Sabtu, 16 Januari 2016 | 6:15am

Selaras identiti negara, Perlembagaan ikut syariat


Kanak-kanak perlu diberi didikan agama sejak kecil supaya sebati dalam diri mereka. - Gambar hiasan

Setiap kita ada pengenalan diri masing-masing, dokumen penting yang memperkenalkan diri seperti kad pengenalan. Di samping maklumat nama dan nombor pengenalan, agama adalah antara maklumat terpenting yang tertera di kad pengenalan.

Pengenalan agama dalam kad pengenalan memberikan kita hak sebagai seorang Muslim sama ada semasa hidup mahupun selepas mati. Ketika hidup, orang bukan Islam yang hormat kepada kita sebagai Muslim tidak akan menawarkan sesuatu yang diharamkan Islam seperti mempelawa minum arak atau makan babi.

Seperti mana kita umat Islam menghormati orang beragama Hindu dengan tidak mempelawa mereka makan daging lembu. Pentingnya identiti juga dapat dilihat jika kita mati walaupun di tengah-tengah masyarakat bukan Islam.

Apabila kad pengenalan mencatatkan kita sebagai Muslim, jenazah kita akan diserahkan kepada orang Islam untuk diselenggarakan.

Cara hidup tak ikut syariat

Namun tidak dinafikan ada juga dalam kalangan orang Islam yang tertera di kad pengenalannya sebagai Muslim atau Muslimah tetapi cara hidupnya tidak menggambarkan dirinya Muslim atau Muslimah seperti membuka aurat, minum arak dan berjudi.

Status orang ini, selama mana ia tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal maka identitinya masih Muslim namun berdosa. Dalam erti kata lain, dia Islam pada jati dirinya tetapi operasi hidupnya masih belum sempurna Islamnya. Orang ini masih berpeluang untuk bertaubat dan diajak ke pangkal jalan.

Begitu juga dengan negara kerana dokumen penting bagi memperkenalkan identiti sesebuah negara adalah pada undang-undang dan Perlembagaannya. Jika diibaratkan Malaysia sebagai seorang manusia, maka identitinya adalah negara yang beragama Islam.

Seawal Artikel 3 Perlembagaan negara menjelaskan Islam adalah agama Persekutuan di samping beberapa artikel lain seperti 11(4), 12(2), 121 (1A), 160 dan sebagainya. Selain itu, tidak disebut dalam Perlembagaan perkataan sekular bahkan yang hanya tercatat di beberapa tempat dalam Perlembagaan negara adalah Islam.

Soalan biasa yang akan timbul ialah bagaimana boleh dianggap negara ini negara beragama Islam sedangkan kilang arak masih produktif, pusat judi masih menjadi tarikan pelancong dan pusat hiburan masih meriah.

Perlu diperbaiki

Maka jawapannya sama seperti seorang Islam yang dalam kad pengenalannya tertulis Islam tetapi masih membuka aurat, minum arak dan sebagainya. Negara ini 'batang tubuhnya Islam' tetapi operasinya masih perlu diperbaiki.

Ini bukan bermakna boleh melakukan maksiat kepada Allah SWT atas nama masih Islam atau mewajarkan negara terus meluluskan lesen arak, hiburan dan ketirisan urus tadbir semata-mata bersandarkan negara ini negara Islam.

Sebaliknya, kita semua perlu sedar serta kembali kepada identiti asal sebagai seorang Islam yang terikat dengan peraturan Islam dan selama mana kita bangga dengan cara hidup sebagai Muslim, orang bukan Islam akan menghormati kita.

Begitu juga sebagai sebuah negara, sepatutnya umat Islam keseluruhannya baik pemimpin mahupun rakyat menggunakan kesempatan identiti negara sebagai negara Islam yang diwajarkan dengan Perlembagaan untuk mempertingkatkan pengoperasian negara secara Islam dan memencilkan idea ganjil daripada ajaran Islam seperti liberalisme, pluralisme agama, hak asasi manusia plagiat Barat dan lain-lain.

Secara disedari ataupun tidak, sedang berlaku gerak kerja sangat licik dan teratur untuk merubah jati diri negara ini dengan menafikan Islam sebagai asas kenegaraan Malaysia yang tercinta.

Penulis ialah Timbalan Mufti Perak.

21 dibaca
Berita Harian X