Selasa, 5 Januari 2016 | 1:53pm

LBS sasar jualan RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd menyasarkan jualannya akan meningkat kepada RM1.2 bilion tahun ini berbanding RM1.029 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San, berkata sasaran jualan itu mampu dicapai berdasarkan permintaan yang kukuh terhadap projek hartanahnya.

Beliau berkata, pada 2015, jualannya meningkat 60 peratus berbanding RM644 juta yang dicatatkan pada 2014 dengan projek hartanah di Selangor menjadi penyumbang utama kepada jualan memberangsangkan itu.

"Bagi tahun ini, kami akan melancarkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM2.5 bilion," katanya pada taklimat media mengenai rancangan dan tinjauan LBS bagi 2016 di Kuala Lumpur, hari ini.

Setakat ini, pemaju hartanah itu mempunyai 1,063.6 hektar tanah yang belum dibangunkan. Pelancaran hartanah pada masa depan terdiri daripada pembangunan pelbagai jenis kediaman serta komersial.

LBS juga proaktif dalam menyediakan rumah mampu milik dengan pelancaran akan datang seperti Rumah Selangorku di Bandar Saujana Putra dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Bukit Jalil.

28 dibaca
Berita Harian X