Rabu, 20 Disember 2017 | 10:04am
KERAJAAN melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sentiasa berusaha meningkatkan mutu hasil komoditi negara melalui pelbagai program untuk kebaikan pelbagai pihak. - Foto hiasan

Usaha tingkat sektor komoditi 2018

APABILA saya dilantik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 28 Jun 2016, ramai mengatakan ia bagaikan sirih pulang ke gagang untuk parti Gerakan. Kementerian ini sentiasa dianggap 'portfolio Gerakan' kerana selama 26 tahun, tampuk kementerian diketuai pemimpin parti ini iaitu Datuk Paul Leong selama lapan tahun (1978- 1986) dan Tun Dr Lim Keng Yaik selama 18 tahun (1986-2004).

Saya dilahir dan dibesarkan di Teluk Intan, amat mengenali industri minyak sawit kerana menjadi pemacu utama ekonomi tempatan. Pemerhatian ini membuktikan kukuhnya ikatan komoditi dan kehidupan rakyat Malaysia yang menjadi tunjang kemapanan negara serta memberi kehidupan kepada jutaan rakyat Malaysia, terutama penduduk luar bandar. Jadi, saya bertekad memastikan industri ini dan mereka terbabit dalam sektor ini mendapat hak serta manfaat sewajarnya.

Di Malaysia, kawasan penanaman 6,910,773 hektar mencakupi 63 peratus tanah pertanian dan kira-kira 21 peratus tanaman komoditi utama seperti sawit, getah, koko, lada, kenaf serta sagu. Eksportnya menyumbang RM122 bilion atau hampir 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016. Sebanyak 40 peratus tanah diusahakan pekebun kecil, selebihnya diguna pengusaha estet dan perladangan besar.

Sektor komoditi juga menjadi penentu matlamat sosial utama: mengurangkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar. Perkembangan pesat Malaysia akan berjaya jika hasil pertumbuhan ekonomi diperluaskan kepada rakyat, terutama penduduk di pinggir bandar.

Pencapaian, cabaran

Tanggungjawab saya sejak 17 bulan dipenuhi pencapaian membanggakan dan cabaran, antaranya ulang tahun ke-100 penanaman kelapa sawit komersial. Tidak terbayang ladang komersial pertama di Tennamaram Estate, Selangor pada tahun 1917, berkembang mencakupi kawasan 5.74 juta hektar dan menyumbang eksport RM67.6 bilion pada tahun 2016.

Transformasi ekonomi kita hasil warga Perancis, Henri Fauconnier, yang menanam benih kelapa sawit 100 tahun dulu. Kini, Perancis dan anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) adalah golongan berusaha melumpuhkan sektor komoditi ini yang boleh menjejaskan kehidupan pekebun kecil serta kebergantungan negara.

Parlimen Eropah mengetatkan halangan perdagangan sehingga melanggar komitmen Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) EU dan menjejaskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU. Ia bermula di Parlimen EU pada 4 April lalu dengan resolusinya ke atas arahan tenaga boleh diperbaharui (RED) yang mahu memperkenalkan skim pensijilan tunggal bagi minyak sawit memasuki pasaran EU dan memansuhkan penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang 2021. Ini disokong Jawatankuasa Alam Sekitar Parlimen (ENVI) pada 23 Oktober lalu dan Jawatankuasa Industri, Penyelidikan & Tenaga (ITRE) pada 28 November 2017.

Saya akan mengambil tindakan perlu bagi menangani serangan tidak berasas ini termasuk berbincang bersama rakan sekerja di Indonesia dan melalui Majlis Pengeluaran Minyak Sawit Negara (CPOPC) bagi memastikan tindak balas terhadap kempen antiminyak sawit berkumpulan ini adalah berstruktur dan sistematik.

Tingkat kelestarian komoditi

Kita bergerak ke arah negara maju dan perlu memodenkan industri ini serta meningkatkan rantaian nilai dengan mengguna pakai inovasi dan mekanisasi Industri 4.0. Tiga keutamaan diberi perhatian untuk melindungi dan mengembangkan komoditi iaitu kemampanan, produktiviti dan kepelbagaian. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) EU menyemarakkan api serangan ke atas industri ini dengan isu pemusnahan hutan dan kepupusan hidupan liar.

Untuk menanganinya, kita berusaha meningkatkan kelestarian dan pemuliharaan dua isu ini secara berterusan, selain pelaksanaan mandat Skim Persijilan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MSPO) menjelang Disember 2019, berserta pembiayaan awam penuh untuk pensijilan pekebun kecil dan rebat kos audit bagi penanam, pengilang serta penapis utama.

Kementerian juga menyediakan geran bagi syarikat melanjutkan usaha pembangunan sektor hiliran dan industri hiliran lanjut minyak sawit. Syarikat minyak sawit dicabar menggandakan usaha dalam sektor oleokimia dan oleofarmaseutikal kerana minyak sawit mempunyai sifat penyembuhan semula jadi yang belum diselidiki sepenuhnya berikutan usaha awal ke arah itu memberi hasil memberangsangkan.

Kami juga berusaha meyakinkan Jawatankuasa Penganjuran Olimpik Tokyo bahawa Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) adalah mampan dan hasilnya, kayu-kayan Malaysia akan digunakan bagi membina Stadium Olimpik di Tokyo. MTCS juga diterima sepenuhnya United Kingdom, Jerman, Perancis, Denmark, Belgium, Finland, Switzerland dan Jepun.

Beberapa contoh inovasi tempatan mula dibangunkan. Pembinaan jalan raya getah atau 'rubberised roads' kini dalam tempoh percubaan dengan 28 kilometer (km) jalan sedang dibina termasuk tiga km di Teluk Intan, menjelang akhir tahun ini yang membantu mewujudkan piawaian pengkomersialan pada pertengahan 2018.

Keyakinan teguh

Menurut Yayasan Bantuan Makanan, 795 juta orang mengalami malnutrisi kronik di seluruh dunia. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) berkata, pengeluaran makanan global mesti meningkat 70 peratus pada 33 tahun akan datang bagi memastikan makanan cukup menjelang tahun 2050. Minyak sawit membekalkan satu pertiga minyak dan lemak dunia serta 55 peratus dieksport. Ini dihasilkan dengan kawasan seluas 19 juta hektar mewakili 0.4 peratus tanah pertanian dunia. Dengan penggunaan tanah paling rendah, kita membantu membekal makanan, pekerjaan, pendapatan dan meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Visi dan keputusan saya jelas, mahu melangkah ke tahun 2018 dengan penuh yakin untuk berkhidmat kepada industri serta rakyat terutama pekebun kecil. Saya percaya hari terbaik untuk industri komoditi dan negara kita masih belum datang. Kita bertemu lagi pada tahun 2018 dan selamat tahun baharu!

Datuk Seri Mah Siew Keong ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

937 dibaca
Berita Harian X