Ahad, 24 Januari 2016 | 9:58pm

Hong Kong dilanda cuaca paling sejuk


SEORANG wanita menutup seluruh badannya dengan selimut tebal ketika berada berhampiran Pelabuhan Victoria, wilayah Tsim Sha Tsui, Hong Kong. - Foto AFP

HONG KONG: Cuaca amat sejuk melanda bandar ini hari ini, ketika suhu menjunam ke paras terendah dalam tempoh hampir 60 tahun dan fros memenuhi kawasan pergunungan di sebuah bandar yang sudah biasa dengan cuaca subtropika.

Pegawai kaji cuaca mengeluarkan amaran fros dan menyatakan sedang berlaku "lonjakan cuaca amat sejuk" bersama angin monsun dingin.

Suhu waktu pagi turun kepada 3.3 darjah Celsius di bandar selatan China itu, di mana kebanyakan bangunan tidak memiliki pemanas pusat, serta cuaca bawah paras beku di kawasan bukit.

Pegawai kanan saintifik Wong Wai-kin memberitahu AFP, ia adalah cuaca paling sejuk dalam tempoh 59 tahun.

"Ia adalah hari paling sejuk sejak tahun 1957. Suhu harian minimum menurun kepada 3.3 darjah Celsius, rekod terdahulu adalah 2.4 darjah Celsius pada Februari 1957," katanya.

Ketika cuaca amat sejuk itu tidak menyamai skala cuaca yang kini menjejaskan Amerika Syarikat dan sebahagian besar tanah besar China, suhu itu bukan biasa untuk kebanyakan penduduk.

"Ia amat sejuk dan berangin di Hong Kong. Penduduk dinasihatkan memakai pakaian panas dan mengelak pendedahan panjang kepada angin sejuk," menurut nota diterbitkan di laman web kerajaan bandar.

Menurut Hong Kong Observatory, cuaca paling sejuk berlaku pada Januari 1893, apabila suhu menjunam kepada kosong darjah Celsius. - AFP

1363 dibaca
Berita Harian X