Selasa, 5 Januari 2016 | 6:46am

Militan terpesong diresapi ideologi salah


PERJUANGAN IS yang melakukan pembunuhan membuta tuli bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. - Foto hiasan

Anak kecil masih memakai lampin yang belum kenal erti hidup sudah diajar memegang senjata api. Bayangkan corak hidup bakal dilaluinya nanti. Apatah lagi hari-hari jiwa mereka diresapkan ideologi salah mengenai matlamat perjuangan atau jihad yang terpesong daripada makna sebenar.

Itu yang sedang berlaku di Syria yang mempunyai dua kem latihan - satu khusus melatih kanak-kanak Kazakhstan dan satu lagi dari negara lain termasuk Malaysia untuk menjadi tentera IS.

Pastinya membimbangkan apabila seramai 123 rakyat Malaysia dikaitkan dengan kumpulan IS dan rangkaiannya di Syria serta Iran. Daripada jumlah itu, 66 dikenal pasti berada di Syria untuk berjuang bersama IS. Lebih membimbangkan, ada yang membawa keluarga termasuk anak bersama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nurjazlan Mohamed, berkata pembabitan rakyat Malaysia perlu ditangani dengan teliti dan sistematik. Peperangan dan keganasan dilancarkan sesama umat Islam seharusnya dihentikan segera kerana pengertian jihadnya yang salah serta kesan serius terhadap ekonomi, politik dan pencabulan hak kemanusiaan.

"Tidak wajar sama sekali bagi umat Islam di negara kita untuk terbabit dalam kegiatan keganasan dan seterusnya menerima padah serta kesan menyertai IS di negara berkenaan," katanya ketika merasmikan Seminar Negara Islam, Jihad vs Militan anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), baru-baru ini. 

Takrif pergolakan di Asia Barat

Katanya, istilah jihad sudah melalui evolusi tersendiri, tetapi sesetengah golongan dalam masyarakat membuat tafsiran tersendiri apabila cuba menakrif pergolakan berlaku di beberapa negara di Asia Barat dalam konteks melakukan jihad.

Yang hadir sama pada seminar itu Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Zahari Alias dan Presiden ASWAJA, Zamihan Mat Zin. 

Seminar dengan kerjasama MKN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan memberi kesedaran serta pencerahan mengenai maksud Negara Islam dan jihad dalam usaha memastikan masyarakat memahami senario ancaman keselamatan negara kerana penularan pengaruh fahaman ekstremis.

Felo Kanan, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, dalam pencerahan mengenai Negara Islam, Jihad dan Militan menjelaskan secara terperinci tiga istilah berkenaan serta kekeliruan yang menyebabkan timbul salah faham terhadap maksudnya yang sebenar.

Katanya, jika ada implementasi undang-undang Islam dan terzahir hukum-hakam serta syiar Islam di sesebuah negara, negara itu adalah negara Islam, maka ia menjadi asas jelas Malaysia adalah negara Islam.

"Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam agama negara. Sekular memisahkan agama dalam kenegaraan, sehubungan itu Malaysia bukan negara sekular. Jelas Malaysia sebuah negara Islam, tetapi masih banyak penambahbaikan boleh dilakukan," katanya.

Dari segi memahami jihad, beliau berkata, makna jihad secara umum ialah berusaha bersungguh-sungguh mentaati Allah SWT, manakala jihad khusus ialah memerangi orang kafir dengan tujuan menegakkan kalimah Allah SWT (kerana agama). Termasuk dalam jihad ialah jihad menuntut ilmu, melawan nafsu, amar makruf nahi mungkar, politik dan ekonomi.

Engku Ahmad Fadzil berkata, dalam memahami makna jihad sekarang antara pendekatan digunakan ialah memahami jihad sebagai aksi menumpahkan darah dan melakukan keganasan termasuk melalui aksi bunuh diri terhadap sesama Islam yang dilabel kafir musyrik atau murtad. 

