Sabtu, 21 Oktober 2017 | 11:30am

Pembentukan Persekutuan hasil muafakat negeri

Malaysia pada hari ini bukan sebuah persekutuan yang bermula daripada kekosongan. Pada peringkat awal, ia adalah pemersekutuan sembilan Kerajaan Melayu berdaulat dengan dua Negeri Selat pada 21 Januari 1948, diikat melalui Perjanjian Persekutuan.

Ketatanegaraan Malaysia sebagai sebuah persekutuan perlu difahami dalam kerangka Persekutuan Tanah Melayu sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak. Bertitik tolak daripada itu, setakat peruntukan khas yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, sama ada dalam bentuk pengecualian atau hak tertentu, baki peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 seperti terikat ke atas Persekutuan Tanah Melayu adalah terpakai kepada Sabah dan Sarawak.

Implikasinya, kedaulatan Raja-Raja Melayu diberi taat setia berserta unsur watan Tanah Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, maka pada 16 September 1963 lahir Malaysia yang disertai sama Singapura. Perlu dinyatakan dengan tegas bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah Tanah Melayu, Islam sebagai undang-undang watan (law of the land), hak orang Melayu sebagai bangsa asal Tanah Melayu, bahasa Melayu yang sekian lama bertaraf Nusantara dan amalan adat Melayu adalah unsur watan atau warisan, berakar umbi dan adalah jati diri Tanah Melayu sejak Kesultanan Melayu Melaka.

Dirunding atas perkenan Raja-Raja Melayu

Semua unsur watan di atas dijelaskan Perjanjian Negeri 1948, seterusnya dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 sebagai jati diri bangsa.

Selain daripada peruntukan Perlembagaan yang merakamkan unsur watan dalam bentuk perlembagaan bertulis bersifat moden, peruntukan lain adalah persetujuan Raja-Raja Melayu selepas menerima kehendak British untuk memperkenalkan sistem demokrasi berparlimen, serta rundingan dengan Perikatan yang mewakili rakyat dan pandangan pelbagai pihak. Perlu dinyatakan, kepentingan sah kaum lain sebagai warganegara juga diakui selepas ia dirundingkan atas perkenan Raja-Raja Melayu. Atas premis di atas maka rakyat British diterima menjadi warga Persekutuan Tanah Melayu. Pada ketika itu, orang yang tidak tergolong dalam rakyat Raja-Raja Melayu yang mendiami Tanah Melayu dianggap sebagai rakyat British.

Selepas sekian lama kerajaan negeri bersekutu sebagai sebuah Persekutuan, satu aspek penting yang sering diabaikan apabila timbul isu antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah hakikat bahawa kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan pada hari ini asalnya pemberian kerajaan negeri melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan pindaan yang dibuat ke atas semua Perlembagaan Negeri (Rujuk CO 889/8. Memorandum Cadangan DYMM Raja-Raja Melayu).

Satu perkara perlu difahami, walau apapun alasan lain diberikan kepada atau bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia, ia diinstitusikan oleh dan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong (dan fungsi eksekutif yang boleh dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa melalui undang-undang) dan hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Persekutuan adalah daripada apa yang diserahkan atau/dan didelegat oleh Raja-Raja Melayu atas syarat asal yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Sebagai balasannya, maka kedaulatan Raja-Raja Melayu terus dipelihara dan dipasak dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 181(1). Dalam teks asal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, peruntukannya berbunyi, "Dengan terta'lok kepada syarat Perlembagaan ini, maka kedaulatan, keutamaan, kuasa, dan kekuasaan Raja2 dan keutamaan2, kuasa2 dan kekuasaan Undang2 dan Orang Besar Negeri Sembilan di-dalam negeri atau daerah masing-masing sa-bagaimana pada masa yang sudah2 itu hendaklah kekal tidak di-sentoh."

Pada sisi lain, Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama yang boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan sewajarnya dilihat sebagai balasan dalam bentuk perkhidmatan dan kewajipan yang perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri atas penyerahan atau delegasi kuasa dan hak negeri kepada Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Fasal (1) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

Atas posisi di atas, prinsip kuasa eksekutif yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah pada setiap masa menjaga hak semua kerajaan negeri dan kebajikan rakyat negeri dengan adil.

Dua jati diri Tanah Melayu ialah Islam dan Raja Melayu

Dari sisi sama, kerana dua unsur teras yang membina jati diri Tanah Melayu adalah Islam dan Institusi Raja Melayu, maka disyaratkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengikrarkan Sumpah Berjawatan seperti dalam Jadual 4 di bawah Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan sebelum melaksanakan amanah pemerintahan, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada peringkat Persekutuan juga wakil negeri dalam Dewan Negara untuk memantau hak negeri.

Bahkan diperuntukkan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, berpegang pada premis di atas, maka hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu dilaksanakan dalam kerangka konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

1810 dibaca
Berita Harian X