;
Rabu, 9 Disember 2015 | 7:11am

Perhimpunan agung bukan soal peribadi


TIMBALAN Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamed Aziz, ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Perhimpunan Agung UMNO 2015 membuka tirainya secara rasmi hari ini. Ia adalah perhimpunan parti terbesar yang menjadi perhatian umum. Perwakilan juga berhak untuk menyentuh apa sahaja isu ketika membahaskan usul dan mengenal pasti isu serta permasalahan dalam parti, bangsa, agama dan negara.

Wartawan BH, Mohd Azis Ngah dan Mohd Anwar Patho Rohman mendapatkan pandangan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamed Aziz mengenai tradisi UMNO ini dan perkara yang boleh serta tidak dibolehkan dilakukan dalam perhimpunan.

Soalan (S): Apa yang Tan Sri boleh ulas mengenai perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini?

J: Macam biasa. Akan ada wakil negeri dan sayap, wakil mahasiswa untuk membahaskan usul presiden. Tiada tambahan dan masih sama seperti tahun lalu.

S: Adakah tempoh perbahasan juga sama?

J: Tempoh masa berbahas ditetapkan kepada jurucakap bergantung kepada keadaan, ada yang 20 minit dan mungkin ada yang 30 minit. Tidak kurang daripada 20 minit untuk setiap pembahas sebab kita hendak bahaskan banyak perkara dengan merujuk kepada tiga usul iaitu ekonomi, pendidikan dan agama. Dalam tempoh tiga hari itu, kita hendak bahas dan habiskan perkara yang penting. Kena sukat masa betul-betul. Bukannya tidak mahu bagi mereka bercakap tetapi jika mereka cakap lebih masa, itu sudah ambil dan hak pembahas lain. Kita kesuntukan masa dan terhad. Pembahas ini, semuanya orang bijak pandai. Kalau bagi masa setengah jam, memang sedaplah mereka bercakap. Tetapi jika masa cuma 20 minit, agak susah mereka hendak  berucap dalam tempoh itu. Lazimnya itulah masa yang kita tetapkan.

S: Mungkin akan tambah masa dan meleret ke lewat petang atau malam?

J: Bergantung pada keadaan. Saya ini cuma Timbalan Pengerusi Tetap, tidak boleh mengatasi kata putus Pengerusi Tetap. Beliau yang ada kuasa kata putus. 

S: Mungkinkah isu yang dibahaskan nanti akan timbul isu sensitif?

J: Ia terpulang (kepada pembahas). Kita tidak  boleh baca isi hati orang, perasan orang. Tetapi kami (Pengerusi Tetap dan timbalan) sudah berpakat bahawa Perhimpunan Agung UMNO adalah perkara yang berkaitan dengan bangsa, agama dan negara. Jadi, perbahasan mestilah tidak lari daripada ketiga-tiga perkara asas ini. Tidak ada cerita peribadi yang boleh dibawa ke dalam perhimpunan. Tiada individu yang boleh lebih daripada UMNO. Kalau agenda perjuangan UMNO adalah demi bangsa, agama dan negara, itulah yang kita akan bahas. Bagaimana nak majukan bangsa dan agama, semuanya berkisah mengenai kisah Melayu iaitu tidak boleh lari daripada tiga perkara asas tadi. Itulah yang jadi pegangan saya dan pengerusi. Pembahas boleh berkongsi apa saja tetapi mesti berkaitan bangsa, agama dan negara. Bagi saya, dalam perhimpunan ini, tiada soal peribadi. Itu pandangan saya, tetapi jika pembahas tetap hendak  bawa juga, itu terpulang.

S: Bagaimana jika masih ada pembahas yang bawa usul peribadi atau lari daripada isu utama tadi?

J: Dia kena bertanggungjawab. Mereka itu wakil negeri, pemuda, wanita atau puteri. Mereka tidak bercakap atas nama peribadi. Mesti bercakap mewakili pergerakan masing-masing. Kena tahu apa kehendak dan perjuangan sayap. Jika bercakap mewakili negeri, mesti tahu apa kehendak di peringkat negeri. Mereka membawa amanah dan hanya jurucakap sahaja. Peranan mereka kecil sangat. 

