;
Khamis, 4 Januari 2018 | 10:05am
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rakyat yakin Najib mampu harungi cabaran 2018

Dari segi pencapaian 2017 yang dirasai Malaysia, kita pasti tidak boleh lupa akan kejayaan dicapai oleh kontinjen negara dalam Sukan SEA 2107. Pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa adalah hasil usaha atlet serta semua rakyat Malaysia yang memberikan sokongan tanpa mengira kaum.

Ketika temasya ini berlangsung, kita dapat lihat bagaimana Malaysia mampu bangkit sebagai satu suara dan satu pasukan yang mahukan kejayaan untuk Malaysia. Inilah semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuh dan boleh dijadikan sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan.

Selain itu, Malaysia juga terus lantang bersuara pada peringkat antarabangsa, menyatakan dengan tegas di pentas global pelbagai krisis antarabangsa.

Baru-baru ini, Malaysia dengan lantang dan dengan berpendirian tegas, tanpa kompromi bahawa Baitulmuqaddis tidak boleh dan tidak akan diiktiraf sebagai ibu negara Israel seperti dilaungkan oleh Amerika Syarikat.

2017 juga adalah tahun yang penuh dengan pelbagai cabaran untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Apa yang pasti, beliau telah melalui segala ujian itu dengan cemerlang.

Letak kepercayaan kepada PM

Dari segi pencapaian ekonomi, contohnya Najib berjaya memimpin Malaysia mengharungi pelbagai saat getir 'pusaran dan gelombang' ekonomi global yang tidak menentu sepanjang 2017. Kini pasti rakyat akan terus meletakkan keyakinan serta kepercayaan kepada Najib untuk terus membawa ekonomi negara ke tahap lebih tinggi pada 2018.

Kepercayaan terhadap Najib semakin menyerlah apabila melihatkan Bajet 2018 yang dibentangkan pada Oktober lalu. Bajet yang mementingkan kesejahteraan rakyat diterima dengan respons yang sangat positif. Dan melihatkan pada pelbagai insentif diberikan, maka memang tepat bajet 2018 begitu prihatin kepada rakyat untuk terus mengharungi pelbagai cabaran serta persekitaran ekonomi yang pasti akan terus kekal mencabar pada 2018.

Dalam hal ini Najib sudah merangka pelbagai pakej rangsangan dan strategi untuk mengekalkan pertumbuhan mapan ekonomi negara. Perlu diingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang konsisten dapat melahirkan persekitaran positif dan ini akan memberi kesan baik terhadap perkembangan pasaran saham, sektor industri dan juga sektor pekerjaan yang akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Bagaimana pula dari segi politik? Najib ternyata seorang pemimpin yang sabar dan begitu matang melayani kerenah pelbagai pihak khasnya pembangkang yang tidak berhenti-henti memfitnah dan mengeluarkan pelbagai tohmahan kepada beliau.

Berdasarkan pengalaman yang beliau miliki, rakyat Malaysia yakin Najib akan menggunakan kecerdikan serta pengalaman luas membuat tindakan dan keputusan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia amnya.

2018 berkemungkinan menjanjikan cabaran lebih getir untuk Najib. Apatah lagi tahun ini juga tahun di mana rakyat akan membuat pilihan di kotak undi. Dalam hal ini, rakyat perlu menilai sebaik-baiknya pihak manakah yang terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan pihak mana yang terus menabur fitnah untuk kepentingan diri sendiri.

Ahli Jawatankuasa Teraju Majlis Perundingan Melayu Malaysia

2483 dibaca
Berita Harian X