Khamis, 14 Januari 2016 | 12:15am
PINTU lif klasik berusia 58 tahun yang masih digunakan Hotel Federal dekat Jalan Pinang. - Foto Danial Saad
CIRI klasik pada lif masih dapat dilihat pada bahagian pintu yang perlu dibuka menggunakan tangan, selain jeriji besi yang perlu ditarik sebelum lif dapat bergerak. - Foto Danial Saad
LIF di Hotel Federal agak moden kerana mempunyai suis aras. - Danial Saad

Lif antik 131 tahun imbau nostalgia


GEORGETOWN: Bagaikan menaiki mesin merentas masa untuk kembali ke zaman lampau.

Pasti itu yang terlintas dalam fikiran pengguna yang berpeluang menggunakan lif berusia 131 tahun tetapi masih beroperasi dengan baik di Hotel Eastern & Oriental (E&O) dekat Lebuh Farquhar di sini.

Lif antik yang digunakan pada bangunan asal setinggi tiga tingkat hotel bertaraf lima bintang sejak 1885 itu, pasti membuatkan penumpangnya berasa teruja.

Ia mempunyai dua pintu jeriji yang perlu ditarik pekerja hotel yang bertugas dalam lif terbabit dan menentukan aras yang dituju menggunakan tuil yang dialih secara manual.


LIF berusia 131 tahun menggamit kenangan penginap yang pernah menggunakannya di Hotel Eastern & Oriental (E&O), Lebuh Farquhar, Georgetown. - Foto Danial Saad

Pengarah Hospitaliti dan Gaya Hidup Kumpulan E&O, Michael Saxon, berkata beberapa bulan lalu, seorang lelaki Inggeris berusia sekitar 80-an datang ke hotel itu sambil meminta kebenaran menaiki lif berkenaan.

"Sebaik selesai menaiki lif, lelaki terbabit menitiskan air mata kerana terlalu sedih, sebab dia berbuat demikian untuk mengimbau kenangan bersama isterinya di sini kira-kira 60 tahun lalu.

"Warga tua itu memberitahu, dia berkenalan dengan isterinya buat pertama kali di lobi hotel ini. Selepas berkahwin, mereka berbulan madu di Pulau Pinang sambil menginap di sini dan menggunakan lif sama untuk ke bilik penginapan.

 

"Lif ini menyimpan banyak kenangan kepada sesiapa sahaja yang pernah menginap di sini. Setiap tahun, pasti ada beberapa individu datang meminta kami membuka lif ini untuk mereka naik sambil mengimbau kenangan lalu," katanya ketika ditemui.


PENGARAH Hospitaliti dan Gaya Hidup Kumpulan E&O, Michael Saxon. - Foto Danial Saad

Penulis juga tidak melepaskan peluang menaiki lif berkenaan sambil diiringi kakitangan hotel yang bertindak selaku penyelia kemudahan terbabit.

Cubaan penulis untuk menarik sendiri jeriji besi agak sukar kerana trek sudah usang, namun lif itu masih berfungsi baik dan meyakinkan penumpangnya.

Sebaik masuk ke dalam lif yang hanya boleh memuatkan sehingga empat penumpang pada setiap masa, penyelia lif menarik tuil ke tingkat yang mahu dituju sebelum lif yang menggunakan sistem gandar itu mula bergerak perlahan.

Ketika itu, perasaan bercampur baur antara takut dan teruja kerana penulis dapat merasakan gegaran kuat ketika lif mula bergerak hingga berhenti di tingkat tiga. Melihat keadaan lif yang dikekalkan dalam situasi asalnya, ia pasti mengundang nostalgia buat mereka yang pernah menggunanya pada masa lalu.


HIASAN dalaman lif berusia 131 tahun di Hotel Eastern & Oriental (E&O) dekat Lebuh Farquhar, Georgetown. - Foto Danial Saad

Saxon berkata, lif itu dipercayai kemudahan yang pertama seumpamanya beroperasi di negara ini sejak hotel terbabit dibuka pada 1885 dan tidak pernah mengalami kerosakan serius sejak digunakan.

"Ketika ini, walaupun diselenggara syarikat tempatan tetapi sekiranya berlaku sebarang kerosakan, semua alat gantinya termasuk skru kecil perlu ditempah khas daripada syarikat pengeluarnya, Waygood OTIS, London, bagi menjamin keselamatannya.

"Kami bernasib baik kerana lif klasik ini berfungsi dengan baik tetapi bagi mengelak ia mudah rosak ekoran penggunaan yang kerap, lif hanya dibuka atas permintaan pelanggan sahaja sambil ditemani kakitangan hotel," katanya.


TUIL penentu aras pergerakan lif antik Hotel E&O memaparkan nama syarikat pengeluarnya, Waygood OTIS, dari England. - Foto Danial Saad

Difahamkan, antara tokoh terkemuka pernah menggunakan lif terbabit termasuklah bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman; novelis British, Wiiliam Somerset Maugham; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan keluarganya; serta pelakon antarabangsa seperti Tan Sri Michelle Yeoh; Jodie Foster, Chow Yun Fat dan Bai Ling.

Perbezaan paling ketara berbanding lif moden, selain dikendalikan secara manual, lif klasik pada Hotel E&O bergerak sangat perlahan ke setiap aras kerana menggunakan sistem gandar lama.

Namun ia pasti membuatkan setiap pengguna terpesona sambil mengimbau kembali kenangan sesiapa sahaja serta terkenangkan kemudahan seumpama itu menjadi sebahagian lokasi adegan berbalas tembakan dalam filem mafia seperti 'The God Father' atau 'The Untouchables'?


BUTANG lif di Hotel Eastern & Oriental (E&O) dekat Lebuh Farquhar, Georgetown. - Foto Danial Saad

Selain Hotel E&O, sebuah lagi lif klasik berusia 58 tahun masih digunakan Hotel Federal dekat Jalan Pinang. Namun, pergerakannya lebih laju selain menggunakan suis moden di dalamnya.

Penulis mulanya menyangka pintu yang terletak di belakang meja penyambut tetamu adalah stor sehinggalah dimaklumkan kakitangan bertugas itu adalah pintu lif klasik yang mula beroperasi sejak 1958.

Lif yang berkhidmat untuk bangunan empat tingkat itu diperbuat di Sweden itu agak moden kerana mempunyai suis aras dan pergerakannya agak laju kerana menggunakan sistem motor hidraulik lama.

Kakitangan hotel, Cecilia Juliana, berkata ciri klasik pada lif masih dapat dilihat pada bahagian pintu yang perlu dibuka menggunakan tangan selain jeriji besi yang perlu ditarik sebelum lif dapat bergerak.

"Lif ini masih menjadi 'pengangkutan' utama pelanggan yang menginap di sini, menyebabkan penyelenggaraan dibuat mengikut jadual," katanya.

112 dibaca
Berita Harian X