S: Ramai yang menjangkakan akan berlaku tindakan luar jangka sepanjang perhimpunan ini.

J: Itu kuasa Pengerusi Tetap. Mesti ikut peraturan. Pengerusi akan memandu perbahasan ke arah yang lebih baik. Mereka bukannya memihak pada mana-mana pihak. Yang penting ialah perlembagaan UMNO, peraturan UMNO dan segala agenda yang ditetapkan.

S: Bagaimana Tan Sri menilai trend perbahasan kali ini?

J: Setiap tahun ada perubahan, ikut isu semasa. Tidak perlu ada isu yang sama, contohnya ketika era inflasi, mereka bercakap soal inflasi. Jadi, ia lebih kepada hal semasa dan kita boleh congak apa yang bakal mereka bahaskan. Tetapi kena ingat, ia tidak boleh lari daripada perjuangan bangsa, agama dan negara. Ini pendapat saya. Tak tahulah bagaimana pendapat wakil negeri dan sayap. Jadi, tugas kami adalah memandu perbahasan. Jangan melintasi landasan yang sudah ditetapkan.

S: Mungkin akan berlaku ada wakil negeri bahagian akan lebih emosional atau menyentuh isu sensitif?

J: Saya tidak  fikir (soal itu) kerana perhimpunan agung bukannya soal peribadi. Parti lebih utama. Silaplah jika saya membenarkan perkara peribadi di bawa ke perhimpunan ini. Perhimpunan ini besar, untuk bincangkan soal lebih besar berkait agama, bangsa dan negara. Terpulang kepada mereka. 

S: Adakah mereka boleh disekat jika berdegil?

J: Tengok pada perlembagaan, kita akan teliti bagaimana perkara itu dibawa. Jika ia bercanggah dengan peraturan dan undang-undang, ia boleh disekat. PAU ini tidak boleh bercakap sesuka hati, kena ikut peraturan. Memanglah ada andaian bahawa akan berlaku perkara seperti itu, tetapi bagi saya, kami perlu jalankan tugas ikut agenda iaitu peraturan dalam mesyuarat. Kuasa tertinggi ialah perhimpunan dan jika ia tiada, kuasa diserah kepada Majlis Tertinggi (MT). Jadi, apabila MT membuat agenda, itu adalah agenda yang dibuat 'perhimpunan agung' kerana mereka yang melantik anggota MT. Kuasa MT itu besar, jika MT tetapkan agenda perhimpunan adalah begini, maka beginilah agenda yang akan dibincangkan. Apabila agenda membahaskan soal pokok pisang, janganlah pula kita bahas soal kambing. Begitulah perumpamaannya.

S: Adakah itu hak MT?

J: Itu hak dia. Yang membentuk MT ialah perhimpunan agung, jadi kena patuh arahan semasa. Selama 69 tahun usia UMNO, ia dikuasai MT. Kenapa pula sekarang kuasa MT nak dipertikaikan? Segala urusan parti dibuat MT, jadi tak boleh pertikaikan. Apa juga keputusan MT dibuat dalam mesyuarat, bukan dibuat secara individu, bukannya presiden pandai-pandai hendak buat keputusan sendiri. Kenapa nak pertikaikan? Sama juga dengan jawatankuasa disiplin, apabila mereka membuat keputusan, jangan pertikaikan. Ini kerana MT yang membentuk jawatankuasa itu, kenapa pula nak pertikaikan keputusan yang mereka buat? Sama kes perlawanan bola sepak, keputusan pengadil adalah muktamad kerana kita sudah pilih mereka untuk mengadili perlawanan. 

S: Jadi, MT boleh menghalang timbalan presiden untuk berucap pada penggulungan?

J: Boleh. Sebabnya, dalam peraturan, tiada ditetapkan penggulungan itu mesti ada ucapan Pemuda, Wanita, Puteri, Naib Presiden dan Timbalan. Jadi, lazimnya, individu yang paling penting untuk menjawab isu seperti ini ialah Presiden, jika di peringkat negeri ialah Pengerusi Perhubungan Negeri dan jika di peringkat bahagian ialah ketua bahagian. itu saja yang patut menjawab.

