Sabtu, 23 Januari 2016 | 1:34pm

Diskaun tol 10 peratus di KLK, LPT1 pada 8 Februari

BENTONG: Sempena Tahun Baharu Cina, pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Bhd, menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua pengguna lebuh raya itu yang membayar secara elektronik pada 8 Februari ini.

Pengarahnya, Nik Fauzi Nik Hussein, berkata diskaun tol yang bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 11.59 malam, bakal memanfaatkan lebih 200,000 kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) dan LPT 1, sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, langkah itu menyahut hasrat kerajaan supaya syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada pengguna lebuh raya.

"Pemberian diskaun ini ialah kesinambungan program tanggungjawab sosial syarikat kepada pengguna seperti pada musim perayaan lain termasuk Aidilfitri, Deepavali dan Krismas," katanya pada kempen keselamatan dan sambutan Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, di sini, hari ini.

Pelancaran kempen disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Nik Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya KLK dan LPT1 dalam tempoh 10 hari sambutan Tahun Baharu Cina.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya mematuhi jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan bagi melancarkan perjalanan.

88 dibaca
Berita Harian X