Jumaat, 4 March 2016 | 3:10pm

Benih ikan air tawar diharap bantu nelayan sungai


ADNAN (tiga dari kanan) melepaskan benih ikan lampam ke Sungai Pahang di Kampung Ganchong. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menyasarkan 80 peratus daripada lebih 145,000 benih pelbagai spesies ikan air tawar dan udang galah yang dilepaskan di beberapa sungai utama di negeri ini sejak Januari lalu, terus membesar serta menjamin pendapatan nelayan sungai berdaftar di negeri ini.

Pengarahnya, Adnan Hussain, berkata antara spesies ikan yang dilepaskan secara berperingkat bagi menjamin kelangsungan populasi hidupan ikan air tawar seperti lampam sungai, temoleh, kelah, terbul, baung, sebarau dan udang galah.

Beliau berkata, pihaknya merancang melepaskan 450,000 ekor benih ikan hampir ke semua sungai utama di Pahang sehingga penghujung tahun ini.

"Walaupun jumlah ini tidak sebesar seperti tahun lalu, kita yakin 80 peratus daripada benih ikan yang dilepaskan akan terus membesar berikutan kawasan sungai adalah habitat asalnya.

"Benih ikan ini dilepaskan di semua sungai yang berpotensi menjadi tempat pembiakan bagi dimanfaatkan nelayan sungai tempatan," katanya di sini, hari ini.

Adnan berkata, jabatan itu sudah melepaskan 2.4 juta benih ikan antara 2013 hingga 2015.

Katanya, bekalan benih yang dilepaskan adalah milik jabatan keluaran Pusat Pengembangan Akuakultur di Perlok, Jerantut dan Bukit Tinggi, Bentong.

Justeru, beliau berharap nelayan dan masyarakat tempatan turut membantu jabatan itu memulihara sumber ikan di perairan Pahang.

"Ini bermakna mereka tidak menggunakan aktiviti tangkapan ikan menyalahi peraturan seperti menggunakan tuba, racun, arus elektrik atau bahan letupan," katanya.

269 dibaca
Berita Harian X