Khamis, 11 Januari 2018 | 7:31am

Unit integriti perangi rasuah perhutanan tanpa SPRM

MEMERANGI rasuah dan menegakkan integriti bukan satu tanggungjawab eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seluruh warga perkhidmatan awam dalam perhutanan turut sama bertanggungjawab terhadap pematuhan undang-undang, polisi dan prosedur kerajaan. Justeru, penubuhan Unit Integriti Perhutanan adalah satu pendekatan baharu dan perubahan strategi ke arah memantapkan institusi integriti dan antirasuah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Penubuhan Unit Integriti sudah lama diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat. Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia membuat pindaan perjawatan dengan memansuhkan perjawatan pegawai SPRM dari seluruh kementerian dan jabatan yang berisiko.

Keputusan ini, berikutan keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 28 Julai 2017 yang bersetuju dengan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang turut membabitkan pengukuhan struktur pengurusan integriti dan tadbir urus negara, iaitu semua Ketua Unit Integriti di kementerian serta jabatan, hendaklah diketuai pegawai daripada skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti Di Semua Agensi Awam merealisasikan komitmen kerajaan menubuhkan Unit Integriti sebagai focal point kepada pengurusan isu berkaitan integriti di semua agensi awam. Pekeliling ini menjelaskan, perjawatan Ketua Unit Integriti di agensi memerlukan kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer/CeIO) atau kelayakan lain seperti diiktiraf Lembaga Pentauliahan Pegawai Integriti yang diurusetiakan oleh SPRM. Kursus CeIO dilaksanakan oleh SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Hakis keyakinan masyarakat

Mulai 1 Januari lalu, Unit Integriti Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak lagi diketuai oleh pegawai kanan SPRM dan hanya diteruskan oleh pegawai perhutanan sendiri. Berita penamatan perkhidmatan pegawai SRPM di kementerian dan agensi, termasuk Jabatan Perhutanan sedikit menghakis keyakinan masyarakat terhadap usaha Jabatan Perhutanan untuk memulihkan integriti perhutanan.

Tanggungjawab Unit Integriti untuk menyepadukan semua pengurusan hal yang berkaitan dengan integriti di bawah sebuah badan atau unit khusus sudah hilang aura dalam kalangan pemerhati masyarakat mahupun kalangan pegawai perhutanan sendiri yang mahu membuktikan khazanah hutan diurus dengan penuh integriti.

Keputusan kerajaan menubuhkan JITN tetap disambut baik walaupun tidak lagi membabitkan SPRM bagi memantapkan tadbir urus sedia ada. Hasrat kerajaan menggantikan SPRM dengan Unit Integriti di bawah Pengurusan JITN diharap dapat lebih fokus dan terancang di mana elemen penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan serta pengesanan salah laku dapat dikuatkuasakan secara efisien dan mencapai keberhasilan yang optimum.

Integriti secara umum, adalah kualiti unggul yang wujud dalam diri individu. Ia berkait rapat dengan isu etika dan nilai murni dalam diri seseorang serta sesebuah organisasi. Pegawai Tadbir dan Diplomatik juga diyakini mempunyai kualiti unggul dan terdiri daripada individu yang tinggi integriti apabila menjawat apa sahaja jawatan yang diamanahkan dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka perlu berusaha mengembalikan keyakinan masyarakat untuk membantu Jabatan Perhutanan memperbaiki penarafan risiko agensi yang dikelaskan tinggi kepada risiko sederhana atau rendah. Usaha ini penting bagi memastikan pengurusan sumber hutan negara dapat dikekalkan secara optimum.

Alam sekitar mempunyai kepelbagaian biodiversiti dapat dilindungi demi keseimbangan ekosistem dan ia adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai untuk kesejahteraan manusia.

Pelbagai program sudah dan sedang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung melalui pendekatan SPRM dalam memupuk dan memperkasa integriti dalam organisasi hendaklah diteruskan. Antaranya melalui program pencegahan seperti Kempen Tanpa Hadiah, Ikrar Bebas Rasuah, Program Mystery Shopping (Lawatan Mengejut), Integrity Testing dan Program Pemantapan Integriti.

Program ini juga diperluas di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri. Selain itu, melalui program Pengurusan Risiko Rasuah (Corruption Risk Management) juga akan terus diadakan pada tahun ini untuk mengenal pasti risiko rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh berlaku dalam proses kerja pengurusan perhutanan.

Kenal pasti kelemahan

Melalui medium ini, satu percambahan fikiran dalam kalangan pegawai yang terbabit secara langsung dalam proses kerja ini sudah mengenal pasti beberapa kelemahan sistem dan prosedur yang boleh ditambah baik, antaranya proses permohonan kelulusan kawasan pembalak. Antara penambahbaikan yang dikemuka ialah menyemak semula prosedur kerja permohonan kawasan dan mewujudkan sistem tender terbuka supaya pemilihan pembalak lebih telus, secara tidak langsung meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Berdasarkan statistik, 252 maklumat rasuah yang diperoleh daripada SPRM dari 2010 sehingga 2013. Selepas penubuhan Unit Integriti Perhutanan pada 2014 sehingga sekarang, jumlah maklumat berkaitan rasuah diterima berkaitan pegawai Jabatan Perhutanan di Semenanjung menunjukkan, penurunan kepada 207 maklumat sahaja.

Kes tangkapan membabitkan pegawai Jabatan Perhutanan adalah kes terpencil dan bukan gambaran sebenar masalah integriti yang berlaku di Jabatan Perhutanan. Namun, JPSM tiada kompromi terhadap pegawai dan kakitangannya yang terbabit dalam rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej serta maruah jabatan.

Pengurusan tertinggi JPSM tidak pernah jemu untuk terus mengadakan program kesedaran dan pengukuhan integriti pegawai serta kakitangannya bagi memastikan tahap integriti terus ditingkatkan.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan secara dalam talian melalui laman web rasmi JPSM, iaitu di www.forestry.gov.my.

712 dibaca
Berita Harian X