Katanya, membunuh secara membuta tuli yang didakwa sebagai jihad itu yang memberi imej buruk kepada Islam dan dimaniskan pula dengan ayat al-Quran untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Justeru, beliau mencadangkan dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan untuk memantapkan kefahaman mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pengajian tauhid Asya'irah tradisional, tetapi menggunakan gaya penyampaian yang kontemporari serta memasukkan silibus amar makruf nahi mungkar, fiqh jihad dan fiqh taat pemerintah.

Tapis penceramah, pensyarah tempatan, luar negara

"Tapis semua penceramah, pensyarah tempatan dan luar negara sebelum dijemput atas dasar akidah. Wujudkan institusi khusus yang mengkaji serta memantau perkembangan media bagi langkah pencegahan selain mengawal elemen ekstrem, pelampau, sekularisme dan liberalisme," katanya.

Langkah penting lain ialah memperbaiki pengurusan pentadbiran dan persepsi di mana jika ada kelemahan pentadbiran perlu dimantapkan. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian 8 (M) Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika berkongsi fakta mengenai ancaman militan IS berkata, golongan ekstrem ini banyak mengambil pandangan keras Ibnu Taimiyah dan tokoh sealiran dengannya yang dijadikan rujukan dalam buku dihasilkan mereka.

Beliau berkata, kebanyakan yang menyertai kumpulan mendakwa sebagai golongan salafi, tetapi tidak mempunyai asas agama yang kukuh menyebabkan mereka mudah terpengaruh serta menerima ideologi yang disebarkan oleh ketua kumpulan berkenaan.

"Ideologi Islamic State Salafi Jihadi ini, demokrasi dan perlembagaan negara dianggap syirik dan wajib diperangi. Mereka menolak ijmak dan qias, negara Islam sekular murtad dan perlu diguling secara jihad qital. Orang bukan Islam dianggap kafir harbi dan wajib diperangi.

"Pihak polis dan kerajaan boleh dibunuh, harta mereka boleh dirampas. Halalkan darah dan harta orang Islam yang mengamalkan bidaah. Mempertikai perkara furuk dan menolak pegangan bermazhab. Golongan ini jika kita ikut boleh jadi liberal atau pengganas, jadi perlu hati-hati," katanya.

Katanya, fakta itu diperoleh daripada isi kandungan buku kumpulan berkenaan yang dirampas dan dikaji oleh pakar. Malah, Mufti Makkah, Sheikh Ahmad Zaini Dahlan dalam kitab Ad-Durrar as Sanniyah mengatakan golongan ini terseksa bila mendengar orang berselawat dan sanggup bunuh siapa yang berselawat.

Ayob berkata, daripada soal siasat dilakukan terhadap ketua kumpulan militan dan pengikutnya yang berjaya ditahan, fikrah mereka sama iaitu bermula dengan mengikuti kelas anjuran kumpulan berkenaan sebelum pemikiran dipengaruhi yang akhirnya mereka menyertai kumpulan itu.

Ramai terpengaruh walaupun diharamkan ulama

Beliau berkata, IS pun hingga sekarang banyak menimbulkan kekeliruan walaupun ulama sudah mengharamkan kumpulan berkenaan, tetapi masih ramai terpengaruh kerana pandangan yang berbeza dan di Malaysia pengaruh itu masih berkembang.

"Kita sudah jangka benda ini akan berlaku daripada penyebaran ideologi seperti serangan yang berlaku di banyak tempat. Ini yang kita tidak mahu terjadi di Malaysia. Jangan main-main bab isu keselamatan ini," katanya.

Katanya, dalam konteks IS bukan sahaja jaga tepi kain orang, malah jaga dalam kain orang perlu dilakukan dalam usaha mengenal dan mencegah penyebaran fahaman yang luar daripada mazhab empat yang difahami umat Islam di negara ini.

Pada masa sama, beliau meminta bantuan masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai ancaman IS kepada pihak polis bagi memudahkan usaha mencegah kumpulan itu daripada terus mempengaruhi orang ramai khususnya pelajar yang menjadi sasaran mereka.

376 dibaca
Berita Harian X