Rabu, 8 November 2017 | 6:32am
SIEW Keong (dua dari kiri) bersama pekebun kecil ketika melawat tanaman dan berkongsi maklumat

Lobi anti-minyak sawit ancam 650,000 pekebun kecil

SEBUAH jawatankuasa parlimen dwipartisan membabitkan enam Ahli Parlimen Malaysia sudah mengadakan siri pertemuan dengan Ahli Parlimen Eropah (MEP) di Brussels untuk membincangkan dasar pertanian, perhutanan dan alam sekitar Malaysia pada 13 hingga 21 Oktober lalu. Diketuai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merangkap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah bersama Datuk Liang Teck Meng, Datuk Marcus Mojigoh, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Dr Azman Ismail, delegasi itu berharap pertemuan berkenaan dapat memujuk Parlimen Eropah menimbang semula resolusi 4 April lalu untuk memperkenalkan skim pensijilan tunggal untuk minyak sawit memasuki pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan menghapuskan penggunaan biodiesel sawit menjelang tahun 2020.

Jejas pekebun kecil

Bagaimanapun, jika EU akhirnya memutuskan untuk menerima saranan diperjuangkan beberapa MEP, maka kehidupan hampir 650,000 pekebun kecil iaitu populasi teras daripada lebih dua juta orang yang bekerja dalam sektor minyak sawit akan terjejas teruk.

Dalam kenyataannya pada 30 Oktober lalu, delegasi EU ke Malaysia berkata, resolusi anti-minyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen Eropah (ENVI) pada 23 Oktober lalu adalah tidak terikat dan bukan sebahagian daripada inisiatif perundangan yang perlu disahkan negara anggota EU.

Bagaimanapun, resolusi itu berpotensi diterima pakai Suruhanjaya Eropah menjadi proses pengawal seliaan EU yang formal dan terikat. Jadi, kita tidak mampu menolak kemungkinan anti-minyak sawit EU sama sekali. Ini satu tamparan kepada perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU yang sedang berjalan dan akan menjejaskan perdagangan dua hala yang mencatatkan RM149.1 bilion pada 2016.

Sawit bantu basmi kemiskinan

Kini, hampir 40 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia seluas 5.74 juta hektar diuruskan pekebun kecil. Secara purata, pekebun kecil dengan kawasan penanaman 3.9 hektar mampu memperoleh pendapatan bersih bulanan antara RM2,000 hingga RM2,100. Kejayaan penanaman sawit komersial yang mencapai tahun ke-100 tahun ini menunjukkan kepada kerajaan sektor ini kaedah berkesan membasmi kemiskinan terutama di kawasan luar bandar dan mewujudkan peluang pekerjaan di sektor pertanian. Kejayaan ini mirip kepada FELDA dalam pembangunan tanah perintis bagi petani yang tidak memiliki tanah dan menggalakkan penanaman kelapa sawit. Ia juga selaras Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG).

Industri minyak sawit di Malaysia dikawal ketat. Terdapat lebih 60 undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan, merangkumi pemerataan tanah dan penanaman hingga ke pengangkutan serta pengeluaran bagi memastikan kelestarian pembangunannya selaras dengan amalan pertanian baik. Selain itu, undang-undang dan peraturan juga memastikan keseimbangan sihat antara pembangunan serta pemuliharaan alam sekitar dan habitat hidupan liar.

Sudah tentu, kejayaan industri minyak sawit menghadapi pelbagai cabaran. Tidak dinafikan persepsi negatif sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta isu seperti penebangan hutan, pelepasan gas rumah hijau, penanaman di tanah gambut, hak tanah dan hak pekerja menimbulkan sedikit keraguan dan keperluan penjenamaan semula minyak sawit dari Malaysia.

