Rabu, 3 Januari 2018 | 7:00am
- Gambar hiasan

Cabaran 2018 dijangka lebih sengit

Berpandukan perkembangan sosio-politik tempatan dan antarabangsa pada 2017, masyarakat Malaysia dijangka berdepan dengan situasi dunia lebih mencabar pada 2018 ini. Wacana politik ekonomi kelihatan akan mendominasi pemikiran dan pergerakan masyarakat pada tahun akan datang.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun ini bakal menyaksikan wacana politik ekonomi menjadi antara tajuk terpenting kempen dan polemik politik. Isu seperti bagaimana untuk menangani permasalahan kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup pasti akan dibangkitkan dengan berterusan oleh pihak berkaitan.

Tambahan lagi, beberapa hal mengenai urus tadbir kewangan dan ekonomi pada 2017 yang masih menanti penyelesaian, akan terus menghangatkan perbincangan politik negara. Perdebatan politik ekonomi negara dijangka mencapai kemuncak baru dengan kepesatan teknologi media sosial.

Budaya celik teknologi maklumat yang bertambah tinggi dalam kalangan rakyat akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh perkumpulan politik bagi mempengaruhi pandangan awam. Kaedah dan seni menyaring, menepis dan menimbang segala maklumat yang berkembang adalah antara cabaran terbesar rakyat Malaysia pada tahun ini terutama sekali dalam menentukan pilihan mereka ketika PRU-14 nanti.

Rentetan itu, rakyat juga perlu berdepan dengan cabaran pasca keputusan PRU-14 nanti. Telahan ramai ia 'ibu' kepada pilihan raya umum dalam sejarah negara, kesengitan pertarungannya nanti bakal menguji kematangan rakyat terbanyak. Kita hendaklah bersedia dengan bersikap bijak dan terbuka mendepani apa juga keputusan majoriti.

Kesatuan dan perpaduan rakyat adalah kepentingan bersama yang mesti sama-sama dipelihara dalam apa juga situasi yang muncul dan berkembang. Masa depan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya bergantung sepenuhnya pada keupayaan masyarakat terbanyak berlapang dada, terbuka dan bersatu padu secara harmoni mendepani cabaran baru kehidupan.

Pada peringkat antarabangsa pula, 2018 dijangka akan mengundang lebih banyak kontroversi. Dasar pentadbiran Amerika Syarikat kini yang mengambil jalan sehala atau membuat keputusan berseorangan dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan masyarakat dunia akan menyumbang kepada pembentukan jalur perseteruan secara lebih terbuka antara pelbagai negara dan perikatannya.

Pendekatan pentadbiran itu seperti dalam kes pengisytiharan Juruselam sebagai ibu negara Israel baru-baru ini, jelas antara tindakan sehala yang tidak mempedulikan kepentingan masyarakat dunia. Sekiranya pendekatan ini terus menjadi amalan pentadbiran Amerika Syarikat, dunia akan menyaksikan banyak lagi perseteruan, pertembungan dan konflik antara negara-negara.

Undang reaksi balas

Dasar bertindak berseorangan Amerika Syarikat ini pasti akan mendorong reaksi balas dari negara kuasa besar dunia lain. Peranan Kesatuan Negara Eropah, Russia dan China menarik untuk diperhatikan terutama peranan mereka sebagai pengimbang kepada ketidaktentuan sosio-politik dunia yang bakal terbentuk nanti.

Dunia Islam masih belum mampu berperanan secara berpengaruh sebagai kuasa pengimbang sosio-politik dunia pada masa kini. Situasi di Asia Barat masih tidak menentu dan ini melemahkan peranan dunia Islam. Konflik yang belum berkesudahan di Syria, peperangan di Yaman dan pemulauan terhadap Qatar, mengganggu proses pembangunan dunia Islam dari segi politik dan ekonomi.

Dalam hubungan ini, Turki sedang dilihat cuba mengisi ruang kepemimpinan dunia Islam yang berada dalam keadaan lemah. Sekiranya banyak inisiatif kepemimpinannya disambut baik, peranan Turki akan memberi nafas baru terhadap dunia Islam. Bagi menjayakan peranan itu, Turki perlu lebih aktif dan kehadapan dalam memperjuangkan isu-isu keselamatan dan kemanusiaan yang sedang dihadapi dunia Islam terutama di rantau Teluk, Asia dan Afrika.

Sejajar dengan itu, Malaysia perlu terus bijaksana menempatkan diri dan berperanan secara seimbang di pentas politik dunia yang dinamik pada masa akan datang. Sebagai salah sebuah negara Islam contoh, peranan Malaysia akan ditonjolkan sejajar dengan pencapaian negara dalam banyak bidang kehidupan bernegara.

Barangkali salah satu sumbangan penting Malaysia kepada dunia Islam yang perlu digiatkan ialah bidang pembangunan sumber manusia. Institusi kependidikan negara perlu bersiap sedia ke hadapan menawarkan ruang bagi membina tenaga mahir yang bersedia memberikan khidmat kepakaran kepada seluruh masyarakat dunia terutama dunia Islam.

Rakyat Malaysia yang berketrampilan hendaklah mula memperluaskan horizon pemikiran mereka dengan mengenal pasti peluang perkhidmatan di peringkat global, seterusnya menabur ilmu dan bakti untuk kesejahteraan untuk masyarakat dan dunia sejagat.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Dakwah Negara (MDN) dan juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM

792 dibaca
Berita Harian X