S: Mungkin kali ini perbahasan akan tamat lebih awal.

J: Saya tak fikir ia akan selesai lebih awal. Kalau presiden nak menjawab semuanya, mungkin tempoh perbahasan boleh dipanjangkan sikit. Itu cuma saya agak kerana semuanya akan ditetapkan MT. 

S: Apa jangkaan Tan Sri mengenai fokus kali ini?

J: Ia mungkin soal bebanan rakyat. Jika perkara itu tidak disentuh, tentunya itu satu kekurangan dalam PAU kali ini. Soal kehidupan rakyat mesti diketengahkan. Soal harga kenaikan barangan, kadar tol. Bukan kita minta mereka sentuh tetapi logiknya perkara seperti itulah yang mereka akan bahaskan.

S: Jika mereka diberikan masa 20 minit, mungkin juga akan ada yang menggunakan seminit untuk membangkitkan isu sensitif atau soal dalaman parti.

J: Itu kita tak boleh jangka dan kita tak boleh arahkan mereka buat begitu dan begini. 

 

S: Apa pandangan Tan Sri dengan sikap kepemimpinan UMNO sekarang, termasuk di peringkat bahagian hari ini yang akan menjadi jurucakap. Adakah sudah cukup matang?

J: Orang UMNO ini dia ada perasaan suka, tidak suka atau benci. Semua ada. Cuma macam mana mereka (perwakilan) hendak bawa benda macam ini dalam perhimpunan. Jangan rosakkan UMNO kerana UMNO adalah wadah. UMNO terlalu mahal bagi kita. Selama 69 tahun membentuk kerajaan berpuluh-puluh tahun tidak pernah gagal. Orang Melayu di bawah pentadbiran UMNO daripada tidak ada apa-apa, hari ini jurutera melambak, doktor melambak, orang kaya melambak, rumah banglo pun orang Melayu boleh beli. Dulu bumbung atap sahaja. Itu perubahan kehidupan manusia Melayu di negara ini yang diusahakan kerajaan UMNO yang memerintah. Jasa UMNO pada bangsa dan negara. Jangan rosakkannya. Jangan jadikan kepentingan individu melebihi kepentingan parti. Ini medan kita berbahas. Terpulang kepada kematangan seseorang menjadi wakil. 

S: Apa harapan Tan Sri dalam perhimpunan kali ini?

J: Harapan saya agar semuanya akan berjalan lancar dan baik, memberi keputusan amat membina untuk bantu negara dan negara. Itulah gunanya kita bersidang. Semua orang beri input dan kita terima. Kerajaan pun pernah kata, zaman kerajaan tahu semua perkara sudah luput. Maka, input dari bawah ini yang perlu kita dengar. 

S: Setakat ini, ada lebih 300 usul diterima oleh jawatankuasa usul, apa pendapat Tan Sri?

J: Itu perkara biasa. Usul berkenaan akan dirujuk kepada kementerian berkaitan untuk tindakan. Kebanyakan usul itu akan dirujuk kepada kementerian. 

S: Bersandarkan pada situasi yang berlaku sekarang, apa yang Tan Sri andaikan boleh terjadi dalam perhimpunan nanti?

J: Inilah perjuangan. Mesti ada cabaran. Macam mana nak kendalikan cabaran, ia bergantung kepada kebijaksanaan. Hendak kata situasi sekarang besar, memang besar dan kalau hendak kata kata kecil, mungkin kecil. Hendak kata ia situasi besar, ia tidak menyentuh perkara besar, hendak kata kecil tetapi tidak juga menyentuh perkara kecil.

S: Bagaimana UMNO hendak menguruskan pemimpin yang diketepikan?

J: Tindakan ini ada orang suka dan ada orang tidak suka. Setiap tindakan ada yang suka dan tidak suka. Yang suka ada alasan dan yang tidak suka juga ada alasan. Dua-dua alasan mereka betul. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Terpulang kepada siapa yang menilai. Yang penting, jangan lari daripada tujuan asal parti iaitu membela bangsa, agama dan negara. Berlapang dada.

169 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »