Khamis, 25 Februari 2016 | 1:14pm

Kapten Sharum Shaim dilantik Pegawai Memerintah KD Pelandok

LUMUT: Bekas Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Kasturi, Kapten Sharum Shaim, dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD Pelandok yang baharu di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, berkuat kuasa hari ini.

Sharum, 52, menggantikan Kapten Abd Halim Shaari yang bertukar ke Markas Pemerintahan Armada Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Ketika mengemudi KD Kasturi, Sharum bersama anak kapal berkenaan pernah terbabit dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pesawat Air Asia Indonesia, QZ8501, yang terhempas di Selat Karimata, Indonesia, Januari tahun lalu.

Dalam misi berkenaan, KD Kasturi menemui dan menaikkan lima jasad mangsa nahas berkenaan, paling banyak ditemui oleh kapal TLDM yang menyertai operasi itu.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Peperiksaan Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok pagi tadi, dengan disaksikan Panglima Pendidikan dan Latihan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM (MPPL TLDM), Laksamana Muda Datuk Mior Rosdi Mior Mohd Jaafar.

Mior Rosdi berkata, KD Pelandok komited dalam melahirkan warga TLDM yang berintegriti dan cekap bagi kecemerlangan masa depan TLDM.

"Kita harap pegawai memerintah baharu akan meneruskan usaha pegawai terdahulu dan ada penambahbaikan untuk mengekalkan kecemerlangan KD Pelandok sebagai pusat latihan warga TLDM, selain semangat pelatih sendiri," katanya.

Sepanjang setahun, Abd Halim membawa transformasi KD Pelandok selaku pusat kecemerlangan dalam pendidikan dan latihan anggota bagi aspek pengurusan lebih sistematik, penekanan pembudayaan kreativiti dan inovasi serta penambahbaikan infrastruktur pembelajaran.

508 dibaca
Berita Harian X