;
Selasa, 2 Januari 2018 | 7:00am
- Gambar hiasan

Undi ikut kaum penentu PRU-14

Pakatan Rakyat (lebih dikenali Pakatan Harapan) terdiri daripada tiga parti politik utama, iaitu PKR, PAS dan DAP gagal mendapat bilangan Ahli Parlimen majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat hanya mendapat 89 kerusi; iaitu DAP 38 kerusi, PKR (30) dan PAS (21). Pakatan Rakyat gagal mendapat jumlah minimum 112 kerusi bagi membentuk majoriti mudah untuk menguasi Dewan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) dengan parti utama UMNO terus mengekalkan kuasa dengan memenangi 133 kerusi Parlimen. Walaupun berkurangan daripada apa yang dicapai pada PRU-12, (140 kerusi pada pilihan raya 2008), serta tidak memperoleh majoriti dua pertiga, BN tetap berjaya membentuk Kerajaan Pusat.

Kemenangan BN dalam gelombang tsunami politik pelbagai kaum, mempunyai makna besar kepada pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Andainya pimpinan Perdana Menteri gagal mempertahankan BN, maka akan bermula satu episod baharu dalam politik Malaysia.

Perbincangan dalam artikel ini akan menumpukan kepada kenapa Pakatan Rakyat gagal menguasai Kerajaan Pusat walaupun usaha besar-besaran dilakukan pihak pembangkang? Siapakah yang memberikan sokongan besar kepada Pakatan Rakyat? Pengundi manakah yang tidak memberikan sokongan besar kepada parti dalam Pakatan Rakyat? Kenapa golongan pengundi itu mengambil keputusan sedemikian? Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada apa yang berlaku pada pilihan raya 2013 ini bagi menghadapi PRU-14 nanti?

Kemenangan mendapat 89 kerusi Parlimen oleh pakatan pembangkang adalah satu peningkatan baharu yang belum pernah dicapai sebelum ini. Pihak pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 23 kerusi lagi bagi membentuk majoriti mudah. Kenapa jumlah ini tidak berjaya dicapai?

DAP menang besar di kawasan pengundi majoriti Cina

Jawapan mudah kerana parti berasaskan Melayu-Islam dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan besar pengundi di kawasan Parlimen majoriti Melayu. Pakatan Rakyat, khususnya DAP dan PKR, bukan Melayu hanya mendapat sokongan besar daripada pengundi Cina. DAP menang besar di kawasan pengundi majoriti Cina khususnya di kawasan pantai Barat Semenanjung dan bandar besar di Sabah dan Sarawak.

Kawasan Parlimen yang dimenangi DAP adalah seperti Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Bukit Gelugor, Ipoh Timur, Batu Gajah, Petaling Jaya Utara, Kepong, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras yang kesemuanya adalah kawasan pengundi majoriti kaum Cina. Hanya satu kawasan campuran yang dimenangi calon DAP Melayu, iaitu di Raub (48.9 peratus pengundi Melayu). Faktor peribadi calon dan faktor politik tempatan juga mempengaruhi kemenangan calon DAP Melayu di Parlimen Raub ini.

Parti politik Melayu, iaitu PAS dan PKR gagal mendapat sokongan besar pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar. Calon PKR yang bertanding di kawasan Parlimen yang besar peratus pengundi Melayu kalah di tangan BN/UMNO. PKR gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan dan Terengganu yang pengundinya lebih 90 peratus Melayu.

Hanya tiga calon PKR yang menang di Perak, iaitu di Sungai Siput, Gopeng dan Lumut. Antara tiga kawasan ini hanya satu calon PKR Melayu yang menang, iaitu di Lumut. Di kawasan Parlimen Lumut pengundi bukan Melayu agak besar, iaitu 48.7 peratus. Di Parlimen Sungai Siput dan Gopeng masing-masing dimenangi calon PKR daripada kaum India dan Cina.

Calon PKR yang bertanding di kawasan Parlimen yang besar peratus pengundi Melayu seperti di Tambun (64.12 peratus pengundi Melayu), Tapah (46.52 peratus), Pasir Salak (79.73 peratus), Bagan Datuh (56.6 peratus) dan Tanjong Malim (53.5 peratus), kalah di tangan BN.

Keadaan sama juga berlaku di Selangor, dengan PKR kebanyakannya menang di kawasan yang besar peratus pengundi bukan Melayu.

Faktor peribadi dan kelayakan akademik seperti Dr Abdul Aziz Bari (bekas profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa) yang bertanding di Sabak Bernam, gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada PKR.

Kekalahan PKR di Johor juga dapat dilihat bahawa ia mempunyai hubungan rapat dengan peratus pengundi Melayu di sesebuah kawasan Parlimen. Hanya satu kerusi Parlimen dimenangi PKR di Johor, iaitu Batu Pahat yang pengundi Melayu 52.67 peratus, tetapi pengundi kaum Cina agak besar, iaitu 45.6 peratus.

Lain-lain kawasan Parlimen yang besar peratus pengundi Melayu gagal dimenangi oleh PKR. PKR kalah di Sekijang (56.13 peratus Melayu), Ledang (53.6 peratus), Muar (62.8 peratus), Sembrong (58.7 peratus), Pengerang (88.43 peratus) dan Pontian (71.4 peratus).

Calon PAS juga mengalami keadaan hampir sama dengan calon PKR. PAS dikalahkan oleh UMNO/BN di kebanyakan kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang besar peratusnya. Calon PAS hanya menang besar di Kelantan dan Terengganu.

Gagal bentuk Kerajaan Pusat

Pengalaman kegagalan menguasai Kerajaan Pusat dilalui Pakatan Rakyat ini perlu diambil pengajaran bagi BN/UMNO untuk menghadapi PRU-14. Pakatan Rakyat gagal mendapat sejumlah minimum 112 kerusi iaitu 23 kerusi lagi bagi membentuk simple majority adalah kerana tidak mendapat sokongan besar pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar.

Jumlah 23 kerusi lagi yang diperlukan oleh PR bagi membentuk majoriti mudah itu akan diperoleh dengan mudah sekiranya mendapat sokongan dari kawasan majoriti Melayu. Pengundi Melayu pada umumnya menolak kerjasama parti Melayu (PAS dan PKR) dengan DAP. Walaupun DAP menggunakan strategi politik bersifat 'liberal' bagi menarik sokongan pengundi Melayu, orang Melayu sebahagian besarnya tidak yakin dengan falsafah politik DAP. Falsafah politik dan sejarah politik DAP mempengaruhi keputusan pengundi Melayu menolak Pakatan Rakyat pada PRU-13.

Persoalan ini harus diambil perhatian berat oleh BN/UMNO dalam menghadapi PRU-14. Tumpuan perlu diberikan kepada kawasan Parlimen majoriti Melayu dan tidak perlu memberikan harapan besar kepada perubahan sokongan pengundi kaum Cina (khususnya di kawasan bandar) kepada BN. Harapan besar harus diberikan kepada pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu.

Semua kawasan pengundi majoriti Melayu yang lebih 50 peratus pengundi Melayu seharusnya diletak calon BN daripada UMNO dan bukan kepada rakan BN daripada bukan Melayu, sama ada MCA, MIC atau GERAKAN.

Penulis adalah Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,
Universiti Malaysia Sabah

19583 dibaca
Berita Harian X