Rabu, 23 Disember 2015 | 5:18pm

50 pelukis tempatan bergabung sempena 1MCAT di Langkawi


YANG Dipertua Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA) Arjan Che Rus (kiri) mengiringi Timbalan Presiden Yayasan Komuniti Inklusif Langkawi, Datuk Dr Zainal Abidin Mohd Ali (dua dari kanan) melihat Pameran Seni Visual 1KAKI @ LANGKAWI selepas majlis perasmian pameran itu di Ayer hangat Village, Langkawi.- Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Seramai 50 pelukis tempatan bergabung tenaga melalui pameran seni visual '1KAKI @ LANGKAWI' anjuran Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA).

Bertempat di Ayer Hangat Village di sini, pameran dua bulan sehingga 31 Januari depan itu dianjur khusus sempena Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT).

Lebih 300 karya seni dihasilkan peserta dipamer membabitkan lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi dan grafik multimedia, bermatlamat mengetengahkan bakat pelukis tempatan.

Yang Dipertua LAVAA, Arjan Che Rus, berkata pameran lukisan semakin mendapat perhatian dan memberi masa depan baik, selain berpotensi menjadi produk tarikan pelancong.

"Kita yakin pameran ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelukis muda, pada masa sama menyediakan ruang pasaran untuk menggiat ekonomi para penggiat seni visual.

"Antara subjek lukisan dipamerkan termasuk keindahan pantai di Pulau Langkawi serta beberapa kawasan tarikan pelancong yang diterjemah menggunakan teknik lukisan seperti cat minyak, akrilik, cat air, catan dan kolaj," katanya.

Seorang pelukis, Salim Abd Aziz, 48, menyumbang lima lukisan dihasilkan menerusi teknik akrilik atas kanvas untuk dipamerkan.

"Kebanyakan lukisan saya bertemakan alam semula jadi, hidupan laut dan binatang yang biasa dilihat di Langkawi dan ia diolah semula untuk menampilkan nilai seni kontemporari," katanya.

186 dibaca
Berita Harian X