Selasa, 5 Januari 2016 | 9:05pm

LBS Bina yakin raih jualan RM1.2 bilion tahun ini


PENGARAH Urusan LBS, Tan Sri Lim Hock San, ketika sidang media di Kuala Lumpur Golf Country Club, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd yakin dapat meraih jualan bernilai RM1.2 bilion tahun ini, didorong oleh permintaan yang kukuh untuk projek hartanahnya selepas mencatatkan rekod jualan tahun lalu.

Bagi 2016, pemaju hartanah itu bercadang untuk melancarkan 15 projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2.5 bilion.

Pengarah Urusan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata pihaknya yakin dapat mencatatkan prestasi kewangan lebih baik tahun ini, disokong jumlah jualan yang belum dibil yang kukuh.

Katanya, syarikat mempunyai jumlah jualan belum dibil berjumlah RM993 juta setakat 31 Disember 2015.

Beliau berkata, tahun lalu jualan LBS meningkat 60 peratus berbanding RM644 juta yang dicatatkan pada 2014, dengan projek hartanah di Selangor menjadi penyumbang utama kepada jualan memberangsangkan itu.

"Kami yakin sasaran jualan RM1.2 bilion bagi 2016 dapat dicapai bersandarkan kepada permintaan yang memberangsangkan serta pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai tinjauan dan rancangan LBS bagi 2016 di sini, hari ini.

Hock San berkata, pihaknya menjangkakan pembangunan hartanah di Lembah Klang akan menjadi penyumbang utama kepada jualan tahun ini yang mewakili lebih 85 peratus, diikuti projek hartanah di Johor dan wilayah lain.

Katanya, LBS kini mempunyai 1,063.6 hektar tanah yang belum dibangunkan dengan GDV berjumlah RM21.5 bilion.

Beliau berkata, pelancaran hartanah pada masa depan LBS terdiri daripada pembangunan pelbagai jenis kediaman serta komersial.

"Kami juga proaktif dalam menyediakan rumah mampu milik dengan pelancaran akan datang seperti Rumah Selangorku di Bandar Saujana Putra dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Bukit Jalil," katanya.

Mengenai perniagaan di China, Hock San berkata, syarikat sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan China untuk melaksanakan projek pembangunan berkaitan pelancongan di Zhuhai, China.

Beliau berkata, projek pembangunan di China itu adalah projek jangka panjang pemaju hartanah itu.

"Kami berharap mendapat kelulusan daripada kerajaan China dalam tempoh enam bulan ini," katanya.

33 dibaca
Berita Harian X