Isnin, 12 March 2018 | 6:52am
- Foto hiasan

Universiti awam, swasta perlu lebih proaktif

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi memperkenalkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) bagi memacu piawai dan pencapaian pengajaran dan pembelajaran. Piawai yang digubal oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu disepakati dan diterima pakai institusi tempatan yang memberi penuh iltizam bagi menjayakannya.

Peranan MQA penting untuk institusi tempatan melonjakkan kedudukan hingga tahap sekarang. Universiti terus memberi tumpuan mengukuhkan pengajaran dan penyelidikan seiring pembangunan infrastruktur, selain memperkenalkan program yang secara terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Pelajar perlu peka dengan perkembangan masyarakat dan industri. Justeru, perlu diberi galakan kepada program kesukarelawanan dalam mendampingi masyarakat dan pada masa sama, menganjurkan pembelajaran berasaskan pekerjaan (work-based learning). Institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh berpeluk tubuh sebagai menara gading.

Hasrat yang tinggi ini sangat penting kerana ijazah diperoleh graduan umpama pasport antarabangsa. Aliran di serata dunia terutama, di negara maju menunjukkan, tiada lagi individu bekerja di tempat sama dari hari mula bertugas hingga bersara. Makin banyak kerjaya memerlukan mobiliti dalam kalangan pekerja yang memungkinkan seseorang itu bertugas di beberapa tempat dan/atau majikan sepanjang kerjaya mereka.

Ijazah perlu diiktiraf di semua tempat

Justeru, kompetensi yang dilatih untuk mereka dan ijazah yang dikurniakan kepada mereka hendaklah diiktiraf dan diperlukan di pelbagai tempat. Kesedaran kepada hakikat dunia pekerjaan pada masa hadapan perlu menular dalam kalangan pelajar dan institusi pendidikan tinggi.

Pelbagai kaedah boleh diperkenalkan. Misalnya, penyelidikan diperkenalkan ketika mengikuti ijazah pertama. Universiti perlu juga menjalin rantaian yang mantap dengan universiti terkemuka dunia. Umpamanya, pelajar perubatan terbaik Tahun II Universiti UCSI dipilih melalui temu duga oleh Universiti Harvard untuk mengikuti program penyelidikan setahun di sana. Pengalaman ini serta pengalaman menulis kertas saintifik bersama profesor dari Universiti Harvard sudah tentu memberi pendedahan yang begitu penting kepada pelajar. Ini sudah tentu membuka ufuk yang luas bagi kerjaya mereka kelak.

Ranking, rating bukan matlamat mutlak

Dalam mengejar kualiti yang tinggi ini, kita dinilai oleh agensi antarabangsa dan dengan itu, universiti awam dan swasta mendapat kedudukan (ranking) dan pengiktirafan tertentu. Namun, perlu diingat ranking dan rating bukan suatu matlamat mutlak. Ia sekadar memberi jangkaan pada tahap pencapaian universiti itu dan juga memberi suatu cara bagi membuat perbandingan di antara universiti. Kita sebenarnya patut mengejar keutuhan universiti yang boleh diletakkan pada lima tahap:

  • Pertama; Kehadiran (Presence) - Tahap pencapaian kualiti;
  • Kedua; Keterlihatan (Visibility) - Tahap pencapaian kecemerlangan;
  • Ketiga; Ketara (Prominence) - institusi itu terkenal dalam bidang tertentu dan berupaya memacunya;
  • Keempat; Unggul (Eminence) - institusi yang terbilang dan terkemuka dengan ia menjadi rujukan dan penanda aras; dan
  • Kelima; Anggun (Elegance) - institusi mencapai peringkat tersohor dengan keutuhan serta budaya kesarjanaannya.

Dari segi dana, ada jurang besar di antara universiti ternama dunia dengan universiti lain terutama, universiti di negara membangun. Namun, negara membangun atau yang dianggap mundur mempunyai sesuatu yang diperlukan oleh negara dan universiti di negara maju.

Charles Darwin, umpamanya, tidak perlu bersusah payah belayar bertahun-tahun ke Galapagos dan Patagonia; Universiti Oxford dan Cambridge menanti kehadiran beliau. Namun, tanpa Galapagos dan Patagonia, mustahil beliau mendapat ilham, bahan serta data bagi menghasilkan Teori Evolusi yang begitu terpengaruh dalam alam sains dan peradaban manusia selama lebih dua kurun itu.

Negara membangun mempunyai khazanah kekayaan alam, termasuk kepelbagaian jenis hidupan yang amat dikehendaki oleh penyelidik di negara maju. Justeru, pentingnya universiti di negara membangun menjalinkan perkongsian akademik dengan universiti di negara maju, agar menguntungkan kedua-dua pihak. Ini bererti, sungguhpun dana universiti di negara membangun kecil, mereka mempunyai peranan besar dalam dunia kesarjanaan.

Lonjakan sarjana

Institusi pendidikan Malaysia, umpamanya, wujud di wilayah tempat yang kaya dengan hasil bumi yang diperlukan dunia. Flora dan fauna milik kita ini boleh melonjakkan kita ke arus perdana kesarjanaan dunia. Umpamanya, kita pernah menyumbang kepada bahan ubat-ubatan dunia.

Penyelidikan oleh saintis British sebelum kemerdekaan Tanah Melayu menghasilkan ubat warfarin daripada bisa ular kapak (Malayan pit viper), untuk mengelakkan pembekuan darah. Ubat ini digunakan berleluasa serata dunia bagi pesakit atrial fibrillation dan kegagalan jantung.

Beberapa dekad selepas merdeka, kajian daripada air liur lintah Malaysia menghasilkan streptokinase, ubat bagi mencairkan darah beku bagi pesakit serangan jantung. Kekayaan tumbuhan dan hutan Sarawak menghasilkan Vancomycin, iaitu antibiotik yang begitu kuat hingga digunakan untuk merawat jangkitan ketara bakteria stafilokokus (Methiciliin-resistant staphylococcus aureus - MRSA).

Ia juga memberi penemuan baharu dalam malaria, iaitu Plasmodium knowlesi. Malaysia pula dapat membangunkan industri getah dan sawit hingga menjadi komoditi peringkat dunia, walaupun kedua-dua tanaman ini bukan berasal dari Malaysia. Sekarang pula banyak tumpuan diberikan kepada kulit manggis, yang mengandungi antioksidan pada peringkat yang tinggi, yang berpotensi untuk dijadikan ubat.

Usaha mengukuhkan institusi tempatan sudah tentu akan memakan masa. Universiti Oxford dan Universiti Harvard sudah melalui perjalanan beratus-ratus tahun untuk mencapai kedudukan mereka sekarang. Strategi yang mantap, sokongan padu dan usaha yang berterusan serta kesabaran (agar kita tidak senantiasa mengalih haluan) akan berjaya membawa universiti kita ke tahap unggul dan anggun.

Penulis ialah Naib Canselor dan Presiden, Universiti UCSI

1129 dibaca
Berita Harian X