Ahad, 13 March 2016 | 12:47pm

Lelaki maut diserang 2 peragut

SIBU: Seorang warga tua maut diserang dua lelaki, dipercayai menggunakan senjata tajam selepas mangsa menjerit meminta bantuan bagi menghalang mereka meragut beg tangan isterinya di Sibu Jaya, di sini awal pagi tadi.

Louis Lumpang, 65, yang cedera di kepala, disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang cuba merawatnya di tempat kejadian, manakala isterinya berusia 63 tahun cedera tangan kanan dalam insiden itu jam 1.15 pagi.

Pasangan berkenaan sedang berjalan pulang ke rumah mereka selepas menghadiri majlis kenduri di sebuah rumah di Town Villa, Sibu Jaya. Kedua-dua suspek mengekori pasangan itu sebelum seorang daripada mereka cuba merampas beg tangan isteri Lumpang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo, berkata isteri Lumpang cuba menarik beg tangannya, manakala mangsa yang berjalan kira-kira 20 meter di hadapan menjerit, menyebabkannya diserang oleh kedua-dua suspek.

"Selepas warga tua itu terjatuh akibat serangan berkenaan, suspek merampas beg tangan isteri mangsa sebelum lari. Dua penjenayah itu dipercayai guna senjata tajam, namun tiada sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu ditemui di lokasi kejadian," katanya.

Khoo berkata, beg tangan itu mengandungi wang tunai kira-kira RM400, sepasang anting-anting emas, buku akaun bank, buku pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kunci rumah dan kunci kereta.

Katanya, polis sedang memburu kedua-dua suspek, masing-masing berbadan gempal dan kurus untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

57 dibaca
Berita Harian X