Selasa, 19 Januari 2016 | 9:24am

2 maut, 5 cedera nahas tiga kenderaan


PROTON Saga FLX yang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Berungis, berhadapan Hospital Tuaran di Tuaran, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Sabah

TUARAN: Dua maut manakala lima yang lain cedera, termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Berungis di depan Hospital Tuaran, dekat sini pagi tadi.

Dua yang maut dalam nahas membabitkan Proton Saga FLX, Perodua Viva dan Nissan Navara pada jam 6 pagi itu ialah Todih @ Tanih Tingan, 58, dan Juseph Teo, 66, masing-masing pemandu serta penumpang kereta PROTON Saga.

Dua individu menaiki Perodua Viva, Norina Indra dan Mohd Samynan Kosshah, 30, pula parah, manakala tiga lagi yang menaiki kereta sama, Aspey Saidan, 33; Juriyah Sany, 34, dan Awang Azahari Awang Azmi, 18, cedera ringan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Afendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.12 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota yang tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Dua mangsa yang menaiki Proton Saga FLX meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima di dalam Perodua Viva yang cedera dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan. Pemandu Nissan Navara tidak cedera," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

108 dibaca
Berita Harian X