Selasa, 19 Januari 2016 | 9:05pm

Azmil Mustapha dibenar keluar hospital


MOHD Azmil Mustapha. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Pelakon era 80-an yang popular menerusi filem Ali Setan, Mohd Azmil Mustapha, dibenarkan keluar hospital, hari ini setelah dirawat di Hospital Putrajaya di sini untuk masalah jantung sejak Khamis lalu.

Adik bongsunya, Mohd Aziph Mustapha dalam akaun laman sosial Facebook beliau bagaimanapun memaklumkan, abangnya masih agak lemah dan memerlukan penjagaan rapi di rumah.

"Doktor pakar di sini (Hospital Putrajaya) mengesahkan yang abang boleh keluar dan diberi penjagaan rapi di rumah.

"Ubat telah dibekalkan dan jadual rawatan susulan dengan pelbagai doktor telah disiapkan," kata Mohd Aziph, 48, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia.

Catatan Facebook beliau turut memuatkan 10 keping gambar yang menunjukkan Mohd Azmil berkerusi roda diiringi anggota keluarga ketika meninggalkan Hospital Putrajaya.

Tambah beliau, Mohd Azmil, 63, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya sepanjang dirawat di Hospital Putrajaya, khususnya doktor, jururawat dan semua petugas.

"Abang Azmil juga berhasrat membuat kenyataan media sendiri mengenai keadaan dirinya tidak lama lagi apabila keadaan membenarkan," katanya.

Mohd Azmil terpaksa menggunakan alat ventilator dan diletakkan dalam keadaan 'tidur' di Unit Jagaan Koronari Hospital Putrajaya, Khamis lalu selepas mengadu sesak nafas dan doktor mendapati jantungnya berada dalam keadaan lemah.

Selain filem Ali Setan 1 dan 2, filem lain yang turut menaikkan nama Mohd Azmil di persada hiburan tanah air adalah Mekanik, Suara Kekasih dan Driving School. - BERNAMA

677 dibaca
Berita Harian X