Ahad, 6 March 2016 | 4:57pm

Eina mahu anak kembar jadi kawan bila besar

KUALA LUMPUR: Mengaku bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada bayi kembar, pelakon Eina Azman, 21, menganggap rezeki yang diberi Tuhan suatu rahmat.

Eina berkata, pada mulanya, dia kekok memandi dan menyusukan bayi kembarnya yang diberi nama Karl Kareef dan Arianna Aubrey.

Namun, bantuan yang diberi suami dan ahli keluarga meringankan tugas menguruskan anak-anak apatah lagi bagi 'ibu muda' sepertinya.

"Bukan mudah untuk saya menggalas tanggungjawab sebagai ibu. Saya alami kesukaran hendak menyusukan bayi pada mulanya.

"Namun, alhamdulillah, ahli keluarga terutama ibu saya sentiasa berada di sisi.

"Malah, ibu sering berkongsi hikmah mendapat anak pada usia muda. Katanya, nanti anak tidak jauh beza dengan usia saya. Malah, boleh rapat menjadi kawan seperti saya dan ibu," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Eina dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmit Abdullah sepakat merahsiakan kelahiran bayi kembar mereka kepada peminat dan keluarga.

Malah, ada antara ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai berita gembira itu.

Eina memberitahu, Aubrey seberat 1.8 kilogram dilahirkan pada jam 4.05 petang, Jumaat lalu. Seminit kemudian, Karl seberat 2.8 kilogram dilahirkan.

265 dibaca
Berita Harian X