Isnin, 13 November 2017 | 6:58am
MEMANDANG ringan masalah penyelenggaraan punca kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku.- Foto hiasan

Kenderaan berat perlu lebih dikawal

DI kala Perdana Menteri kita membentangkan Bajet 2018, telah berlaku kemalangan maut di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) babitkan sebuah kenderaan berat dan tiga kenderaan ringan. Malah terdapat beberapa kemalangan susulan membabitkan kenderaan berat juga selepas kejadian itu.

Dalam Bajet 2018, rakyat sedia maklum dengan kerancakan meningkatkan pembangunan infrastruktur kemudahan pengangkutan awam. Tetapi, sayang seribu kali sayang, tahap penguatkuasaan terhadap kenderaan berat di Malaysia masih di takuk lama. Jika kemalangan berpunca daripada masalah teknikal kenderaan berat, lebih-lebih lagi penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard ditetapkan, pemilik kenderaan berat itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kemalangan kerana cuai dalam masalah penyelenggaraan kenderaan miliknya.

Isu penyelenggaraan kenderaan berat ini tidak boleh di 'kawtim' dengan sewenang-wenangnya, kerana ia babitkan nyawa pengguna jalan raya yang memandu kenderaan ringan yang sama-sama berkongsi jalan raya dengan kenderaan berat, kecuali jika pemilik kenderaan berat bermurah hati mengeluarkan duit perbelanjaan untuk bina jalan raya khas untuk kenderaan berat sahaja.

Kewujudan kepelbagaian agensi kerajaan yang campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan berat juga dilihat cetus kekeliruan kepada pemilik kenderaan berat untuk mematuhi peraturan undang-undang jalan raya yang sedia ada. Oleh sebab itu, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) amat bersetuju jika SPAD dikawal selia secara terus di bawah pengurusan Kementerian Pengangkutan supaya penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan berat dapat diperketatkan secara telus.

Permasalahan teknikal kenderaan sebagai punca

Jika dilihat pada senario sekarang, kenderaan berat terutama yang mengangkut barang pembinaan (malah tidak diketahui sama ada berat muatannya mematuhi had berat atau tidak) tanpa 'segan silu' turut berada di atas jalan raya persekutuan bersama-sama merentas waktu puncak dengan pemandu kenderaan ringan. Malah, penambahan kesesakan jalan raya pada waktu puncak juga sering kali disebabkan oleh kerosakan kenderaan berat.

Tak boleh pandang ringan

Punca kemalangan sering dikaitkan dengan isu permasalahan teknikal kenderaan berat, maka ia seolah-olah menjadi perjudian hidup bagi pemandu kenderaan ringan berkongsi dengan kenderaan berat terutama ketika waktu puncak di jalan Persekutuan. Ingin ditekankan sekali lagi, masalah teknikal kenderaan berat mahupun kadar berat muatan tidak boleh dipandang ringan. Sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa bertindak agresif memperketatkan penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan di jalan raya.

Mungkin penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan berat ini tidak mendatangkan keuntungan seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan pengangkutan awam tetapi ia mampu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya.

Penulis ialah Pengurus Teknikal (Keselamatan dan Prestasi) Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia

743 dibaca
Berita Harian X