Ahad, 17 Januari 2016 | 12:04am
ZOO dan Taman Botani yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Hong Kong. - Foto Halina Mohd Noor
DERETAN kedai cenderamata di Ladie's Market. - Foto Halina Mohd Noor

Di sebalik hutan konkrit Hong Kong


WILAYAH kecil masihada tempat untuk pencinta alam. - Foto Halina Mohd Noor

APABILA menyebut Hong Kong, ramai yang terbayang kemeriahan membeli belah di Ladies Market, Mongkok atau pusat membeli belah, Times Square, Causeway Bay.

Bagaimanapun kunjungan penulis ke Hong Kong (HK) atas undangan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) bagi Program Kegiatan Luar HK, memberikan perspektif berbeza berbanding beberapa kunjungan sebelum ini.

Penulis bersama dua lagi rakan media dan Fasilitator Media HKTB, Frederic Cheung, berpeluang menerokai sendiri keindahan alam yang terselit di antara puluhan bangunan pencakar langit yang memenuhi hampir setiap pelusuk HK Island.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa HK di Lantau Island, kami dibawa meninjau ke Zoo dan Taman Botani HK yang terletak di Albany Road, Central.

Taman yang berkeluasan 5.6 hektar di bina pada tahun 1871 itu asalnya adalah taman khas untuk gabenor dan memiliki lebih 1,000 spesis tumbuhan yang kebanyakannya dari kawasan tropika dan sub tropika. 

Selain itu, terdapat lebih 600 burung seperti bangau berwarna jingga, flamingo dan merak, 70 mamalia termasuk Orang Utan dari Sabah dan 40 reptilia dengan pelbagai spesies.

Taman yang terletak di tengah bandar itu membolehkan penduduk sekitar bersantai dan mengisi masa terluang bersama keluarga tanpa dikenakan sebarang bayaran.


SUASANA dalam Zoo Hong Kong. - Foto Halina Mohd Noor

Pijak kertas, baca sumpahan

Dari Zoo, kami berjalan kaki ke Admiralty selama lima minit untuk menaiki tram iaitu sistem pengangkutan paling tua berusia lebih 110 tahun yang bergerak antara Shau Kei Wan dan Kennedy Town melalui Happy Valley sepanjang 30 kilometer.

Tram dua tingkat dengan pelbagai warna dan iklan itu antara tarikan pelancongan di HK kerana ia adalah cara paling murah untuk meninjau bandaraya itu dengan tambang kira-kira RM1.10 sahaja untuk sekali perjalanan.

Ketika sedang berjalan di bawah jejantas Canal Road menuju ke Times Square di Causeway Bay, kami terjumpa sekumpulan orang yang duduk menghadap seorang wanita tua yang sedang menghentak hentak sekeping kertas dengan kayu sehingga hancur.

Beberapa batang colok dibakar dan dicucuk di dalam bekas dan kertas berwarna merah dengan tulisan Cina diletakkan di atas lantai.

Menurut Fred, ia adalah upacara menghapuskan kebencian kepada seseorang dengan menulis nama orang terbabit di atas kertas dan dipijak-pijak sehingga hancur sambil sumpahan dibacakan.

Selepas makan malam, kami dibawa ke Hotel Regal Oriental di Kowloon yang peka dengan keperluan pengunjung beragama Islam dengan menyediakan sejadah dan al-Quran serta kompas untuk kiblat.

Hotel bertaraf empat bintang itu mudah dihubungi dengan stesen MTR dan berhampiran pelbagai tempat membeli belah yang menjadi tumpuan pelancong.


ANTARA laluan curam di lalui oleh pendaki 'belakang naga'. - Foto Halina Mohd Noor

Mendaki belakang naga

Keesokan paginya, kami menuju ke Shek O Road berhampiran perkampungan To Tei Wan yang terletak di daerah selatan HK Island untuk mendaki Dragon's Back yang berketinggian 284 meter dari aras laut.

Menurut Cheung, Shek bermakna batu dan Dragon's Back pula mendapat nama kerana bentuk bukit berkenaan yang seakan belakang seekor naga.

Pendakian sederhana sukar kerana laluannya yang agak  landai tetapi sesekali perlu mendaki dan menuruni anak tangga curam yang sesetengahnya dibina dengan konkrit manakala selebihnya adalah bonggol batu.

