Rabu, 30 Disember 2015 | 12:06am
ANGGOTA tentera 10 Briged Para pamerkan aksi tempur sempena lawatan dan penganugerahan Beret Merun serta Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged di Dataran Parawood Kem Terendak, Sungai Udang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KURSUS Asas Komando dijalankan selama tiga bulan merangkumi lima peringkat. - Muhammad Zuhairi Zuber
UJIAN dan latihan lasak yang diterapkan dalam pasukan komando membantu meningkatkan ketahanan diri anggota untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KURSUS Asas Komando adalah titik permulaan perkhidmatan dalam Rejimen Gerak Khas. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Ujian getir miliki 'beret hijau'

KETAHANAN fizikal dan mental yang tinggi selama tiga bulan merentas pelbagai halangan melayakkan seorang pegawai yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dianugerahkan Penuntut Terbaik pada Kursus Asas Komando Siri AK/2/2015.

Kursus asas yang dijalankan selama tiga bulan terdiri daripada lima peringkat iaitu peringkat kem selama lima minggu, peringkat hutan dua minggu, peringkat paya seminggu, peringkat laut dan penamat iaitu masing-masing dua minggu.

Penutup kursus asas komando berkenaan yang diadakan di Pantai Betutu Laut, Kem Sungai Udang, Melaka, dirasmikan oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki, diiringi Panglima Grup Gerak Khas, Brigedier Jeneral Datuk Effendi Abd Karim.

Penerima anugerah penuntut terbaik kursus, Leftenan Muda Mohamad Hairul Md Salleh, 24, tidak menyangka dapat memberikan saingan hebat memandangkan kursus itu disertai bersama 256 anggota dan pegawai sebelum terpilih di peringkat akhir kursus.

"Pada peringkat awal, seramai 257 pegawai dan anggota dari seluruh negara perlu meredah pelbagai cabaran di darat dan air sebelum hanya 38 pegawai dan anggota sahaja terpilih untuk mengikuti Kursus Asas Komando ini hingga ke peringkat akhir," katanya.

Mohamad Hairul mengikuti Kadet Tentera sejak menuntut di Universiti Pertahanan Nasional (UPEN) ditauliahkan sebagai pegawai pada April lalu.

Beliau menceburi bidang ketenteraan atas minat mendalam selain mengibaratkannya sebagai darah pahlawan dalam keluarga.

"Saya memasuki pasukan tentera ini kerana minat dalam diri walaupun menyedari banyak cabaran sukar untuk ditempuh sebelum layak bergelar pegawai.

"Pada kursus yang dijalankan ini, saya berjaya membuktikan kemampuan walau diasak dengan pahit getir.

"Saya gembira kerana berjaya melakukan yang paling baik mengatasi enam pegawai lain selepas dinilai secara keseluruhan dari segi mental dan fizikal. Tak dinafikan, cabarannya getir dan sepanjang kursus, kami melalui fasa kurang waktu tidur dan kurang makan.

"Ia bukan halangan dan alasan untuk meletakkan kemampuan diri pada tahap yang rendah, sebaliknya inilah yang menguji keupayaan bahawa saya mampu melakukannya di samping menjadikan pencapaian dimiliki untuk menggembirakan emak," katanya.

Mohamad Hairul yang bertugas di bawah Batilion 17 Rejimen Askar Melayu, Kem Terendak, melihat ujian dan latihan lasak yang diterapkan dalam pasukan komando membantu meningkatkan ketahanan dirinya untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya menyifatkan anugerah ini sebagai permulaan yang baik untuk saya kekalkan prestasi mental dan fizikal, selain berkat doa emak juga menjadi keutamaan untuk saya berjaya dalam hidup," kata anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Muar, Johor.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pelaksanaan Kursus Asas Komando berkenaan bertujuan memilih pegawai dan anggota tentera darat yang sukarela untuk berkhidmat dalam GGK, yang mana mereka perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal untuk melaluinya.

"Kursus ini adalah titik permulaan perkhidmatan dalam Rejimen Gerak Khas dalam usia yang muda dan mempunyai banyak ruang untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan mengaplikasikannya dengan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Pada majlis itu, beliau menganugerahkan beret hijau kepada 38 pegawai dan anggota bersempena Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas, yang melahirkan wira bertatatertib serta patuh dan taat kepada arahan dan peraturan ketenteraan.

543 dibaca
Berita Harian X