarlah ubat itu pahit tetapi mengubati, maknanya biarlah ada drama berat yang membawa nilai yang baik kepada masyarakat sebagai tanda tanggungjawab sosial kita kepada masya-rakat barulah stesen menjadi penyumbang kepada mengurangkan masalah sosial seperti anak luar nikah dan sebagainya yang amat menakutkan bukan hanya memberikan hiburan semata-mata.

Tanggungjawab sosial ini andainya dipegang kita boleh berbangga kerana masyarakat boleh menjadikan televisyen dan drama sebagai panduan dan pedoman serba sedikit untuk remaja mencari jalan baik untuk kehidupan mereka agar tidak tersasar dan jatuh dari landasan kehidupan. Biarlah kita berbangga kerana dapat sumbang ke arah mengurangkan gejala sosial daripada kita mengembangkan gejala sosial.

Dahulu memang segala-galanya susah kerana semuanya memerlukan pengorbanan dan jati diri yang tinggi. Semua mahu pertahan bakat dan mahu jual bakat yang ada. Semua mahu beri sumbangan bakti kepada masyarakat supaya anak seni ini diiktiraf penyumbang nilai murni dalam masyarakat dan jasa baik mereka diingati sehingga kini.

Penulis adalah seorang Sutradara

245 dibaca
Berita Harian X