;
Isnin, 1 Januari 2018 | 7:09am
PENGUNDI muda, (dari kiri) Atiqah Kamaruzaman, 22, S Subramaniam, 27, dan Teoh Jin Ni, 25, menunjukkan jari mereka yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi di Parlimen Wangsa Maju di SMK Wangsa Melawati. - Foto fail NSTP/Salhani Ibrahim

Pengundi muda bijak buat pilihan

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka bila-bila masa pada awal 2018 ini. Dengan itu, pelbagai andaian dibuat bagaimana rupa bentuk keputusan PRU-14 nanti dan apakah faktor menyumbang kepada kemenangan atau kekalahan parti tertentu.

Antaranya, ada berpendapat mengatakan pengundi muda dan pengundi baru berdaftar, bakal mengundi buat kali pertama, akan menentukan keputusan PRU-14 kali ini. Malah ada pihak yang melahirkan kebimbangan kerana tidak pasti terhadap kecenderungan pengundi muda kali ini khususnya pengundi muda Melayu yang terdiri daripada hampir 54 peratus atau 7,883,017 pengundi Melayu berdaftar.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 30 Jun 2017, ada 14,622,640 pengundi berdaftar dengan SPR. Daripada jumlah itu, 7,883,017 adalah pengundi Melayu, termasuk 3,637,312 pengundi Melayu generasi muda di bawah umur 39 tahun.

Daripada jumlah itu pula, 1,566,562 adalah pengundi Melayu di bawah umur 29 tahun. Dengan itu, dianggarkan lima juta pengundi muda bakal mengundi buat kali pertama pada PRU-14, berbanding dengan hanya 600,000 pengundi muda pada PRU-12 dan kira-kira tiga juta pada PRU-13.

Dalam pada itu, umumnya, pengundi ditafsirkan sebagai pengundi muda terdiri daripada peringkat umur antara 21 hingga 39 tahun. Jumlah pengundi berdaftar mewakili kumpulan ini yang layak mengundi pada PRU-14 adalah 42 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar, termasuk pengundi muda yang bakal mengundi kali pertama adalah 20 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar.

Pemilih muda berdaftar

Penganalisis, termasuk aktivis dan pemimpin politik mengandaikan golongan ini bakal menentukan keputusan PRU-14. Persoalannya, apakah andaian mereka benar? Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan pemilih muda yang berdaftar, begitu besar jumlahnya, pasti akan menentukan keputusan pilihan raya nanti.

Persoalannya, apakah pengundi muda itu bersama BN atau parti pembangkang? Pihak pembangkang sering mendakwa pengundi muda bersama mereka. Di sebaliknya, keputusan pilihan raya kecil yang berlangsung selepas PRU-13 dan kajian pendapat awam yang dijalankan baru-baru ini, jelas menunjukkan pengundi muda menyokong BN dan pembangkang secara seimbang dan ada kalanya lebih memihak kepada BN.

Meskipun kajian pendapat awam dan pemerhati politik berpendapat bahawa masalah mendapatkan kerja yang baik dan menghadapi kenaikan kos sara hidup adalah isu yang menghantui generasi muda, malah mempengaruhi kecenderungan politik mereka, sebahagian besar pengundi muda berpendapat hanya Kerajaan BN mampu membantu mereka menyelesaikan isu yang mereka hadapi.

Malah, sebahagian besar pengundi muda bersetuju dengan dasar Kerajaan Pusat, terutama dasar yang mementingkan kebajikan rakyat.

Bijak buat penilaian

Sesungguhnya zaman pengundi muda yang mempercayai segala maklumat politik daripada media sosial dan internet dan terus teruja dengan pelbagai slogan termasuk 'ubah' dan 'menyelamatkan Malaysia' sudah lalu. Kajian didapati pengundi muda semakin bijak dalam membuat penilaian terhadap maklumat yang disebar luas atau menular dalam media sosial yang bermotif politik.

Tidak mudah lagi bagi pihak tertentu untuk mempengaruhi minda pengundi muda dengan pembohongan dan fitnah. Memandangkan pengundi muda kagum dengan prestasi Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, termasuk melaksanakan Program Transformasi Negara yang mewujudkan hampir 1.8 juta pekerjaan antara 2010 dan 2016.

Orang muda juga tertarik dengan faktor ini - lebih sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi bakal diwujudkan, pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus, membasmi kemiskinan kepada kadar 0.6 peratus, eksport negara meningkat, rizab antarabangsa terus meningkat, pendapatan purata isi rumah semakin meningkat, pelbagai kemudahan awam, termasuk pengangkutan awam rakyat disediakan dan pertingkatkan.

Malah menyediakan Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk membentuk dan mendirikan Malaysia bersandarkan acuan dan hasrat serta kehendak warga muda, maka andaian bahawa pengundi muda bakal memihak pembangkang tidak begitu tepat.

Mereka dijangka akan memihak BN pada PRU-14 supaya TN50 dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan dalam menjamin masa depan mereka lebih cemerlang.

Penulis adalah Pemikir dan Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia

5915 dibaca
Berita Harian X