Selasa, 8 Mei 2018 | 5:13pm

BN di landasan kukuh pertahan Putrajaya

SEPERTI diduga, perlumbaan ke puncak Putrajaya ternyata getir, malah hampir pasti tidak pernah sesukar ini, namun tiupan anginnya terarah kepada penyandang kuasa.

Walaupun ada sesetengah pihak menyifatkan adalah sukar untuk membaca pemikiran pengundi Melayu dan meneka keputusannya, asas politik Barisan Nasional (BN) dilihat tetap utuh.

Banyak pihak meramalkan, gabungan parti pelbagai kaum itu berada di landasan betul untuk mengekalkan kuasa tetapi berbeza pendapat dari segi margin kemenangan.

Awalnya, BN kelihatan mendahului dengan selesa tetapi agak sedikit tersasar selepas proses penamaan calon, selain pengaruh pembangkang meresapi beberapa kerusi Melayu yang selama ini dianggap selamat bagi BN.

Sambutan dalam kalangan pengundi Cina kelihatan masih sukar, namun BN akan memperoleh kekuatan dari Sabah dan Sarawak.

Namun demikian, undi popular BN mungkin merosot kerana undi Melayu kini terbahagi kepada tiga antara BN, pakatan pembangkang dan PAS.

Pertembungan tiga penjuru

Banyak kawasan kerusi dominasi Melayu menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

PAS yang bergerak sendirian kali ini dan menjadi pemecah undi, akan membantu BN menambah majoriti di Parlimen.

Secara dasarnya, UMNO/BN memperoleh antara 45 hingga 55 peratus undi Melayu, PAS mendapat 25 hingga 35 peratus manakala pakatan pembangkang mendapat 15 hingga 25 peratus.

'Mangsa' dalam percaturan ini adalah parti komponen BN seperti MCA, GERAKAN dan MIC. Malah, besar kemungkinan, PAS akan 'menampung' bilangan kerusi yang diperlukan BN.

"Kita akan melihat lebih ramai Ahli Parlimen beragama Islam di Parlimen," kata Rita Sim, pengasas bersama dan felo Pusat Pemikiran Strategik (CENSE).

Keterlanjuran kata pemimpin pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila merujuk mereka yang meninggal dunia dalam tragedi Memali sebagai 'mati katak' dan komen Tun Daim Zainuddin bahawa parti di Sabah serta Sarawak 'mudah dibeli' mungkin menyebabkan pembangkang kehilangan undi.

Akhbar The Straits Times Singapore melaporkan Daim sebagai berkata, sekiranya BN kehilangan majoriti Parlimen kepada pembangkang di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak 'akan beralih angin' menyokong pakatan pembangkang.

Ini ditambah dengan kemarahan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terhadap Nga Kor Ming, berhubung ucapannya yang tersebar luas, sekali gus memaksa Pengerusi DAP Perak itu memohon maaf.

Dr Wan Azizah berkata, pakatan pembangkang tidak suka bahasa kesat digunakan terhadap Dr Mahathir yang juga calonnya bagi kerusi Parlimen Langkawi.

Kor Ming yang juga calon kerusi Parlimen Teluk Intan, menjadi tumpuan kontroversi selepas rakaman video dimuat naik menerusi akaun Facebook 'Gerak Perak', antara lain menunjukkan Kor Ming berceramah dengan menyindir Dr Mahathir yang disifatkan berada di ambang kematian.

Kor Ming turut dilaporkan menyebut kononnya bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew 'sudah penat bermain mahjong bersendirian' dan mahu Dr Mahathir menyertainya.

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan antara Datuk Seri Najib Razak yang meletak sandaran terhadap rekod pencapaian selama sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, menentang bekas ketuanya, Dr Mahathir. Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang, berharap dapat menumpang Dr Mahathir dan perpecahan undi Melayu demi kelangsungan hayat politiknya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Dr Mahathir dan DAP bekerjasama untuk cuba mengakhiri pemerintahan 61 tahun BN sejak kemerdekaan negara. PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi pihak ketiga dalam gabungan itu.

Persaingan tiga keluarga

"Sebenarnya, ia lebih menjurus kepada persaingan tiga keluarga iaitu Razak, Anwar, Mahathir," kata Sim. "Sama seperti zaman Sejarah Melayu."

'Pemenang' sebenar dalam pilihan raya kali ini, katanya, adalah DAP dan pengundi Cina yang berasa diperkasakan serta seronok melihat orang Melayu saling bercakaran.

Bagaimanapun, impian menggunung Kit Siang mahu melihat tsunami Melayu berlaku dengan pimpinan Dr Mahathir, mungkin tidak menjadi kenyataan.

"Ia bukan tsunami Melayu tetapi perpecahan Melayu," kata Sim.

DAP sanggup mengetepikan simbol 'Roket' kebanggaannya dan bersetuju menggunakan lambang PKR sepanjang berkempen bagi menarik sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, menjelang detik-detik akhir hari pengundian, DAP kembali menggunakan simbol 'Roket' kerana takut kehilangan undi Cina.

Mungkinkah pengundi Melayu termakan perangkap DAP? Jentera BN terus-menerus mengingatkan pengundi bahawa satu undi untuk PKR adalah satu undi buat DAP dan dasar anti-Melayu.

"Bolehkah DAP dipercayai untuk memperjuangkan agenda Bumiputera?" kata Najib. "Apa akan berlaku kepada UiTM dan FELDA pada masa akan datang?"

'Simpanan tetap' BN

Di Sabah dan Sarawak, BN dijangka memperkukuhkan cengkaman di kedua-dua negeri yang dilihat sebagai 'simpanan tetap' BN.

Parti Warisan Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Apdal, dilihat sebagai pemangkin perubahan di Sabah, namun tidak semestinya menjadi pilihan pengundi.

Justeru, parti serpihan akan mengambil kesempatan daripada 'peralihan angin' di Sabah, terutama kawasan Kadazandusun Murut yang bergelora sejak sekian lama.

Dr Mahathir yang masih kecewa selepas anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, digugurkan sebagai Menteri Besar Kedah dan tewas dalam pemilihan UMNO pada 2013, berikrar akan 'berjuang habis-habisan' untuk menggulingkan Najib.

Ironinya, 'perang' beliau terhadap Najib bertukar menjadi perjuangan mengakhiri pemerintahan 61 tahun BN di Malaysia.

Malah, beliau turut menarik beberapa bekas menteri dari zaman pentadbirannya untuk menyertai perjuangan itu.

Selepas 22 tahun berada di bawah kepemimpinan kuku besinya, apakah rakyat Malaysia akan kembali mempercayai kata-kata Dr Mahathir?

1298 dibaca
Berita Harian X