;
Jumaat, 8 Januari 2016 | 9:28am

Lelaki maut kereta terputus dua


KERETA PROTON Iswara dipandu mangsa putus dua akibat dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, malam tadi.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta PROTON Iswara dipandunya terputus dua akibat dirempuh sebuah kenderaan lain di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, Yacob Ahmad, 50, berasal dari Sandakan, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera teruk di badan dan kepala akibat tersepit.

Kejadian turut mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta PERODUA Kelisa yang merempuh kereta mangsa, parah dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sebelum kejadian PERODUA Kelisa itu dalam perjalanan dari Menggatal ke Kota Kinabalu.


PERODUA Kelisa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pintas Tuaran, berhampiran Kampung Puri Warisan, Menggatal, malam tadi, turut mengalami kerosakan teruk.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu merempuh bahagian tepi sebelah kiri PROTON Iswara yang membuat pusingan U.

"Rempuhan itu mengakibatkan PROTON Iswara terbabit terputus dua dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas tersepit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Chandra berkata, berikutan kejadian itu, penumpang wanita PERODUA Kelisa berusia 24 tahun cedera di kepala dan belum sedarkan diri, manakala pemandunya iaitu lelaki berusia 25 tahun patah kaki kiri serta luka di badan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

534 dibaca
Berita Harian X