Khamis, 25 Februari 2016 | 8:11pm

'MyDerm' cipta sejarah penghasilan sel tisu


DR Hilmi (kiri) melawat ke Pusat Kejuruteraan Tisu di PPUKM di Kuala Lumpur hari ini. Turut bersama Noor Azlan (dua dari kiri); Ketua Jabatan Pusat Kejuruteraan Tisu PPUKM, Prof Madya Dr Angela Ng Min Hwei (dua dari kanan) dan Ruszymah (kanan). - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Usaha penyelidik di Pusat Kejuruteraan Tisu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menghasilkan kulit gantian 'MyDerm' sebagai kaedah terbaru dalam teknologi perubatan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR). 

'MyDerm' adalah penghasilan sel tisu atau organ hidup untuk menggantikan sel asal yang rosak akibat kecederaan atau penyakit.

Penasihat Pusat Kejuruteraan Tisu UKM, Prof Datuk Ruszymah Idrus, 53, menerima anugerah atas 'MyDerm' yang diiktiraf sebagai penghasilan kulit manusia menggunakan tisu asal pertama di Malaysia.

Bersyukur atas pengiktirafan berkenaan, Ruszymah berkata, ia adalah kejayaan bersama pasukan yang melakukan kajian.

"Saya akan terus membimbing generasi akan datang dalam bidang penyelidikan perubatan bagi menghasilkan inovasi baharu dalam bidang ini demi membantu masyarakat dan mengharumkan nama negara.

"Kami dalam usaha mencari geran memulakan ujian klinikal bagi kajian terbaru menggunakan sel stem dari sum sum tulang yang dibiakkan dan disuntik ke dalam sendi lutut bagi masalah sakit lutut.

"Ujian ke atas haiwan menunjukkan keputusan memberangsangkan," katanya ketika menerima sijil MBOR di PPUKM  di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya; Naib Canselor UKM, Prof Datuk Noor Azlan Ghazali; Pengurus Besar MBOR, Halilia Juana Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Cell Tissue Technology Sdn Bhd (CTT), Dr Khairul Idzwan Baharin.

Ruszymah menerima pengiktirafan berkenaan bersama CTT, syarikat pertama yang bekerjasama dengan UKM menghasilkan gantian menggunakan tisu asal.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata, pengiktirafan berkenaan adalah sejarah baharu dalam teknologi perubatan negara kerana membolehkan pakar tempatan melakukan perubahan teknik rawatan.

"'MyDerm' dikatakan satu-satunya produk asas pembiakan sel kulit daripada mangsa sendiri di Malaysia dan Asia Tenggara, sekali gus menjadi pelopor inovasi penting dalam sains hayat atau biologi," katanya.

58 dibaca
Berita Harian X