Cuaca dingin mencecah 18 darjah Celsius dan berangin membuatkan pendaki tidak mudah penat walaupun tekak terasa cepat kering.

Sepanjang laluan pendakian, menghidangkan pemandangan indah Laut China Selatan dengan taburan pulau seperti Pulau Lamma, Semenanjung Stanley dan Tai Tam Gap.

Penat lelah mendaki selama lebih tiga jam terasa berbaloi apabila dihidangkan dengan pemandangan yang cukup mengagumkan di mana kebanyakan penduduk meluangkan masa bergambar di atas batu.

Ada juga bangku kayu yang disediakan menghadap laut lepas bagi membolehkan pengunjung duduk menghilangkan lelah sambil menghirup udara laut yang segar.


PEMANDANGAN indah dari puncak bukit Dragon's Back. - Foto Halina Mohd Noor

Tengah hari di Masjid Ammar

Perjalanan diteruskan menuruni Dragon's Back yang berakhir di Big Wave Bay, pantai yang menjadi tumpuan peminat aktiviti meluncur air.

Selepas makan tengah hari di Islamic Canteen, Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick di Wan Chai, kami ke Central Harbourfront untuk menaiki Buaian Peninjau iaitu tarikan terbaharu di HK.

Buaian setinggi 60 meter berhadapan Jeti Central Star itu menawarkan panorama menarik di Pelabuhan Victoria yang berlatar belakangkan bangunan pencakar langit termasuk Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) setinggi 88 tingkat.

Terdiri 42 gondola dilengkapi pendingin hawa, setiap satu boleh memuatkan lapan hingga 10 penumpang dan bergerak selama 20 minit dengan jarak pemandangan  360 darjah.

Ia dibuka setiap hari termasuk cuti bermula 11 pagi hingga 11 malam dengan bayaran RM50 untuk dewasa dan RM35 kanak-kanak bawah 12 tahun, pelajar dan golongan kurang upaya.

Kemudian kami dibawa ke Statue Square, Central untuk menyaksikan pelancaran kerlipan lampu berbentuk ular terbesar yang berinspirasikan kalung Bvlgari sempena sambutan Hong Kong Winterfest 2015.


PINTU masuk gua yang dikenali sebagai Kamikaze Grottos. - Foto Halina Mohd Noor

Gua Kamikaze Grottos

Aktiviti diteruskan keesokan paginya dengan menaiki feri di jeti Sok Kwu Wan untuk ke Pulau Lamma.

Selepas 45 minit mengharung ombak tenang yang sesekali agak besar, feri berlabuh di jeti yang menempatkan kawasan ternakan ikan terbesar di HK.

Jadi, tidak hairanlah sepanjang pantai terdapat banyak restoran makanan laut tetapi sayangnya ia tidak halal kerana masakannya menggunakan minyak daripada lemak khinzir.

Trek berjalan kaki daripada jeti ke Yung Shue Wan tidak terlalu sukar dan hanya memakan masa sekitar dua jam, sesuai untuk keluarga bersantai.

Sepanjang jalan anda akan dapat melihat keindahan semula jadi pulau dan dapat melihat gua kecil yang dibina oleh tentera Jepun pada Perang Dunia kedua.

Gua dikenali sebagai Kamikaze Grottos itu dikorek sedalam 10 meter panjang untuk menyembunyikan bot dan bahan letupan bagi melakukan serangan berani mati ke atas kapal tentera musuh.

Anda juga akan dapat melihat stesen janakuasa Lamma daripada jauh sebelum tiba di pantai Hung Shing Yeh.


KINCIR tenaga udara Lamma. - Foto Halina Mohd Noor

Perjalanan diteruskan sejauh 30 minit bagi meninjau Kincir Tenaga Udara Lamma setinggi 71 meter iaitu tenaga hijau pertama HK menggunakan udara.

Sebelum menaiki feri untuk pulang, kami melalui pekan kecil Yung Shue Wan di mana terdapat deretan kedai makan barat dan Asia selain cenderamata yang menarik.

Sebelah malam kami sempat berkunjung ke Ladies Market bagi 'mencuci mata' walaupun hanya diberikan 25 minit bagi membeli cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ternyata di sebalik kesibukan kota metropolitan itu, terselit ruang kedamaian bagi mereka yang ingin mencari ketenangan.

206 dibaca
Berita Harian X