Isnin, 9 Oktober 2017 | 11:41am
Bandar Las Vegas dilihat berdekatan dengan lokasi insiden tembakan dari Mandalay Bay Casino yang mencederakan lebih 500 pengunjung konsert di Las Vegas, Nevada pada 14 Oktober lalu. - Foto REUTERS

Barat hipokrit guna istilah pengganas

Tatkala dunia dikejutkan peristiwa serangan berdarah yang dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) sehingga meragut 59 nyawa di Las Vegas, satu hal timbul dan hangat dipersoalkan bukan sahaja di dunia Islam, bahkan pelbagai saluran media Barat utama.

Isu itu adalah penggunaan istilah 'terorisme' tidak digemakan sama sekali oleh media utama AS dan Barat bagi melabel penyerang. Ini berbeza dalam kes di mana pelakunya Muslim dengan spekulasi serangan pengganas meledak dalam masa singkat meskipun siasatan belum selesai.

Kali ini dilakukan lelaki kulit putih berusia 64 tahun, Stephen Paddock. Ia dirancang cukup teliti, lengkap set kamera bagi mengawasi polis. Pembunuhan besar-besaran ini menyaksikan Pad-dock melepaskan beratus-ratus tembakan dari tingkat 32 Mandalay Bay Casino yang turut cederakan lebih 500 pengunjung konsert di kawasan berhampiran.

Dari segi faktanya, peristiwa ini terjadi di Nevada dan undang-undang Nevada mendefinisikan terorisme seperti berikut: "Tindakan terorisme bermaksud sebarang tindakan babitkan penggunaan atau cubaan sabotaj, kekerasan atau keganasan mengakibatkan kecederaan fizikal yang parah atau kematian orang awam."

Malah, undang-undang Nevada secara jelas mendefinisikan individu boleh diklasifikasikan sebagai pengganas seperti berikut: "Seseorang yang sengaja melakukan, mengakibatkan, membantu, melanjutkan atau menyembunyikan tindakan terorisme".

Lebih mencurigakan adalah jawapan Syerif Joseph Lombardo sewaktu ditanya adakah serangan ini boleh dikategorikan sebagai serangan pengganas. Beliau menjawab, pihaknya belum tahu apakah kepercayaan penyerang. Jawapan beliau ini jelas mencadangkan jika Islam ialah 'sistem kepercayaan' Paddock, maka tindakannya boleh disifatkan sebagai terorisme.

Sememangnya, dalam bidang ilmu Sains Politik istilah 'terorisme' mempunyai kriteria yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu tindakan itu boleh diklasifikasikan sebagai 'pengganas' atau tidak.

Saintis politik yang kini bertugas sebagai Naib Canselor di Universiti Oxford, Louise Richardson menggariskan tujuh unsur tindakan pengganas iaitu mesti bermatlamat politik; babitkan keganasan atau ancaman melakukan keganasan; bermatlamat menghantar mesej dan bukan untuk kalahkan musuh; serangan serta mereka yang jadi mangsa mesti mempunyai kesignifikanan yang simbolik; dilaksanakan 'pihak subnegara' dan bukannya sesebuah negara; mangsa yang jadi sasaran mesti bukan terdiri daripada mereka yang ingin disasarkan mesej politik tadi; serta tindakan itu dirancang secara sengaja menyasarkan orang awam.

Serangan segera dilaporkan sebagai terorisme

Pastilah jika diaplikasikan secara rigid definisi 'terorisme' ini, serangan Paddock masih 'samar' dan belum diketahui motif mahu pun mesejnya. Namun, keadaan sama turut terpakai kepada Omar Mateen yang menembak mati 49 pengunjung kelab malam gay di Orlando pada Jun 2016; adik-beradik Tamerlan dan Dzokhar Tsarnaev dalam kes pengeboman dan tembakan rambang di Boston pada April 2013; juga kes John Allen Muhammad dan Lee Boyd Malvo yang membunuh secara rambang dengan tembakan hendap (sniper) dikenali sebagai 'D.C. Sniper Attack' pada Februari hingga Oktober 2002. Semua serangan ini pantas digembar-gemburkan sebagai terorisme sedangkan motif mereka bukan demikian.

Tiada siapa mampu nafi hakikat bahawa media AS dan Barat pantas dan tangkas melabel penyerang beragama Islam sebagai 'pengganas' sedang pada masa sama menghindari penggunaan istilah sama kepada penyerang dan pembunuh daripada latar agama dan masyarakat setempat.

Modus operandi ini nyata bersifat dwistandard. Paling tidak, mereka akan guna istilah 'suspek pengganas' jika penyerang seorang Muslim dan hanya akan buat penafian kemudian sekiranya bukti menunjukkan penyerang Muslim terbabit bukan pengganas.

Ringkasnya, jika anda melakukan serangan dan anda beragama Islam, maka anda akan disyaki dan diisytiharkan sebagai 'pengganas' hinggalah anda dibuktikan tidak terbabit dengan kumpulan pengganas atau apa-apa misi kumpulan militan. Sebaliknya, jika anda melakukan serangan dan berkulit putih serta bukan beragama Islam, maka anda tidak akan disyaki pengganas hinggalah motif anda melakukan serangan dikenalpasti. Begitulah hipokrit Barat yang tiada tandingannya.

Penulis adalah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

614 dibaca
Berita Harian X