Jumaat, 5 Januari 2018 | 7:33am

Rangka strategi bijaksana hadapi musuh Islam

Keputusan Presiden Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel berdasarkan pautan sejarahnya kembali ke 1967, ketika berlaku peperangan selama lima hari pada Jun antara Arab dengan Israel, yang akhirnya Israel berjaya menawan beberapa wilayah negara Arab Mesir dan Syria, termasuk Baitulmaqdis yang menjadi wilayahnya.

Banyak peristiwa sejarah yang berlaku kepada Masjid Al-Aqsa dan wilayah Baitulmaqdis sejak tarikh itu, yang mengakibatkan tekanan Israel semakin hebat terhadap rakyat Palestin, keganasan rakyat Palestin yang semakin marak dan penempatan rakyat Yahudi semakin bertambah di wilayah Gaza.

Malah, krisis politik yang berlaku antara Hamas dengan Fatah, dengan aliran dan falsafah perjuangannya yang berbeza, sehingga kedua-duanya terpaksa mendirikan dua kerajaan di Gaza serta Tebing Barat. Pemerintah Hamas dan Fatah berbeza perjuangan dan penyokongnya dari kalangan dunia Arab dan Iran, sehingga masalah dalaman ini menjadi duri dalam daging yang melemahkan kekuatan pertahanan dan perjuangan kedua-dua wilayah Palestin.

Dalam menghadapi tindakan ganas regim zionisme Israel di Palestin, rakyat Palestin terpaksa bertindak keras dan kasar. Satu isu kontroversi yang timbul dalam proses perjuangan rakyat Palestin ini ialah gerakan berani mati, iaitu satu cara serangan yang dilakukan terhadap negara Israel dan rakyatnya oleh pejuang Palestin yang mengikat diri dengan bahan letupan, kemudian meletupkan diri di-mana-mana sahaja yang dijadikan sasaran untuk membunuh orang Israel, tanpa mengira sama ada orang awam, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.

Ketika dalam tekanan politik dan ketenteraan yang hebat ke atas rakyat Palestin, maka ada fatwa yang mengatakan bahawa semua penduduk Israel adalah tergolong di dalam kategori tentera, dan Israel mempunyai niat untuk menjajah semua tanah Arab dari Teluk Furat ke Teluk Arab. Oleh itu, perbuatan bunuh diri untuk membunuh rakyat dan tentera Israel adalah jihad pada peringkat paling tinggi.

Dengan itu, pelakuan itu yang dikenali dengan istilah Harakah al-Istisyhadiyyah (gerakan syahid) adalah satu perjuangan suci, dan orang yang terkorban di dalamnya adalah termasuk ke dalam kategori orang yang mati syahid. Dalam keadaan ini, tidak timbul sama sekali persoalan, apakah fatwa mengenai pengebom bunuh diri ini sebagai fatwa yang mewakili majoriti ulama Islam?

Bagaimanakah pula pandangan Islam mengenai fatwa sesetengah ulama yang menyatakan bahawa ketika negara atau umat Islam diserang musuh, termasuk membunuh orang awam, maka umat Islam mestilah bertindak mempertahankan diri, tetapi pada masa sama, umat Islam, tanpa sebarang justifikasi yang dibenarkan oleh syariah, tidak seharusnya mengambil tindakan menyerang dan membunuh orang awam mereka.

Umat Islam juga seharusnya menentukan pendirian dan menjelaskan dasar ajaran Islam yang sebenarnya terhadap isu kekerasan dan keganasan. Perlu juga dijelaskan mengenai ajaran Islam terhadap gerakan radikalisme, ekstrimisme dan sebagainya yang membawa gejala keganasan dan konfrontasi bersenjata bagi memperjuangkan sesuatu hak, atau menegakkan hujah dalam mengemukakan sesuatu pandangan dan gagasan mereka. Hal ini perlu difahami dalam konteks masyarakat Islam sesama Islam dan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.

Rosakkan imej Islam

Mereka kadang-kadang berasa rendah diri untuk duduk semeja berdialog dengan orang lain. Sikap ini mengakibatkan rasa sombong dan bongkak serta sering menjadi pendorong untuk berkonfrantasi dan bertentangan secara kasar dalam budaya 'perang' yang tidak berkesudahan. Sikap ganas dan keras inilah yang sering dibesar-besarkan oleh Barat serta merosakkan imej Islam dan umatnya, sehingga dengan itu, Islam dihubungkan dengan kekerasan, keganasan, kemiskinan dan kejahilan.

Satu keputusan segera yang seharusnya diambil oleh umat Islam pada hari ini ialah menetapkan pendirian dan sikap terhadap kejahilan dan kemunduran mereka sendiri. Ketetapan itu bakal membentuk sikap umat Islam dalam merangka strategi untuk mengatasi kejahilan dan kemunduran mereka sendiri, sesuai dengan semangat dan ajaran Islam. Islam tidak mungkin membiarkan umatnya terus-menerus berada dalam keadaan jahil, buta huruf, bergelumang dengan kepercayaan karut dan khurafat, mangamalkan tradisi lama yang tidak produktif, penyelewengan dalam kehidupan akibat kejahilan terhadap ajaran agama dan sebagainya.

Di samping membetulkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam, maka segala tingkah laku dan tindakan orang Islam haruslah diteliti agar segala tindakan itu tidak bercanggah dengan adab sopan dan tatasusila agama dan budaya yang tinggi dalam kalangan masyarakat manusia yang bertamadun.

Susun strategi, taktik

Dalam menghadapi musuh yang bersatu menentang kita umat Islam, kita haruslah menyusun strategi dan taktik bijaksana serta sesuai dengan kemajuan dan pembangunan mental serta ilmu pengetahuan masa kini. Inilah yang dimaksudkan oleh Islam mengenai hikmah dan kebijaksanaan, nasihat dan teladan yang baik seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW serta ajaran yang holistik dari kitab suci al-Quran.

Hal ini menjadi bertambah penting ketika umat Islam dapat menyaksikan toleransi dunia luar, termasuk dunia Barat, terhadap umat Islam, seperti kesediaan mereka menerima pelarian perang dari negara Islam, melaungkan azan dan mendirikan solat di pusat beli-belah, di lapangan terbang, malah menyambut Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW dan sebagainya.

Hal ini menuntut umat Islam agar dapat mempelajari dan menghidupkan semula taktik perjuangan yang bertamadun seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika mula membuka lambaran sejarah global dan universal dalam sejarah Baginda berhijrah ke Madinah pada 622H.

Penulis ialah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

297 dibaca
Berita Harian X