Selasa, 5 Disember 2017 | 6:18am
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di ibu negara baru-baru ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Misi MPM seiring pucuk pimpinan BN

DALAM dunia hari ini, kita harus berjiwa besar untuk mengecapi kejayaan. Begitulah antara inti ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM) di ibu negara baru-baru ini.

Apa yang pasti, MPM perlu memberi fokus kepada agenda besar negara, tanpa memikirkan tentang perkara-perkara yang remeh.

Itulah sebabnya Ahmad Zahid mahu supaya MPM jadi penyumbang idea untuk agenda pembangunan Melayu dan negara secara berterusan.

Selama ini MPM telah banyak kali menyuarakan pendapat dan bersama-sama bergerak melalui penganjuran forum serta persidangan bertujuan memberi kesedaran tentang betapa pentingnya penyatuan dan perjuangan bangsa Melayu.

"Kalau pentas disediakan, gunakan pentas. Zaman telah berlalu dan kita dibiarkan dipijak. Kita sering dipijak".

Begitulah yang terus dinyatakan oleh Ahmad Zahid dan pastinya ini satu cabaran kepada MPM terus memainkan peranan melaksanakan agenda pelbagai pembangunan Melayu dan negara secara umumnya.


Selaras dengan perkembangan zaman moden ini, MPM perlu terus menarik penyertaan lebih ramai golongan profesional, termasuk mereka yang lebih muda bagi bersama-sama memas-tikan idea dicetuskan itu dapat memberi sumbangan lebih besar dan bermakna kepada rakyat Malaysia.

Beri peluang, ruang kepada orang muda

Pada hari ini, sememangnya terdapat ramai anak muda yang berbakat besar dalam pelbagai bidang.

Oleh sebab yang demikian, berikanlah mereka peluang dan platform untuk menabur bakti kepada pembangunan bangsa dan negara. MPM mampu memberi peluang dan ruang kepada anak muda ini dalam pelbagai bidang profesion.

Ahmad Zahid juga menyentuh betapa pentingnya penghijrahan minda yang mana perubahan ini bukan hanya sekadar retorik politik, tetapi perlu ada kebijaksanaan, ketatasusilaan serta komited melaksanakan tanggungjawab diberikan.

Elemen ini dilihat penting untuk memastikan setiap perancangan benar-benar dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Cabarannya ialah untuk merealisasikan apa yang telah dirancang. Itu sebabnya MPM perlu membuktikan setiap program yang telah dirancang, perlu dilaksanakan dengan berkesan dan dapat memberikan impak positif kepada masyarakat umum.

Ahmad Zahid juga mengingatkan, masyarakat perlu sedar bahawa agenda yang diperjuangkan MPM selama ini tidak boleh mendesak serta mengetepikan kaum lain di Malaysia.

Saranan kepada semua kaum di Malaysia

"Kita tidak harus berada dalam kepompong sesama kita sahaja, bawa mereka duduk dalam MPM supaya menjadi check and balance serta ambil kepedulian idea-idea mereka supaya ada keterangkuman dalam pelaksanaan agenda besar ini."

Ini adalah saranan baik untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bersama-sama memainkan peranan membangunkan negara yang kita cintai ini.

Ucapan Ahmad Zahid juga merangkumi pengertian kesetiaan yang mana elemen ini penting untuk kita semua bergerak membangunkan agenda kerajaan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Berganding bahu membantu pucuk pimpinan

Itulah sebabnya sekali lagi Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa mempertahankan dan bersama-sama membantu Perdana Menteri, Datuk

Seri Najib Razak melaksanakan

pelbagai agenda yang memartabatkan negara serta rakyat.

"Saya ingin ulang jangan biarkan beliau keseorangan. Saya berjanji akan terus membantu beliau dalam menterjemahkan komitmen beliau, juga jangan biarkan kami berdua.

"Kami yakin di belakang kami ada MPM untuk membantu merealisasikan agenda ini," katanya.

Itulah kata-kata keramat yang pastinya akan terus memberikan semangat kepada perjuangan MPM untuk sentiasa berdiri dan bersama-sama berganding bahu membantu pucuk pimpinan negara yang tidak kenal erti penat dan sentiasa berusaha dalam membangun dan memartabatkan negara.

124 dibaca
Berita Harian X