Sabtu, 9 Januari 2016 | 12:00am

Masakan Cina berperisa menyengat


CHEF berpengalaman, Alex Choong Man, yang terkenal dengan resipi fusion. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MENGETENGAHKAN menu masakan Cina seolah-olah menjadi satu aliran baru kepada pengusaha restoran dan 'pemburu makanan'.

Tidak kira restoran biasa atau hotel, masing-masing cuba menyediakan masakan Cina ini yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan.

Antaranya Restoran Flavors di Swiss Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur yang berusaha mengukuhkan menu masakan Cina dengan memanfaatkan air tangan Chef berpengalaman, Alex Choong Man, yang terkenal dengan resipi fusion, selain mengutamakan ramuan herba tempatan dalam menyedapkan makanan.

Berbanding makanan Cina biasa yang tidak pedas, Alex sebaliknya menambah rencah dan perisa menyengat dengan memasukkan santan kelapa, kunyit, bunga lawang dan bunga cengkih yang disifatkannya mewakili cita rasa pelbagai kaum di Malaysia.

"Sayang jika tidak menggunakan sepenuhnya kekayaan alam yang kita ada. Bagi, saya santan kelapa menjadikan makanan lebih enak namun pada masa sama, suka mencampurkan bunga cengkih yang membuat makanan lebih manis dan kaya rasa," katanya.

Masakan menterjemahkan cita rasa Alex yang bakal menunggu pelanggan di restoran berkenaan yang terletak di Jalan Pudu termasuk sup daging ketam dan sirip yu dimasak ala Szechuan, braised blossom chicken dengan soya, claypot daging tulang rusuk ditumis dengan serai, udang goreng mentega dengan hirisan kelapa, goreng kobis Wawa dilimpahi cuka hitam, nasi goreng tiram salai dihidangkan dalam kuali dan pencuci mulut sos vanila bersama tiga lapisan krim antaranya labu, ubi keledek dan keladi.

Demi menghidangkan rasa segar selain mempertahankan kualiti rasa, Chef Alex memberi keutamaan kepada bahan-bahan masakan terbaik, malah ada yang diimport.


CLAYPOT daging rusuk ditumis dengan serai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Daging halal diimport dari Australia

Daging dan tulang rusuk lembu khusus penyediaan Braised Lemongrass Beef Rib (daging tumis serai) misalnya, dibawakan khas dari Australia.

Selain menjadikan masakan lebih segar dan menyelerakan, ia sejajar hasrat restoran yang bukan sekadar menetapkan pelanggan sasaran kalangan peminat masakan Cina tempatan bahkan penginap hotel dari luar negara.

"Namun, saya tidak meminggirkan pelanggan tempatan sebaliknya cuba sebaik-mungkin menyediakan masakan mengikut selera mereka. Lidah orang kita tidak betah menikmati makanan tanpa santan dan rempah ratus menyebabkan saya tidak mungkin melupakan bahan-bahan itu setiap kali menyiapkan hidangan," katanya.


UDANG goreng mentega dengan hirisan kelapa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bahkan, udang goreng mentega turut dijamah bersama kelapa parut yang ditabur di atasnya sekali gus menjadikan rasa udang bertambah manis.

Menu ekslusif chef berpengalaman 30 tahun dalam arena restoran dan perhotelan tempatan dan antarabangsa termasuk menyumbangkan kemahiran di Brunei dan China itu menemui pelanggan pada bulan ini depan apabila sebuah restoran khusus menawarkan menu masakan cina dibuka.

Ia juga boleh dinikmati pelanggan yang berkunjung ke hotel berkenaan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Bagi yang suka makan dalam suasana nyaman alat pendingin hawa boleh menempah atau menerjah ruang makan di bahagian dalam sementara mereka lebih senang menikmati sajian ditemani landskap menarik dan bayu berpuput lembut, disyorkan memenuhi meja di luar.

92 dibaca
Berita Harian X