Jumaat, 1 Januari 2016 | 8:18pm

Pembeli rumah punyai kelebihan tawar-menawar

 

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah di negara ini dijangka akan memihak kepada pembeli, berbanding penjual, pada tahun ini sekali gus memberi kelebihan kepada pembeli untuk melaksanakan aktiviti tawar-menawar bagi mendapatkan harga belian yang lebih baik, kata penganalisis.

Situasi itu juga bakal membuka ruang kepada persaingan sengit dalam pelbagai segmen penawaran industri hartanah, termasuk hartanah lelong.

Pelabur Hartanah dan Pengurusan Kekayaan, Alan Poon, berkata hartanah lelong atau dikenali juga sebagai pasaran hartanah ketiga menyediakan peluang yang besar khususnya dalam persekitaran mencabar tahun ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman beliau, segmen hartanah lelong menyediakan lebih banyak pilihan mampu milik yang kadang-kalanya memberi pulangan pelaburan menarik.

"Saya tidak bermaksud menggunakan kesempitan orang lain untuk kesenangan kita, tetapi dari pengalaman saya, secara tidak langsung ada penjual yang datang berterima kasih kepada saya kerana membantu mereka.

"Penjual hartanah lelong kadang-kala terdesak memerlukan wang atas sebab tertentu, maka secara tidak langsung kita sebenarnya membantu mereka yang memerlukan.

"Semua orang akan melalui tempoh mencabar mereka. Saya berjaya bangkit balik gunakan strategi pelaburan dalam segmen hartanah lelong, saya akan kongsikan pengalaman ini dalam forum nanti," katanya dalam sesi temu bual sempena MyRumah, di sini, baru-baru ini.

MyRumah, pameran dan forum hartanah yang julung kali dianjurkan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan Andaman Group akan diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula 8 Januari ini.

Selain mempamerkan unit kediaman sekitar RM500,000 ke bawah, pengunjung turut berpeluang mempelajari selok-belok dunia hartanah menerusi forum yang menonjolkan 18 individu berpengaruh dalam industri.

Ia adalah platform terbaik untuk peserta industri hartanah dan pelabur amatur mempelajari taktik pelaburan hartanah daripada pakar industri hartanah serta tip mengenali kesempatan serta peluang pelaburan berpotensi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Vincent Tiew, berkata kedudukan persekitaran mencabar tahun ini akan memberi kesan kepada sebahagian besar peserta industri hartanah.

Katanya, pemaju berdepan persaingan tinggi mendapatkan pembeli, bagaimanapun, ia memberi kelebihan kepada pembeli memiliki kuasa menentukan harga, sekali gus memaksa berlakunya pembetulan teknikal dalam pasaran hartanah tempatan.

"Maka 2016 ini sebenarnya tempoh terbaik untuk pembeli mula mencari hartanah berpotensi untuk menggunakan pelaburan menempuh tempoh mencabar.

"Bahkan bagi pembeli rumah pertama juga mungkin berpeluang luas membeli kediaman pertama pada harga terbaik menerusi pelbagai saluran sama ada unit kediaman baharu daripada pemaju, pasaran kedua mahupun pasaran hartanah ketiga," katanya.

308 dibaca
Berita Harian X