Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:59am

Kaji status tanah rizab Melayu, Orang Asli

SERING kali kita dengar rintihan Orang Asli mengenai pemilikan tanah. Kalau boleh mereka juga hendak memiliki tanah seperti kaum lain di negara kita.

Tanpa pemilikan individu, tiada pemilikan secara ekslusif dan insentif yang boleh dijalankan. Bolehkah Orang Asli memiliki tanah secara individu?

Pada era Greek dan Rom purba, kekayaan diukur mengikut bilangan hamba abdi yang dimiliki sehingga Solon menggubal undangundang Rom menghalang perkara ini.

Sejak itu, kekayaan bertukar pula kepada keluasan tanah yang dimiliki hinggakan Socrates dibunuh demi melindungi kepentingan orang kaya.

Plato, murid Socrates menulis buku Republics yang mengatakan bahawa kekayaan dan aktiviti ekonomi membawa keamanan dan kelangsungan hidup.

Sebaliknya, Rousseau mengatakan kekayaan tidak akan kekal disebabkan peperangan yang boleh memusnahkan.

Justeru, rakyat tidak seharusnya memiliki harta secara peribadi melebihi keperluan diri. Dasar Kerajaan Greek purba ini adalah asas kepada pemilikan harta secara komunal yang dikongsi bersama.

Namun, Plato dalam bukunya Republics menafikan fahaman komunisme, iaitu pemilikan tanah secara bersama.

Bagi Aristotle pula yang menulis buku Politics, bersetuju dengan fungsi dan peranan sesebuah kerajaan.

Akhirnya, hanya pemilikan empat lot tanah dibenarkan dan pihak kerajaan hanya membenarkan rakyat lelaki memilikki satu lot tanah setiap seorang.

Di kebanyakan negara Afrika seperti Afrika Selatan, Botswana, Kenya, Uganda, Swaziland dan Lesotho, tanah puak Pribumi ditentukan kerajaan untuk mereka bercucuk tanam dan mendapat perlindungan secara komunal yang dijaga ketua kampung atau penghulu.

Kawasan bersama ini tempat kaum Pribumi mengamalkan budaya setempat mereka. Pertanian secara tradisional dan budaya setempat menjadi cara mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, selain tanah komunal, terdapat juga tanah milik individu yang dibenarkan kerajaan. Apabila kerajaan cuba mengubah cara hidup dengan membawa pembangunan ke kawasan berkenaan, timbul konflik budaya dan cara hidup mereka yang terganggu.

Di negara kita, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) Pindaan 1974 membenarkan pihak kerajaan merizabkan sesebuah kawasan rayau untuk Orang Asli mencari makanan dan penempatan.

Akta ini tidak memperuntukkan pemilikan tanah secara persendirian, malah menafikan hak Orang Asli untuk memiliki tanah secara peribadi. Perlukah Akta ini dipinda bagi membolehkan pemilikan tanah Orang Asli secara perseorangan?

Sistem pemilikan di Barat melihat tanah sebagai pemilikan eksklusif dan insentif, manakala masyarakat Pribumi pula melihat tanah sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

Apabila Sistem Torrens diimport dari Australia Selatan pada 1858 ke negara kita, salah satu ciri utama ialah pemilikan harta tanah secara individu menggunakan sistem pendaftaran yang tidak boleh disangkal di mahkamah.

Sistem diperkenalkan Sir Robert Torrens ini bercanggah dengan sistem tanah komunal yang diamalkan bagi kebanyakan tanah Pribumi di seluruh dunia.

Sistem komunal memberi ruang bersama bagi masyarakat Pribumi, manakala sistem Torrens pula membuka peluang yang lebih untuk melakukan penjualan semula atau spekulasi dan harga harta tanah naik melambung tinggi dalam sekelip mata.

Begitupun, pendaftaran menjamin akses kewangan bagi menggalakkan pembinaan dan pembangunan harta tanah, sedangkan pemilikan bersama secara komunal tidak boleh dijual dan boleh dikatakan tiada spekulasi di pasaran harta tanah, sekali gus tanah kurang dimajukan.

Menurut Hernando de Soto, seorang pengkaji tanah, harta yang dimiliki puak pribumi dikenali sebagai modal mati atau dead capital.

Justeru, sistem pemilikan tanah yang ada di negara kita nampaknya pelbagai dan mengikut kesesuaian masyarakat yang memerlukannya.

Sistem Pendaftaran Torrens membenarkan pemilikan individu, mudah dijual beli di pasaran dan menyebabkan berlaku peningkatan harga harta tanah di pasaran, sebaliknya harta komunal tidak boleh dijual beli di pasaran dan menyebabkan harga tanah boleh dikawal.

Sebagai contoh, mengikut Akta Tanah 1897, Kawasan Penempatan Melayu (MAS) di Kampung Baru, Kuala Lumpur diperkenalkan Maxwell, iaitu Residen British di Selangor ketika itu.

Tanah MAS dikurniakan Sultan Abdul Samad secara ‘Kawasan Diluluskan’ atau approved areas (AA) tanpa pemilikan individu bagi setiap lot di kawasan seluas kira-kira 40 hektar berkenaan.

Kemudian bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris, pada 1970-an mengurniakan lot-lot perseorangan apabila beliau memperkenalkan

skim pinjaman perumahan bagi kawasan berkenaan.

Harga tanah rendah

Terdapat juga tanah tertentu seperti tanah rizab Melayu yang hanya boleh dijual beli dalam kalangan kaum Melayu mengikut Enakmen Rezab Melayu (1913). Ia menyebabkan secara umumnya, nilai dan harga tanah rendah dan meningkat dengan kadar perlahan.

Tanah Adat Melaka atau Malacca Customary Land (MCL) diperuntukkan secara hak milik individu dan sudah banyak dimajukan dengan jayanya. Begitu juga dengan tanah wakaf yang tidak boleh dijual beli secara langsung di pasaran terbuka, namun nilainya tidak dipengaruhi.

Tanah Native Customary Landrights (NCR) di Sarawak pula dikurniakan secara komunal dan masih tidak membabitkan lot individu.

Keadaan ini menjadi halangan apabila RISDA menghadapi masalah untuk memajukannya sedikit masa dahulu.

Justeru, untuk memajukan tanah komunal atau rizab Orang Asli, satu sumbang saran sudah dikemukakan pada Kongres Ekonomi Baharu Bumiputera baru-baru ini di Kuala Lumpur supaya satu kajian mendalam mengenai pemilikan tanah dilakukan pihak kerajaan.

Kepelbagaian pemilikan tanah, terutama sekali tanah rizab Melayu dan tanah wakaf perlu dilihat semula di bawah satu pelan reformasi tanah negara.

Daripada dapatan kajian ini, baru kita mengetahui keperluan mengubah suai status dan syarat pemilikan tanah, sama ada sudah sampai masa untuk diubah suai atau dikekalkan selaras perubahan dan kehendak rakyat.

Ia juga mengambil kira isu semasa seperti harga rumah yang sentiasa meningkat, kemiskinan bandar, kos sara hidup yang tinggi dan sebagainya.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Profesor Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

307 dibaca
Berita Harian X