Ahad, 27 Disember 2015 | 5:36pm

Sarawak bangunkan semula kampung tradisi


MENTERI Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg hadir pada majlis Sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijrah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok anjuran Kumpulan Barzanji Masjid Darul Ihsan di Jalan Muda Hashim, Petra Jaya, sebentar tadi. - Foto Che Rani Che Din

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak bercadang memperluaskan konsep pembangunan Darul Hana membabitkan beberapa kawasan perkampungan tradisi di sekitar bandar raya ini.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata mengikut konsep berkenaan, kawasan penempatan terbabit akan dibangunkan secara lebih tersusun, selain dilengkapi pelbagai kemudahan sosial dan kemasyarakatan.

Katanya, inisiatif juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya lestari, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai tarikan pelancongan utama, terutama membabitkan kawasan perkampungan yang terdapat di sepanjang kawasan tebing Sungai Sarawak.

"Di Kuching, masih wujud kawasan penempatan tidak teratur sedangkan ia menjadi tarikan pelancongan, khusus dalam kalangan pelancong asing yang begitu berminat untuk menghayati kehidupan tradisi masyarakat kita.

"Justeru, ada baiknya pembangunan semula dilaksanakan, dengan setiap penempatan itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan yang mampu meningkatkan sosio-ekonomi setempat. Ini juga seiring dengan perkembangan semasa dan kita berharap komuniti setempat cukup bersedia untuk menerima pembaharuan persekitaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijrah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok anjuran Kumpulan Barzanji Masjid Darul Ihsan di Jalan Muda Hashim, di sini sebentar tadi.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek khas bagi membina penempatan baharu bagi masyarakat Melayu agar mereka boleh keluar dari kepompong corak kehidupan terbabit.

"Antara projek dilaksanakan kerajaan negeri bagi tujuan itu adalah pembinaan kawasan penempatan Darul Hana yang dibina bagi penduduk Kampung Seberang Hilir berpindah ke lokasi baharu.

"Dengan adanya projek itu, ia secara tidak langsung mewujudkan kawasan penempatan di bandar yang lebih teratur, selain memberi peluang kepada penduduk terbabit untuk menikmati kemudahan asas yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri melalui agenda pembangunan dititikberatkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang tidak hanya bertumpu di pedalaman dan luar bandar, malah merangkumi kawasan bandar di seluruh negeri.

"Sejak dari dulu lagi, kerajaan negeri menitikberatkan pembangunan masyarakat secara menyeluruh, termasuk isu penempatan masyarakat Melayu di kawasan bandar yang tidak teratur.

"Justeru, kerajaan Sarawak sentiasa optimis dalam usaha membawa arus pembangunan kepada rakyat di negeri ini secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum," katanya.

63 dibaca
Berita Harian X