Piawaian tinggi

Pelaksanaan sistem persijilan yang berwibawa dengan menggunakan piawaian kebangsaan merangkumi dasar kemampanan konsisten dengan matlamat kemampanan kebangsaan yang lebih luas, adalah kaedah berkesan dan bertanggungjawab bagi menjenamakan minyak sawit Malaysia. Skim Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) bertujuan mengesahkan ladang kelapa sawit, kebun kecil yang bebas dan terancang serta kemudahan pemprosesan kelapa sawit berdasarkan tujuh prinsip iaitu menangani komitmen dan tanggungjawab pengurusan; ketelusan; pematuhan kepada keperluan undang-undang; tanggungjawab sosial, kesihatan, keselamatan dan keadaan pekerjaan; persekitaran, sumber asli, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem; amalan terbaik serta pembangunan penanaman baharu.

Skim Persijilan MSPO menyediakan amalan pertanian yang baik, penting bagi pertanian lestari, menghasilkan produk berkualiti tinggi dan meningkatkan produktiviti melalui pengoptimuman hasil. MSPO mempunyai potensi menaikkan hasil purata pekebun kecil daripada purata kebangsaan semasa antara 14 hingga 16 tan buah tandan segar (FFB) setahun, mencapai setinggi 20 hingga 25 tan FFB setahun. Ini pendapatan yang lebih tinggi untuk 650,000 petani.

Satu lagi ciri utama MSPO adalah peningkatan kebolehkesanan dari ladang dan kilang ke produk, memberikan kepastian kepatuhan berkelanjutan melalui rantaian nilai. Kami menerokai kaedah untuk mewujudkan identiti digital minyak sawit supaya setiap langkah proses pengeluaran direkodkan dan boleh dinilai untuk memastikan ia memenuhi piawaian tertinggi. Bagi memastikan ini berlaku, kami berhubung dengan organisasi antarabangsa terkemuka seperti Bluenumbers dari New York.

Kerajaan amat komited memastikan industri sawit mendapat persijilan penuh di bawah MSPO menjelang Disember 2019. Jadi, agensi khusus iaitu Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia ditubuhkan dengan sokongan pembiayaan sebanyak RM130 juta untuk memberi pengesahan pekebun kecil secara keseluruhan. Selain itu, estet dengan keluasan antara 40.46 hektar hingga 1,000 hektar diberi insentif 70 peratus, manakala estet dengan keluasan lebih 1,001 hektar diberi insentif 30 peratus, bertujuan mengimbangi sebahagian daripada kos audit. Sehubungan itu, kemudahan pemprosesan termasuk kilang, kilang penapisan dan penghancur juga akan menerima insentif 30 peratus daripada kos audit.

Kekal pembangunan seimbang

Walaupun pelbagai serangan tidak berasas dan tidak adil dari Barat dilontar terhadap minyak sawit, Malaysia kekal berdiri teguh kerana kita mengekalkan prinsip pembangunan keseimbangan dengan pemuliharaan secara konsisten. Dalam artikel terdahulu, saya sudah menunjukkan inisiatif pemuliharaan utama kami seperti Central Forest Spine, Heart of Borneo dan Dana Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia, dan saya komited melakukan semua yang termampu untuk menyampaikan lebih banyak demi industri kita.

Perkembangan di EU sangat mengecewakan. Mereka amat mudah menolak usaha yang kita ambil dalam semua aspek, termasuk pembabitan berganda dan berterusan bagi mencari penyelesaian sama rata serta cuba memaksa kita mengamal paiwaian yang kononnya lebih baik kepada kami.

Kita harus bertindak lebih tegas memandangkan tindakan anti-minyak sawit MEP dan penyokongnya terus membahayakan industri minyak sawit. Malaysia sudah menunjukkan kita mempunyai keberanian dan keyakinan melakukan apa yang diperlukan untuk menjaga kepentingan rakyat kita. Pendirian ini tidak berubah sampai bila-bila. Saya juga akan bertemu dengan duta semua negara anggota EU untuk menyampai mesej kita: bekerjasama dengan kita dan bukannya menentang kita.

Penulis ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Artikel ini adalah pandangan-editorial (op-ed) untuk berkongsi pandangan, harapan dan visi komoditi beliau bersama rakyat Malaysia.

1242 dibaca
Berita Harian X